Monday, December 17, 2012

Membingkai Kenangan Kota Setar

Rasanya sudah hampir satu semenanjung Malaysia telah saya diterokai. Namun kaki bagai dirantai tatkala menjejakkan kaki di bumi Alor Setar. Pandangan mata tepaku  melihat suasana tenang mendamaikan di bandar ini. Masa seakan terhenti seketika. Suasana zaman silam terus menerjah ke dalam minda. Begitulah kuatnya kuasa Alor Setar yang saya jejaki baru-baru ini.
Alor Setar merupakan bandar terbesar di Kedah dan ibu negeri bagi negeri yang dikenali sebagai negeri jelapang padi. Dengan kepadatan penduduk lebih daripada 300 ribu orang, kota ini begitu cepat membangun.
Menyingkap kembali catatan sejarah,  Alor Setar mula-mula dijumpai dan diasaskan oleh seorang Raja Melayu iaitu Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II dalam tahun (1710-1778). Baginda merupakan raja Negeri Kedah dari tahun hijrah 1122 – 1174. Pada awalnya, Alor Setar cuma sebuah kampung dengan beberapa buah rumah yang terletak di muara dua batang sungai.

Kisah asal usul nama Alor Setar bermula apabila Sultan Mohamad Jiwa menjumpai kampung itu lantas baginda begitu tertarik dengannya. Khabarnya  mungkin kerana tempat itu dikelilingi oleh pohon-pohon pokok yang tebal lagi menghijau dan merupakan pusat dimana dua batang sungai bertemu.Maka, “Adapun Duli Yang Dipertuan bermuafakat dengan segala menteri-menteri membuat sebuah kota batu, bernama Kota Setar” Secara tidak langsung kampung itu digelar Kota Setar. Khabarnya baginda menamakannya Setar sempena dengan jenis pokok-pokok yang ditemui di sekitar kota ini yang dikenali sebagai ‘Stak Tree’. Difahamkan ketika itu nama Alor Setar belum muncul lagi dan ia dikenali sebagai Kota Setar.
Kota ini berkembang dengan begitu pesat sekali dengan segala perniagaan, pengangkutan dan perhubungan di Kedah berpusat di Kota Setar. Lama- kelamaan nama Kota Setar ditukar kepada Alor Setar disebabkan bandar itu terletak dekat muara sungai dan menjadi tumpuan ramai pedagang Melayu dari lain-lain Negeri Melayu singgah di situ. Walau bagaimanapun Kota Setar masih menjadi daerah jajahan bagi bandar Alor Setar.

Maju & Makmur
Alor Setar punya segalanya.Dari warisan sejarah yang terpelihara sehinggalah bangunan pencakar langit yang serba canggih.Menyusuri Jalan Tunku Ibrahim sehingga ke Pekan Baru banyak pengalaman baru yang dapat dikutip. Menara Alor Setar yang berdiri megah di tengah-tengah kota ini juga menjadi mercu tanda kebanggaan dan kemajuan negeri Kedah. Lebih daripada itu, tanah bertuah ini merupakan tempat lahirnya dua tokoh yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr Mahathir Mohamad.  Jika anda ke Alor Setar, jangan lupa singgah ke Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir untuk melihat sendiri susur galur dan sejarah tokoh pemimpin negara yang tersohor itu.

Shopping Sakan Di Pekan Rabu

Tidak sah jika ke Alor Setar jika tidak singgah ke Pekan Rabu. Jangan keliru, walaupun namanya Pekan Rabu, tapi lokasi membeli-belah ini dibuka pada setiap hari dan bukan pada hari Rabu sahaja. Pekan Rabu sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk tempatan dan menjadi kebanggaan kepada masyarakat Melayu kerana di sinilah peniaga-peniaga bumiputera mengembangkan empayar perniagaan mereka di bawah satu bumbung. Kompleks Pekan Rabu yang dibina pada tahun 1975 ini telah menjalani proses pengubahsuaian pada tahun 1995 dan kini menjadi lokasi wajib buat pelancong yang datang ke Alor Setar.
Pekan Rabu bukan sekadar lokasi membeli-belah sahaja. Lokasi bersejarah ini merupakan maruah kepada dunia perniagaan orang Melayu kerana di sinilah bermulanya kegiatan perniagaan yang melibatkan penyertaan orang Melayu sejak selepas Perang Dunia Pertama. Ketika itu YTM Tunku Yaacob, seorang Putera Diraja Kedah telah mengambil inisiatif murni menggalakkan orang Melayu menjalankan perniagaan dalam bandar. Bermula dari sinilah orang Melayu mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan seterusnya YTM Tunku Yaacob telah mengasaskan kawasan perniagaan ini menjadi pasar minggu di situ pada setiap hari Rabu sahaja pada awal 1920 an. Ketika itu pasar minggu ini bertempat di Tanjong Chali yang terletak di antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal di Alor Setar. Memandangkan perniagaan mingguan ini mendapat sambutan yang cukup baik dan semakin berkembang, pada tahun 1932 Kerajaan Negeri terpaksa memindahkan Pekan Rabu ke tapak barunya yang ada sehingga sekarang.
Apa yang pasti Pekan Rabu mempunyai sejarah yang cukup unik dalam melahirkan usahawan-usahawan Melayu yang berjaya. Malah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ketika zaman remajanya di sini sekali gus menjadikan Pekan Rabu begitu dekat di hati beliau.
Sebagai sebuah kompleks perniagaan Bumiputera yang sudah berdekad beroperasi, Pekan Rabu tidak dapat lari daripada berhadapan dengan cabaran seiring dengan peredaran zaman. Kompleks Pekan Rabu  menyediakan pelbagai jenis perniagaan dengan lebih 340 kedai yang tersusun rapi, bersistematik serta bersih. Pelbagai produk seperti  kraftangan, makanan, pakaian, cenderamata, peralatan harian dan banyak lagi boleh didapati di sini.
Tidak hairanlah jika Pekan Rabu tampil sebagai produk pelancongan khususnya sebagai destinasi membeli-belah yang berdaya maju dalam menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

Bagaimana ke sini?
Alor Setar dihubungkan dengan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dengan sebuah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Sekiranya anda menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, ambil susur keluar masuk menerusi plaza tol Alor Setar Utara, plaza tol Alor Setar Selatan atau plaza tol Alor Setar Hutan Kampong. Alor Setar juga mempunyai stesen kereta api di Pusat Bandaraya Alor Setar, stesen bas Shahab Perdana serta pengangkutan keluar dari tanah besar ke Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah.

Oleh : Azlie Halim
Gambar : Dino Al Ham’d

The Tourism Activist...

Wednesday, December 12, 2012

Mesrakah Kita Dalam Konteks Pelancongan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Baru-baru ini Majalah Fobes mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi yang ke 10 paling mesra di dunia. Sebelum itu pada tahun 2010 HSBC dalam satu kajian yang melibatkan seamai 4000 orang responden dari 100 buah negara telah mendapati bahawa Malaysia merupakan negara ke 9  paling mesra di dunia.
Sama ada kita percaya atau tidak,  kita harus berbangga dengan pengiktirafan  antarabangsa ini.  Paling tidak kita harus bersyukur kerana negara kita masih lagi mampu menjadi destinasi mesra pelancong meskipun ada juga pihak yang mempertikaikannya.
Pada saya, dalam konteks pelancongan kita harus melihat pekara ini dalam dua komponen yang berbeza. Pertamanya adakah  negara kita mesra dalam konteks sosio budayanya dan keduanya dalam konteks prasarananya.  Dari sudut sosio budaya, masyarakat Malaysia sememangnya terkenal dengan budaya sopan santun dan berbudi bahasa. Sejak zaman berzaman kita yang mengamalkan budaya konteks tinggi amat mementingkan tetamu dengan layanan yang boleh dikatakan antara yang terbaik di dunia.  Begitu juga dengan soal bahasa,  kita tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan pelancong asing kerana kebanyakkan daripada orang kita boleh berbahasa Inggeris walaupun sedikit.
Namun sama ada kita sedar mahupun tidak realitinya sikap mesra dalam kalangan masyarakat kita kini kian luntur. Kemesraan, sopan santun dan budi bahasa yang menjadi tunjang budaya masyarakat kita kian terhakis dek budaya asing.  Lebih mengecewakan lagi apabila ada segelintir daripada mereka yang terlibat di barisan hadapan perkhidmatan pelancongan seperti petugas hotel, peniaga mahupun pemandu teksi kita langsung tidak ‘mesra pelancong’.  Budaya mesra pelancong ini jika tidak dihayati bersama tentu akan pudar dan tidak mustahil lama-kelamaan budaya mesra ini akan lenyap dalam kalangan masyarakat kita. Saya percaya jika kita dapat mengamalkan budaya mesra ini sebaiknya, kita berupaya menjadi negara yang paling mesra di dunia.
Dari sudut prasarana yang mesra pelancong, negara kita tidak kurang hebatnya. Dari lapangan terbang antarabangsa yang terbaik, sehinggalah produk pelancongan yang berdaya maju dan pastinya mesra pelancong. Bukan itu sahaja, faktor kestabilan politik, keselamatan dan keamanan negara juga menjadi faktor utama negara kita 'mesra' dalam konteks kepuasan prasarana pelancong.
Namun di sebalik kehebatan prasarana mesra pelancong itu, ada juga segelintir masyarakat kita yang tidak menghargainya. Kemudahan awam untuk pelancong dirosakkan, kestabilan politik  dan keamanan negara turut dimusnahkan dek kerana kepentingan diri serta ideologi politik yang sempit.
Justeru pada kesempatan ini, saya merayu kepada semua agar sama-samalah kita pelihara aset pelancongan kita yang cukup berharga ini.  Kemesraan dan keharmonian negara adalah tanggungjawab kita bersama.  Negara kita adalah tanggungjawab kita… Jika kita tidak menjaganya, siapa lagi yang akan menjaganya.


Friday, October 12, 2012

Biar Bakti Jadi Ukuran…

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Y.B. Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen di atas penganugerahan Ijazah Doctor Honoris Causa (Pelancongan) oleh Josai International. University , Japan. Saya tidak tahu saya orang keberapa yang mengucapkan ucapan tahniah ini kepada Y.B. Menteri Pelancongan, tapi apa yang pasti acapkali setiap kali acara rasmi yang dihadiri oleh Y.B. Menteri kebelakangan ini, ucapan yang sama akan menjadi pemula acara majlis oleh juruacara majlis. Soalnya perlukah ungkapan yang sama diulang-ulang seolah-olah sudah tidak ada modal atau cerita lain untuk diperkatakan? Saya tidak pandai ‘membeli jiwa’  apatah lagi menggunakan ‘bahasa ampu’, tapi jika ingin memuji pun biarlah ada hadnya dan memadailah dengan sekadar ucapan tahniah secara peribadi.  
Walau bagaimapun Y.B. Menteri sememangnya layak menerima penganugerahan tersebut di atas pencapaian cemerlangnya serta sumbangan beliau dalam mengangkat martabat industri pelancongan negara. Saya percaya komitmen  Y.B. Menteri Pelancongan yang tidak pernah mengenal erti penat, telah meletakkan industri pelancongan negara ke satu tahap yang cukup membanggakan. Ini terbukti dengan kehadiran lebih 24.7 juta pelancong ke negara ini dengan nilai pendapatan kepada negara sebanyak RM56.6 billion.
Pujian juga harus diberi kepada Menteri Pelancongan kerana walaupun beliau dipuji ‘melambung-lambung’, namun beliau tetap merendah diri dan menyatakan anugerah yang diterima itu adalah bukan untuk dirinya tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama merealisasikan aspirasi pelancongan negara.
Tidak kira siapa kita, sama ada Menteri ataupun rakyat biasa. Pegawai tertinggi di Kementerian Pelancongan atau penggiat industri pelancongan bawahan,  kita sebenarnya mempunyai misi yang lebih utama dalam memastikan industri pelancongan negara terus subur dan makmur.
Biar bakti yang disumbangkan jadi ukuran, bukan pujian yang jadi keutamaan. Apa yang ingin saya nyatakan di sini kita harus bekerja dengan seikhlas hati dalam menyemarakkan industri pelancongan negara. Buatlah sesuatu usaha itu dengan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan pujian atau penghargaan kerana apa yang lebih penting di sini adalah pencapaian. Bak kata Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Jika Perdana Menteri sendiri jelas memperkatakan “Pencapaian Diutamakan”, maka kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab perlu menterjemahkan di dalam diri kita sendiri bagaimana kita ingin meletakkan merealisasikan hasrat tersebut ke satu tahap yang paling cemerlang. Usahlah kita bermimpi di siang hari dan membiarkan diri kita di takuk yang lama.
Perjalanan kita masih jauh. Jika tahun ini kita telah berjaya memikat lebih 24.7 juta pelancong mengunjungi negara kita, pada tahun 2020 pula, kita perlu memastikan sasaran sebanyak 36 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM168 billion menerusi Plan Transformasi Pelancongan Negara dapat dicapai. Ayuh kita bangun dan berlari lebih laju lagi dalam memperkasakan industri pelancongan negara. Moga-moga hasrat murni kita ini akan dapat dilaksanakan seikhlas yang mungkin.

Thursday, September 27, 2012

PAKEJ-PAKEJ PERCUTIAN TERUNGGUL DI EXPEDIA.COM.MY

Expedia.com.my baru-baru ini mengumumkan pelancaran tawaran perkhidmatan penuh yang memberikan para konsumer Malaysia pelbagai tawaran pakej penerbangan dan pilihan hotel di rantau ini dan di kawasan-kawasan melampauinya. 
Berbekalkan rangkaian lebih 400 syarikat penerbangan serta 150,000 buah hotel di seluruh dunia, dan pakej percutian dinamik dengan nilai yang tiada tandingannya, Expedia.com.my menawarkan para pengembara dari Malaysia sebuah kedai sehenti untuk segala keperluan perancangan percutian mereka. Expedia.com.my akan menjadi satu-satunya laman dalam talian di Malaysia yang menawarkan semua pakej penerbangan terbaik dari AirAsia, Malaysia Airlines dan pelbagai syarikat penerbangan lain melalui satu laman. 
“Menempah percutian anda seharusnya merupakan satu proses mudah yang memberikan anda tawaran hebat. Expedia.com.my menawarkan pengembara Malaysia kesemua kelengkapan dan pilihan bagi mendapatkan tawaran terbaik dengan cara yang mudah dan senang digunakan,” kata Dan Lynn, CEO, AAE Travel. 
“Selaku syarikat pelancongan dalam talian terbesar di dunia, kami berhasrat untuk menjadi satu-satunya tempat terbaik untuk menempah perjalanan dan kami laksanakannya dengan menawarkan pelbagai pakej percutian yang paling kompetitif melalui satu laman yang mudah digunakan, dengan harga yang disokong oleh Jaminan Harga Terbaik. Kami merancang untuk mengulangi kejayaan laman serantau kami di Singapura dan Thailand, dan yakin bahawa produk unik yang ditawarkan oleh Expedia serta pengaruh global kami akan membantu mencapai kedudukan yang kukuh di Malaysia. Pelancaran Expedia.com.my juga merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam pelaburan berterusan serta komitmen kami di rantau ini,” tambah Lynn.
Bagi meraikan ketibaannya di Malaysia, Expedia.com.my akan menawarkan para pengembara Malaysia berlepas dengan tawaran-tawaran yang tiada tandingannya ke lebih 30 destinasi tempatan dan antarabangsa seperti P. Pinang, Langkawi, Kuching, Bangkok, Bali, Hong Kong, Paris, Osaka, Los Angeles dan London, pada harga bermula dari RM110.
Selain daripada menawarkan harga-harga termurah di pasaran, laman web ini menawarkan para pengembara satu rangkaian peralatan penempahan dalam talian yang mudah, serta servis setempat penuh dan khidmat sokongan telefon khas bagi membantu mereka merancang, menempah dan membentuk pakej percutian impian mereka yang disokong oleh ‘Jaminan Harga Terbaik’ tersendiri Expedia. Turut dimansuhkan adalah caj Expedia ke atas pindaan dan pembatalan.
Beserta antara muka yang mesra pengguna, Expedia.com.my turut menawarkan para pelawat satu rangkaian besar produk nilai tambahan termasuk gambaran keseluruhan hartanah yang terperinci, lawatan maya hotel serta ulasan bebas yang disahkan oleh para pengembara bagi membantu konsumer membuat keputusan yang betul.
Expedia kekal komited ke arah membantu para pengembara membentuk dan menikmati perjalanan terbaik dengan nilai terunggul! Jaminan Harga Terbaik  Expedia adalah jaminan pelanggan paling komprehensif dalam perjalanan dalam talian dan meliputi segala-galanya dari pakej-pakej hingga ke tawaran hotel kendiri yang ditempah melalui Expedia.com.my. Jika para pelanggan menemui harga dalam talian yang lebih untuk perjalanan yang sama, Expedia akan menyaingi kadar yang lebih rendah dan juga akan memberi pelanggan sebuah baucar perjalanan bernilai RM150 untuk penempahan di masa akan datang. Sebuah pusat hubungan pelanggan berdedikasi yang beroperasi selama 24-jam juga disediakan untuk memberi bantuan.
Expedia juga akan mempamerkan penjenamaan barunya di dalam semua komunikasi termasuk sebuah kempen untuk seluruh negara yang menggambarkan keseronokkan bercuti. Melalui penumpuan ke atas beg pakaian kuning ikonik Expedia, cogankata kempen merumuskan proposisi jenama untuk musim percutian ini - "Bersedia untuk Bercuti, Malaysia!"

Thursday, September 20, 2012

Berbanggalah Dengan Produk Pelancongan Kita

Dari  hamparan gunung menghijau sehinggalah lautan membiru. Semuanya menjadi aset pelancongan yang cukup berharga kepada negara. Begitu juga dengan khazanah warisan sejarah negara yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.  Khazanah warisan ini menjadi pelengkap kepada produk pelancongan negara.
Sebut  sahaja apa yang tidak ada di negara ini. Alam semulajadi yang mempesonakan, bangunan percakar langit serba canggih, sajian makanan yang pelbagai, budaya serta warisan yang unggul dan banyak lagi. Boleh dikatakan negara kita ada semuanya. Sehinggakan nak main salji pun boleh di negara ini jika anda berkunjung ke i-City di Shah Alam Selangor. Tiada yang mustahil!
Bukan itu sahaja, jika inginkan keriangan berpanjangan negara kita tidak pernah kalah dengan pelbagai taman tema dan pusat rekreasi yang hebat dan bertaraf antarabangsa. Sunway Lagoon, Genting Highland, Bukit Merah Laketown Resort dan yang terbaharu Legoland Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang inginkan keriangan berpanjangan.
Tapi malangnya tidak ramai yang menghargainya dan berbangga dengan produk pelancongan yang kita ada. Malah ada yang dengan sinis memperlekehkan produk pelancongan yang kita ada. Katanya kat Malaysia tak ada apa-apa yang menarik!
Aduhai … Meskipun produk pelancongan yang di negara kita mungkin tidak memenuhi citarasa anda, tapi berbanggalah dengan apa yang kita ada. Setidak-tidaknya hargailah apa yang kita ada. Pelancong dari luar negara sanggup datang beribu-ribu kilometer dan berpuluh jam perjalanan semata-mata untuk menghayati produk pelancongan di negara kita. Mengikut Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Malaysia merupakan negara ke-9 yang paling ramai dikunjungi di dunia sejak tahun 2009 hingga 2011. Apa yang pasti pada tahun lepas, Malaysia telah mencatatkan kedatangan pelancong asing seramai 24.7 juta orang dengan jumlah pendapatan bernilai RM58.3 bilion.
Statistik yang dikeluarkan oleh badan yang paling berpengaruh dalam sector pelancongan ini membuktikan bahawa negara kita mempunyai kekuatan dalam menarik kunjungan pelancong dan tentunya mempunyai produk pelancongan yang terbaik dan bertaraf antarabangsa.
Saya percaya pencapaian cemerlang ini adalah selari dengan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020 yang menyasarkan kedatangan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM168 billion pada tahun 2020.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, marilah kita sama-sama berganding bahu menyokong produk pelancongan yang kita ada sekali gus meningkatkan ekonomi negara kita dengan melancong di dalam negara. Sebenarnya banyak lagi destinasi pelancongan yang boleh kita terokai dan kita hayati bersama. Tidak perlu pergi jauh ke luar negara untuk melihat keindahan alam kerana semuanya ada di negara kita. Jom kita cuti-cuti Malaysia!




Friday, August 24, 2012

Industri Homestay Perlu Nafas Baru

Baru-baru ini saya berkesempatan mengunjungi Homestay Desa Murni di Temerloh Pahang dan menghadiri program Seminar Hala Tuju Pelancongan Homestay Malaysia.  Suasana desa yang tenang dan damai jelas terasa tatkala menjejakkan kaki ke Homestay Desa Murni. Mana tidaknya, dipelopori oleh Pengerusi Persatuan Homestay Malaysia, Dato’ Haji Sahariman Hamdan, program homestay di sini jelas tampak berbeza dengan prasarana serba sempurna. Tahniah saya ucapkan.
Saya percaya usaha untuk membangunkan sesebuah program tidaklah semudah seperti yang disangkakan. Ada onak dan ranjau yang perlu ditempuhi. Namun disebalik cabaran dan rintangan itulah tersembunyinya rahmat dan nikmat yang amat bersar ertinya. Begitu juga dengan produk pelancongan homestay yang kian mendapat tempat dalam kalangan pelancong di negara ini. Saya percaya dengan pelbagai dugaan yang ditempuhi selama ini, industri  homestay yang kita ada kini adalah antara model program homestay yang terbaik di dunia dan menjadi ikutan negara-negara lain.
Kesempatan bertemu dengan Dato’ Haji Sahariman banyak merungkai persoalan tentang program Homestay yang membelenggu fikiran saya. Ramai yang mengeluh bila mana program homestay seolah-olah hilang identiti dan lari daripada hala tuju sebenarnya. Rasa keluh kesah kian memuncak tatkala timbul pula produk-produk pelancongan baru seperti Kampung Stay dan Holiday Home yang turut menggugat program Homestay.
Saya turut mengajukan persoalan tersebut kepada beliau, namun dengan tenang, Dato’ Haji Sahariman sebagai orang lama dalam industri Homestay menjawab “I Don’t Care!” yang bermaksud dia tidak peduli apa ‘orang lain’ kata. Apa yang penting baginya ialah industri homestay perlu diberi nafas baru agar ianya sentiasa  subur dan memberikan manfaat kepada setiap pengusaha homestay.
Tambahnya lagi, pengusaha homestay harus berani melakukan transformasi dalam program homestay yang diadakan.  Tidak hanya menawarkan pengalaman inap desa sahaja, pengusaha homestay juga harus tampil dengan idea –idea baru bagaimana untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke homestay. Selain kemudahan asas yang sempurna dan selesa, pengusaha homestay juga harus lebih kreatif dalam mewujudkan pakej-pakej homestay dan dalam masa yang sama bijak menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan seperti agensi pelancongan serta media massa.
Saya percaya industri pelancongan homestay mempunyai potensi yang cukup besar dalam menjana pertumbuhan industri desa dan industri pelancongan negara. Setidak-tidaknya dengan adanya produk pelancongan homestay ini, masyarakat desa bakal menerima sumber pendapatan tambahan sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat desa.
Dalam hal ini, saya menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam industri homestay dapat sama-sama berganding bahu dan bersatu suara dalam membangunkan industri pelancongan homestay negara. Jom berubah sebelum rebah!
 

Tuesday, August 7, 2012

Kembara Ziarah Ramadan Buraqoil Bersama Media


Team Kembara Ziarah Ramadan Buraqoil  bersama media.
Kembara merentas Banjaran Titiwangsa dari Kuala Lumpur- Kelantan-Perak -Kedah sememangnya satu pengalaman yang cukup mengujakan. Peluang mengikuti  program  Ziarah Ramadan anjuran syarikat minyak Buraqoil dengan kerjasama majalah Santai  baru-baru ini tidak saya lepaskan. Walaupun berlangsung dalam bulan puasa, namun ia menjadi satu pengalaman yang cukup berharga. Dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan pelbagai guna, konvoi tujuh kenderaan membawa kira-kira 34 anggota termasuk 14 wakil media menghadiahkan pengalaman berguna khususnya dari aspek pelancongan.



Aziz Desa & Ana Raffali bersama anak-anak kampung dengan semangat mengibarkan Jalur Gemilang

Semangat setia kawan ... Ana Raffali bersama wakil media.
Program yang julung kali diadakan ini turut diserikan lagi dengan kehadiran artis popular Ana Raffali dan tentunya Duta Buraqoil iaitu pengacara TV popular - Aziz Desa. Bersandarkan kepada misi amal program ini bertujuan mewujudkan kesedaran awam ke atas jenama BURAQOIL melalui aktiviti amal sempena Ramadhan – dengan menjadikansekolah-sekolah tahfiz, anak-anak yatim dan sekolah-sekolah agama serta golongan fakir miskin sebagai kumpulan sasar.  Selain itu program ini juga bertujuan mempromosikan jenama BURAQOIL kepada masyarakat setempat tentang perniagaan Stesen Minyak BURAQOIL yang wujud di kawasan luar bandar.
Apa yang pasti  program ini  Membantu dan meringankan beban golongan kurang bernasib baik Team Ziarah Ramadan ini untuk membuat liputan sepanjang perjalanan yang akan bermula daripada Kuala Lumpur pada 2hb Ogos 2012 menuju ke negeri Kelantan di Kuala Krai, Machang, Kota Bharu untuk Majlis Pelancaran Program Ziarah Ramadhan 1433 Hijrah dan penyerahan sumbangan kepada sekolah-sekolah terlibat.  Destinasi seterusnya ke Sg. Petani, Kedah pada 4hb Ogos untuk penyerahan sumbangan kepada kumpulan sasar terlibat. Perak dijangka menjadi destinasi terakhir bagi penyerahan sumbangan kepada kumpulan sasar iaitu pada 5hb Ogos sebelum melabuhkan tirai penutup bagi Program Ziarah Ramadhan ini di Hotel Corus Kuala Lumpur pada 10hb Ogos 2012. 
Terima kasih kepada semua yang  terlibat dalam program 4 hari ini khususnya Team Buraqoil, IPTB Sdn Bhd, Red Adventure, KTC, YB Dato' Saarani Mohamad, 1981 Tapah Resthouse serta media-media yang terlibat - TV3, TV9, Bernama TV, TV AlHijrah, Sinar Harian, Kosmo, Metro dan banyak lagi...

Ana Raffali bergambar bersama kakitangan Buraqoil

 


Singgah sebentar di Kg Raban, Lenggong Perak.



Friday, July 27, 2012

Legoland Malaysia Bakal Dibuka...



Berita baik  buat peminat LEGO ( antara jenama permainan paling popular di dunia), Legoland Malaysia, taman tema pertama di Asia bakal dibuka pada 15 September 2012.



LEGOLAND® MALAYSIA ANNOUNCES OPENING DATE
  Park begins countdown to 15 September official opening date
  First-of-its-kind theme park in Asia begins sale of discounted day tickets
  Over 35,000 annual passes sold to date
The 30% discount will be for a limited period only, so avid LEGOLAND fans are advised to
keep a close eye on the LEGOLAND Malaysia website  http://www.legoland.com.my/  for
announcements. 

Special Promotion Price   Regular Price 
For a limited period only 
Adult – RM96 / (SGD40)
Child/Senior Citizen – RM70 / (SGD29)

Adult – RM140 / (SGD58)
Child/Senior Citizen – RM110 / (SGD46)

Annual passes will also remain on sale  through SISTIC & RedTix. Over  35,000  of these
passes have been sold to date across the region since December.

Friday, July 13, 2012

Merakyatkan Industri Pelancongan

Bila sebut soal pelancongan, ramai yang menyatakan pelancongan adalah untuk golongan tertentu sahaja. Untuk mereka yang terlibat secara langsung dengan industri pelancongan sahaja seperti agensi pelancongan, penyedia perkhidmatan penginapan atau pengangkutan pelancongan.
Saya terpanggil untuk merungkaikan perkara ini kerana kebanyakkan daripada kita melihat sektor pelancongan ini dalam pandangan yang sempit. Tanggapan bahawa limpahan nikmat daripada sektor pelancongan hanya untuk golongan tertentu sahaja perlu kita fikirkan kembali kebenarannya.
Pada tahun 2011 sebanyak 24.7 juta pelancong telah datang ke Malaysia dengan nilai pendapatan kepada negara sebanyak RM56.6 billion. Pada tahun 2020 pula, Kementerian Pelancongan  telah meletakkan sasaran sebanyak 36 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM168 billion menerusi Plan Transformasi Pelancongan Negara. Malah menurut UNWTO (United Nation World Tourism Organiszation) di peringkat antarabangsa pada tahun  2011 kadar pendapatan menerusi sektor pelancongan dunia telah melebihi US$1 trillion buat pertama kalinya iaitu peningkatan dari US$196 billion pada tahun 2010. Peningkatan sebanyak 3.8% ini menunjukkan potensi yang cukup besar dalam dunia pelancongan masa kini.
Dengan jumlah yang berbillion ringgit itu mungkin ramai yang bertanya berapa banyakkah  yang masuk ke ‘poket’ mereka? Atau apakah manfaat yang mereka dapat hasil daripada limpahan pelancong yang datang ke negara kita?
Jika dilihat pada mata kasar kita mungkin tidak dapat melihat manfaatnya secara langsung. Tetapi tahukah anda bahawa kita semua telah dan akan mendapat manfaatnya! Cuba lihat betapa besarnya sumbangan sektor pelancongan ini dalam ‘menghidupkan’ ekonomi kita.  Dari peniaga di gerai di tepi jalan sehinggalah gedung membeli-belah besar. Dari pemandu teksi bajet sehinggalah pemandu kereta sewa mewah. Begitu juga dengan ‘orang kampung’ yang tinggal jauh di pendalaman turut mendapat percikan nikmat daripada sektor pelancongan dengan adanya program-program homestay di tempat tinggal mereka.  Semuanya mendapat nikmat daripada limpahan rezeki dunia pelancongan dengan kunjungan pelancong yang datang.
Bukan itu sahaja, malah kebelakangan ini boleh dikatakan semua industri dikaitkan dengan pelancongan. Umpamanya sekarang ini kita telah ada pelbagai sektor yang menjurus kepada sektor pelancongan seperti Pelancongan Perubatan, Pelancongan Pendidikan, Pelancongan Pertanian, Pelancongan Sukan, Pelancongan Ibadah dan bermacam-macam lagi.
Pada kesempatan ini saya ingin menyeru agar kita semua mengambil peluang yang besar dalam industri pelancongan ini untuk kita nikmati bersama. Jom kita rebut peluang ini sama ada dengan menyediakan perkhidmatan untuk pelancong atau membangunkan produk-produk pelancongan yang berinovasi baru dan berpotensi menarik perhatian pelancong. Buat peniaga, berniagalah sebaik dan seikhlas mungkin dengan memberikan produk dan perkhidmatan yang terbaik. Buat pemandu teksi atau pemandu limo, anda sebenarnya ‘orang penting’ dalam menarik keyakinan pelancong terhadap negara ini. Berikanlah khidmat yang baik dan jujur, nescaya pelancong akan datang lagi ke negara kita. Apa yang pasti, pelancongan adalah milik semua rakyat Malaysia dan marilah kita sama-sama merakyatkan pelancongan.
Saya juga berharap agar kita dapat menjadikan aktiviti pelancongan ini sebagai satu jambatan silaturahim di antara kita semua sekali gus membuktikan pelancongan adalah hak kita bersama.  

Thursday, June 28, 2012

Agensi Haram Buat Duit, Agensi Halal Gigit Jari…




Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih buat semua   yang tidak henti-henti memberi sokongan dan maklum balas sama ada yang positif mahupun sebaliknya.
Memang sukar untuk memenuhi citarasa semua namun saya akan pastikan semua khalayak  mendapat sesuatu yang cukup berharga daripada apa yang kami paparkan. Pada keluaran yang lalu menerusi  artikel bertajuk Agensi Halal, Agensi Haram – Situasi Kritikal Agensi Pelancongan Tempatan, saya menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak. Ada yang menyokong  dan tidak kurang juga ada yang tidak bersetuju dengan apa yang saya nyatakan. Walau apapun tanggapan anda, realitinya sekarang ini kemelut yang melanda industri pelancongan ketika ini tidak dapat dibendung lagi.
Ada juga individu yang saya temui menyatakan lesen agensi pelancongan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelancongan sudah tidak ada maknanya lagi. Ada lesen atau tidak itu tidak penting bagi mereka. Apa yang penting mereka boleh buat ‘duit’.  Selama ini mereka  telah mengaut keuntungan yang banyak dengan menguruskan pelbagai pakej pelancongan di dalam dan luar negeri sama ada di internet mahupun secara terus.  Bila ditanya mengapa tidak mohon lesen dan jalankan operasi secara ‘halal’? Jawabnya mudah saja, “Macam mana nak operasi secara ‘halal’. Nak mohon lesen susah sangat. Lesen outbound pun dibekukan.  Banyak betul birokrasi yang menyusahkan . Modal pula  tinggi !”
Inilah antara keluhan yang saya dengar.  Namun mungkin banyak lagi keluhan dengan pelbagai alasan lain yang saya tidak dengar.  Hakikatnya bukan mereka tidak mahu memohon lesen secara sah, tapi karenah birokrasi yang membebankan itulah yang menyebabkan mereka meluat untuk mengikut saluran yang betul.
Sudah tiba masanya pihak Kementerian Pelancongan   mengkaji semula Akta Industri Pelancongan 1992 untuk memastikan akta tersebut relevan untuk digunapakai pada zaman sekarang.  Banyak perkara-perkara yang tidak termaktub dalam akta tersebut antaranya seperti  penjualan pakej-pakej pelancongan di internet dan juga penjualan pakej pelancongan oleh pihak pengusaha produk pelancongan.  Alangkah elok kira pihak kementerian juga  dapat mempermudahkan urusan permohonan lesen pelancongan untuk manfaat bersama sekali gus memperkasakan lagi industri pelancongan negara. Renung-renungkanlah apa yang dilaungkan oleh Perdana Menteri  kita yang berbunyi “ Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”! 
Dalam masa yang sama agensi pelancongan yang ‘halal’ terpaksa bersaing dengan agensi pelancongan ‘haram’.  Ada ketikanya mereka yang menjalankan operasi secara haram ini mengaut keuntungan yang jauh berlipat kali ganda daripada agensi pelancongan yang berlesen. Akhir sekali agensi pelancongan yang berlesen ini terpaksa berputih mata dan menggigit jari melihat  keuntungan yang sepatutnya mereka dapat  mengalir ke poket orang lain.


Tuesday, June 12, 2012

Selamatkah Destinasi Pelancongan Kita?

Salah satu faktor utama yang sering diambil kira ketika memilih destinasi pelancongan adalah faktor keselamatan. Jika tahap keselamatan disesuatu destinasi percutian itu diragui, maka percutian yang umumnya bermatlamatkan mencari ketenangan dan kedamaian pasti bertukar menjadi ketakutan.
Faktor keselamatan destinasi percutian yang ingin kita kunjungi sememangnya menjadi keutamaan dalam merancang percutian. Bila sebut soal keselamatan, kita tidak boleh berkompromi lagi... Mana mungkin kita memilih destinasi pelancongan yang kita tahu bakal mengancam nyawa kita malah harta benda kita. Lebih-lebih lagi destinasi percutian luar negara yang banyak berlalu kekacauan, huru hara atau yang dilanda wabak penyakit.
Namun sebelum kita sibuk melihat negara luar yang berhadapan dengan pelbagai kemelut keselamatan di destinasi pelancongan, cuma kita lihat dulu tahap keselamatan destinasi pelancongan kita khususnya kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Baru-baru ini saya dikejutkan dengan komen daripada seorang rakan saya yang berasal dari Perancis mengenai  tahap keselamatan dalam kalangan pelancong yang bercuti ke negara kita. Sudah tiga kali dia datang melancong ke sini tapi malangnya setiap kali percutiannya di sini berakhir dengan kisah sedih apabila anda sahaja  harta bendanya  yang hilang. Kali pertama kameranya dicuri dan yang terbaru wangnya yang disimpan di dalam bilik hotel pula lesap ! Itu baru kisah tentang kehilangan harta benda. Belum lagi kisahnya ditipu oleh pemandu teksi.  Begitu juga dengan kes-kes yang lebih dahsyat yang berlaku baru-baru ini  kepada pelancong dari Eropah  yang diperkosa di sebuah negeri di pantai timur apabila mereka  pulang dari Pulau Perhentian. Malah ketika saya berada di sebuah Pondok Polis Pelancong di MATIC baru-baru ini saya melihat anda beberapa orang pelancong sedang sibuk membuat laporan polis tentang kejadian kecurian dan peras ugut di Kuala Lumpur.
Saya termenung panjang... Jika situasi ini adalah realiti apa yang berlaku di negara kita, saya rasa amat kecewa. Rasa kecewa bercampur malu yang teramat sangat. Tak tahu bagaimana ingin saya terjemahkan  rasa hati saya ini.
 Aduhai warga Malaysia yang budiman... Walaupun isu ini nampak remeh dah terpinggir, namun ia memberi implikasi yang cukup besar kepada industri pelancongan kita. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia, tapi malangnya sikap segelintir masyarakat kita yang tidak bertanggungjawab ini telah menghancurkan imej dan nama baik negara kita.
Saya ambil contoh kecil tentang apa yang berlaku dalam konteks pelancongan negara kita. Tapi biarlah kita berfikir dalam konteks yang lebih besar. Usah tunggu atau menunding jari mencari salah siapa. Usah biarkan tanggungjawab ini diserahkan kepada pihak tertentu sahaja. Saya sering nyatakan bahawa tugas untuk memperkasakan dan memartabatkan industri pelancongan ini adalah tugas kita bersama. Pihak polis umpamanya telah melakukan tugas mereka sebaik mungkin dalam menjaga keamanan negara. Kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab juga harus memainkan peranan kita sebaik mungkin dalam memastikan destinasi pelancongan kita selamat sepanjang masa. Saya percaya dengan komitmen semua pihak, imej destinasi pelancongan kita akan sentiasa dipandang secara positif sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong untuk melawat negara ini dengan tenang.


Wednesday, June 6, 2012

Untunglah Pemandu Teksi...

Dalam beberapa bulan yang lalu saya ada memaparkan beberapa kisah pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab yang menipu pelancong.  Hasil daripada paparan itu menampakkan hasil yang amat positif apabila ada tindakan susulan segera yang diambil oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan beberapa agensi berkaitan.
Baru-baru ini pula Kementerian Pelancongan mengambil inisiatif murni dengan melaksanakan program pemandu teksi sebagai ‘Duta Teksi Pelancongan’. Tahniah kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang memahami denyut nadi rakyat khususnya pelancong dengan melancarkan program tersebut.
Saya yakin usaha yang telah diambil oleh Kementerian Pelancongan tersebut bakal memberikan implikasi yang positif dalam memberi nafas baru kepada industri pelancongan negara. Bersandarkan kepada objektif untuk mewujudkan kesedaran kepada pemandu teksi dan pengusaha teksi terhadap pentingnya peranan mereka dalam mempromosikan negara bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia, program ini diharapkan mendapat sambutan baik dalam kalangan pemandu teksi. Program ini juga menjadi saluran usahasama di antara Kementerian Pelancongan dan penggiat industri pelancongan dengan pemandu-pemandu teksi dalam membangunkan industri pelancongan negara.
Saya difahamkan,  tugas sebagai Duta Teksi Pelancongan bukanlah satu tugas yang boleh diambil mudah. Mereka bertanggungjawab untuk mempromosikan keunikan dan keindahan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih dan bertaraf antarabangsa serta menjadi rujukan oleh pelancong untuk mendapatkan maklumat mengenai destinasi pelancongan negara.
Sehubungan itu pihak kementerian telah menetapkan beberapa kriteria asas untuk pemandu teksi yang berhasrat untuk menjadi Duta Teksi Pelancongan.  Selain syarat asas seperti warganegara Malaysia, berumur 21-60 tahun, berperibadi baik dan kemas, mereka juga perlu berpengetahuan mengenai industri pelancongan. Mereka yang terpilih juga akan diwajibkan mengikuti satu kursus khas Duta Teksi Pelancongan.
Baguslah jika program murni kerajaan ini disambut baik oleh semua pemandu teksi. Untunglah pemandu teksi zaman sekarang. Selain dapat pendapatan dengan membawa penumpang, mereka juga kini boleh menyumbang kepada pembangunan industri  pelancongan negara dengan cara yang tersendiri.
Namum bagi saya apa yang lebih penting adalah kita mewujudkan budaya murni yang lebih semulajadi dalam kalangan pemandu teksi agar lebih ‘mesra pelancong’ sepanjang masa. Bukan sekadar jadi Duta Teksi Pelancongan secara ‘terpaksa’ dek kerana mengejar imbuhan yang diberikan sahaja. Saya percaya kebanyakkan pemandu teksi di Malaysia ini terdiri daripada kalangan orang yang baik-baik dan bertanggungjawab sekali gus boleh dinobatkan sebagai Duta Teksi Pelancongan. Cuma apa yang membimbangkan adalah sikap segelitir pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab yang mencemarkan nama baik serta imej teksi di negara kita.
Untuk itu saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Duta Teksi Pelancongan ini khususnya buat wagra Kementerian Pelancongan Malaysia dan Tourism Malaysia. Semoga usaha murni kalian menjadi aspirasi buat semua rakyat Malaysia yang bernaung dibawah kibaran Jalur Gemilang.

Saturday, March 31, 2012

Jom Jadi Jemaah Pelancongan

Saya tumpang rasa bangga apabila Malaysia dinobatkan sebagai antara 10 destinasi pelancongan yang terbaik di dunia oleh Lonely Planet.  Malaysia  juga diumum sebagai destinasi pelancongan kedua terbaik di Asia oleh 'Go Asia', sebuah rangkaian pemasaran pelancongan yang khusus kepada rantau Asia baru-baru ini.
Pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa ini   menjadi bukti bahawa destinasi pelancongan di negara kita kian mendapat tempat dalam kalangan pelancong antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh penggiat industri pelancongan khususnya buat warga Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia yang sekian lama bertungkus lumus mempromosikan Malaysia di mata dunia. Usaha dan keringan kalian sangat besar ertinya dalam memartabatkan industri pelancongan negara.
Tapi di sebalik pencapaian cemerlang itu, ada juga kisah terpinggir yang mencalarkan nama baik sektor pelancongan kita. Jika dilihat secara rambang, masyarakat kita masih belum cukup ‘mesra pelancong’.  Baru-baru ini saya sempat singgah minum kopi di sebuah kopitiam di Kuala Lumpur.  Sedang saya meneguk secawan kopi saya terpandang seorang pelancong ‘Mat Salleh’ sedang memegang peta mencari destinasi yang ingin dia tujui. Hampir 10 minit pelancong tersebut terpingga-pingga di tepi jalan, tapi tiada seorang pun yang lalu lalang di situ memperdulikan pelancong tersebut. Aduhai rakyat Malaysia, susah sangatkah menghulurkan bantuan. Apalah salahnya kita memberi bantuan apa sahaja yang kita mampu. Jika tak mampu untuk memberikan bantuan, cukuplah sekadar dengan memberi senyuman.
Saya ambil contoh kecil   tentang realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Jika situasi sebegitu menjadi budaya dalam masyarakat kita, masa depan industri pelancongan kita juga mungkin akan terancam.  Saya sering nyatakan bahawa tugas untuk memajukan industri pelancongan bukan hanya tugas pihak kerajaan atau agensinya Tourism Malaysia sahaja.  Tugas untuk memperkasakan industri pelancongan ini adalah tugas kita semua. Jika kita seorang pemandu teksi, jadilah pemandu teksi yang bertanggungjawab kepada pelancong. Jika kita seorang peniaga, jadilah peniaga yang jujur kepada pelancong. Walau siapapun kita, ayuhlah kita jadi masyarakat Malaysia yang mesra pelancong.  Pendek kata, jom kita jadi  ‘Jemaah Pelancongan’ yang sentiasa bersedia membantu pelancong dan mersa pelancong sepanjang masa.  Jika tugas memperkasakan industri pelancongan ini dapat kita laksanakan secara ‘berjemaah’ , mudah-mudahan industri pelancongan kita akan berkembang dengan lebih pesat lagi sekali gus memberi manfaat untuk kita semua.
Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana telah mengambil inisiatif murni  mewujudkan Kuala Lumpur Tourism Development Council (KLTDC) sebagai satu usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan di Bandaraya Kuala Lumpur. Dengan gabungan wakil-wakil dari agensi kerajaan, swasta dan NGO yang akan berkongsi pandangan dan saranan, saya percaya KLTDC berupaya memberi nafas baru buat industri pelancongan negara. Cuma saya berharap pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur dapat memberi ruang kepada pihak media pelancongan untuk turut sama menjadi ahli majlis tersebut. Saya rasa peranan media dalam memperkasakan industri pelancongan di Kuala Lumpur tidak seharusnya dipinggirkan dalam perkara ini. Semoga industri pelancongan negara akan lebih maju dan makmur.

Sunday, January 15, 2012

Agensi Halal , Agensi Haram?

Situasi Kritikal Agensi Pelancongan Tempatan






Laporan:
Baru-baru ini saya dikejutkan dengan beberapa kaedah agensi pelancongan yang tidak berlesen atau lebih senang dilabelkan sebagai agensi pelancongan haram melakukan operasi perniagaan mereka. Sama ada secara terang-terangan dengan membuka kaunter di lot-lot kedai mahupun disebalik alam maya iaitu di internet. Persoalannya jika kita sebagai pengguna tertipu dengan taktik licik agensi haram ini apakah nasib kita sebagai pengguna akan terjamin. Saya berharap pihak tuan dapat mengupas isu ini dan mengenal pasti punca berlakunya situasi ini sehingga menjejaskan sektor pelancongan negara. Saya berharap akan ada satu mekanisma baru untuk manfaat bersama.


Mahyee Nazree
Kuala Kubu Baru





Hasil Siasatan :


Di sebalik kerancakkan industri pelancongan negara kita tidak nafikan ada ketikanya berlaku kepincangan dalam pengurusan sektor pelancongan yang perlu diberi perhatian sewajarnya. Isu agensi pelancongan haram ini bukan isu baru malah sudah sekian lama menghantui industri pelancongan negara. Ada yang meraih keuntungan malah ada yang menanggung kerugian. Cuba kita renung sejenak siapa yang untung dan siapa yang rugi? Siapa yang ambil kesempatan dan siapa pula yang ambil apa yang sempat? Mungkin kenyataan saya ini nampak lucu tapi sama ada kita sedar ataupun tidak industri pelancongan kita masa kini sebenarnya masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki. Berbalik kepada persoalan yang saya nyatakan tadi, siapa yang untung dan siapa pula yang rugi, anda mungkin beranggapan agensi pelanconganlah yang paling 'beruntung' di sebalik kejayaan industri pelancongan hari ini. Benarkah mereka (pengusaha agensi pelancongan) yang paling banyak 'buat duit' ketika ini. Jawapannya mungkin 'Tidak'! Jika tidak kenapa pula? Tahukah anda mengusahakan agensi pelancongan bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Selain risiko pembatalan tempahan pakej pada saat akhir oleh pelanggan, agensi pelancongan kini terpaksa bersaing untuk mendapatkan pelanggan bukan sahaja dalam kalangan sesama agensi pelancongan malah kini berhadapan pula dengan agensi pelancongan haram sama ada yang beroperasi secara terang-terangan dengan membuka kaunter ataupun yang beroperasi di internet. Malah penjual-penjual pakej pelancongan menerusi internet ini yang kebanyakannya tiada lesen yang sah daripada pihak Kementerian Pelancongan telah mengaut keuntungan yang jauh lebih besar dengan modal yang kecil.
Dalam tinjauan saya ke sekitar ChowKit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Pantai Cenang Langkawi di dapat masih ada pihak yang menjalankan kegiatan menjual pakej pelancongan dan tiket penerbangan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.
Bagi merungkai kemelut yang melanda industri pelancongan semasa ini, saya telah berkesempatan mendapatkan komen daripada Dato’ Syed Mohd Razif Al Yahya, Pengarah Urusan Kumpulan Sri Sutra Travel  dan juga mantan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Bumiputera (BUMITRA).
Menurut Dato’ Syed Mohd Razif yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam agensi pelancongan, nasib agensi pelancongan tempatan semakin terjejas dengan pelbagai faktor yang bakal menghancurkan industri tersebut.
“Agensi pelancongan tempatan kini bukan sahaja terpaksa bersaing dengan agensi-agensi pelancongan  haram malah berhadapan pula dengan pesaing daripada penggiat industri pelancongan haram tetapi juga  pengusaha produk pelancongan dan pengangkutan,” katanya.
Menurutnya industri pelancongan didokong oleh empat tiang utama iaitu penginapan (hotel, resort, chelet, homestay), pengangkutan , industri sokongan(produk tarikan pelancongan) dan agensi / operator pelancongan. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri. Sektor penginapan menyediakan kemudahan pengiapan yang selesa dan sempurna kepada pelancong. Sektor pengangkutan menyediakan kenderaan yang sempurna dan selamat untuk membawa pelancong ke destinasi pelancongan . Sektor industri sokongan pula memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk produk-produk pelancongan mereka manakala sektor agensi pelancongan pula memasarkan pakej-pakej pelancongan kepada pengguna dengan khidmat yang baik.
Apa yang lebih meresahkan agensi pelancongan adalah pesaing tersebut terdiri daripada pengusaha industri sokongan pelancongan seperti pengusaha hotel atau resort dan pengangkutan pelancongan seperti syarikat penerbangan, keretapi dan bas ekspres.Sama ada kita sedar atau tidak, pengusaha industri sokongan pelancongan ini turut menawarkan perkhidmatan seperti agensi pelancongan iaitu dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan. Lebih dari itu mereka menawarkan pakej tersebut pada harga yang jauh lebih murah daripada apa yang ditawarkan oleh pihak agensi pelancongan. Tidak cukup dengan ‘ancaman’ itu, kini syarikat penerbangan tempatan juga secara terang-terangan melancarkan pakej-pakej pelancongan secara on-line.
Saya percaya bukan satu malah hampir semua syarikat penerbangan tempatan turut menawarkan pakej-pakej pelancongan sama ada untuk destinasi domestik dan antarabangsa. Kalau semua menjual pakej pelancongan, macam mana agensi pelancongan hendak 'cari makan'.Itu pesaing dari penggiat industri yang ‘halal’. Tidak cukup dengan cabaran tersebut, nasib agensi pelancongan turut dihantui dengan pesaing agensi pelancongan haram dan juga pihak-pihak yang 'menjual' pakej-pakej pelancongan menerusi internet.
Menurut Dato’ Syed Mohd Razif lagi, hasil pendapatan agensi pelancongan hanya bergantung kepada komisyen dan yuran perkhidmatan. Namun sejak kebelakangan ini pendapatan agensi pelancongan terjejas disebabkan faktor-faktor tersebut.
Sementara itu menurut tinjauan yang dilakukan kewujudan agensi pelancongan haram banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti kesukaran untuk mendapatkan lesen pelancongan daripada Kementerian Pelancongan. Menurut sumber daripada Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga 31 Oktober 2011 kementerian terbabit telah mengeluarkan lesen kepada lebih 3059 buah syarikat  untuk menjalankan perkhidmatan agensi pelancongan dan pengembaraan. Namun sejak Jun 2010  pihak Kementerian Pelancongan telah membekukan sementara sementara pengeluaran lesen Outbound (luar negara) dan hanya mengeluarkan lesen pelancongan untuk kategori Inbound (dalam negeri) sahaja. Tindakan ini dipercayai sebagai usaha pihak kerajaan dalam menggalakkan rakyat tempatan untuk bercuti di dalam negara dan meningkatkan lagi jumlah pelancong asing ke negara ini.  Selain itu pelbagai syarat tambahan yang dikenakan juga ketat sehingga membuatkan usaha untuk mendapatkan lesen pelancongan agak sukar bagi sesetengah pihak. Syarikat yang ingin memohon lesen juga perlu mempunyai modal berbayar minimum RM200,000 sebagai syarat tambahan untuk mendapatkan lesen tersebut.  (* Sila rujuk jadual syarat-syarat dan garis panduan permohonan lesen agensi pelancongan).
Menurut Akta Industri Pelancongan 1992 Bahagian II, no 5. (2)
Tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan, atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan- (a) perniagaan pengendalian pelancongan; atau perniagaan agensi pengembaraan, melainkan jika ia adalah suatu syarikat dan memegang lesen sah yang diberikan di bawah Bahagian ini.
Mana-mana orang yang melanggar subseksyen  (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, boleh, sebagai tambahan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.
Kita sudah punya undang-undang yang tegas dalam usaha membendung kegiatan agensi pelancongan haram ini namun menurut maklum balas daripada ramai agensi pelancongan, akta tersebut perlu dikaji semula mengikut keadaan semasa.  Dalam dunia tanpa sempadan dengan penggunaan teknologi maklumat, kajian semula terhadap akta berkenaan perlu diperhalusi memandangkan tiada peruntukan khusus untuk mereka yang menjalankan perkhidmatan sebagai agensi pelancongan di internet. Begitu juga dengan syarat-syarat tambahan yang membebankan juga harus dikaji semula. Bak kata Perdana Menteri yang kita sayangi “ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.  Biarlah kita kurangkan karenah birokrasi yang menyesakkan itu dan permudahkan segala urusan agar ianya dapat memberi manfaat kepada industri pelancongan dan negara.
Selain itu pihak Kementerian Pelancongan juga disarankan agar mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang menjalankan perkhidmatan agensi pelancongan tanpa lesen yang sah. Satu garis panduan khusus atau undang-undang  perlu diwujudkan bagi memastikan pengusaha industri sokongan pelancongan seperti penginapan dan pengangkutan tidak sewenang-wenangnya bertindak sebagai agensi pelancongan dengan menjual pakej-pakej pelancongan kepada pelanggan. Dengan adanya garis panduan tersebut diharapkan nasib agensi pelancongan akan terus terbela dan seterusnya mampu menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara.
Saya berharap ada sinar baru dalam industri pelancongan negara dan berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan akan memantau kegiatan yang akan merosakkan industri pelancongan kita ini. Apa gunanya Kementerian Pelancongan mengeluarkan lesen agensi pelancongan jika ada pihak tertentu yang bersenang lenang menjalankan aktiviti agensi pelancongan dengan mengaut keuntungan besar tanpa ada lesen.
Selain pihak Kementerian Pelancongan selaku agensi yang bertanggungjawab dalam industri pelancongan negara, pihak persatuan atau NGO yang terbabit dalam sektor pelancongan seperti MATTA (Persatuan Agensi Pengembaraan & Pelancongan Malaysia) harus lebih prihatin terhadap nasib ahli-ahli mereka. Saya juga berharap kepimpinan  MATTA umpamanya akan lebih prihatin terhadap nasib ahli-ahlinya yang selama ini begitu dahagakan pembelaan. Usahlah sibuk bertanding mengejar jawatan dalam MATTA tetapi kebajikan ahli langsung tidak diberi perhatian. Buat pengusaha industri sokongan pelancongan seperti hotel, resort, syarikat pengangkutan dan sebagainya, tolonglah sama agensi pelancongan tempatan kita yang mengharapkan sedikit rezeki daripada sektor ini. Jika semua pihak dapat saling bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil industri pelancongan kita akan bertambah maju dan nikmatilah rahmatnya sama-sama.
Banyak perkara yang perlu diperhalusi dan dinilai semula agar ianya dapat menyumbang kepada kepesatan industri pelancongan negara. Sebenarnya industri pelancongan kita boleh 'pergi' lebih jauh lagi. Apa yang penting adalah jalinan kerjasama semua pihak tidak kira di sektor korporat atau kerajaan.




GARIS PANDUAN PERMOHONAN LESEN BARU


PERNIAGAAN PENGENDALIAN PELANCONGAN / AGENSI PENGEMBARAAN



1) Syarat-syarat Permohonan :

i. Syarikat Sendirian Berhad yang telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

ii. Borang permohonan mesti ditandatangani oleh Pengarah syarikat dan di cop syarikat.

iii. Mematuhi syarat modal berbayar dan pegangan saham maksimum yang dibenarkan, seperti di Lampiran.

iv. Ahli Lembaga Pengarah/Pemegang Saham syarikat pelancongan yang berlesen dengan Kementerian tidak dibenarkan mempunyai syarikat pelancongan lain selain lesen cawangan.

v. Menjelaskan kompaun mengikut AIP 1992 (jika ada).

vi. Nama syarikat hendaklah melambangkan aktiviti pelancongan cth: travel, tours, holiday, adventure dsb.

vii. Sekiranya permohonan syarikat diluluskan, dalam tempoh 2 bulan surat kelulusan sementara sekurang-kurangnya seorang wakil syarikat diwajibkan hadir kursus Travel & Tour Management Course (TTMC) yang dianjurkan oleh Institut Latihan Pelancongan yang berlesen dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.  

2) Dokumen Yang Diperlukan :

i. Borang 1 (Peraturan 3) sebanyak 2 salinan atau permohonan melalui atas talian di www.spip.gov.my

ii. Salinan Memorandum dan Tataurusan Syarikat

iii. Salinan Borang 9 (Certificate of Incorporation of Private Company)

iv. Salinan Borang 13 (Certificate of Incorporation on Change of Name of Company) (jika ada)

v. Salinan Borang 24 (Returned of Allotment of Shares)

vi. Salinan Borang 32A (Form of Transfer of Securities) (jika ada)

vii. Salinan Borang 49 (Return Giving Particulars in Register of Directors, Managers and Change of Particulars).

viii. Salinan Kad Pengenalan Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Saham

ix. Dua (2) keping Gambar berukuran pasport terkini bagi setiap Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Saham.

x. Kertas kerja yang mengandungi maklumat berikut:

A. Pendahuluan / Latar Belakang Syarikat

B. Kedudukan Kewangan

C. Pengalaman Pengarah / Pemegang Saham / Pengurusan

D. Strategi Dan Perancangan Pemasaran

E. Hubungan Perniagaan (Contact)

F. Penutup

4) Dokumen Sokongan Pengalaman

 Salinan sijil-sijil akedemik Lembaga Pengarah/Pemegang Saham/kakitangan berkaitan bidang pelancongan/perniagaan.

Surat pengesahan pengalaman kerja bagi Lembaga Pengarah / Pemegang Saham atau kakitangan syarikat (jika berkaitan).

Surat hubungan kerjasama perniagaan Agensi Luar Negara (jika berkaitan).

Pakej-pakej (Inbound / Outbound) yang disediakan jika berkaitan.

Surat sokongan dari pihak yang berkaitan (jika ada).

5) Fi proses : RM100 bagi setiap permohonan dalam bentuk bank draf/Kiriman Wang/Wang Pos atas nama Pesuruhjaya Pelancongan.

6) Piagam Pelanggan : 20 hari berkerja (Manual) / 5 hari bekerja (SPIP) dari tarikh permohonan lengkap diterima.

7) Keputusan permohonan akan dimaklumkan melalui surat kepada alamat berdaftar syarikat (company secretary).

8) Sekiranya permohonan ditolak, syarikat boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat keputusan dikeluarkan.

9) Lesen dan pelekat perniagaan akan dikeluarkan setelah premis operasi syarikat diluluskan.

10) Fi lesen : Inbound (RM250) , Outbound (RM500) , Ticketing (RM200)



Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan lesen agensi pelancongan:


Kementerian Pelancongan Malaysia
No. 2, Menara 1, Jalan P5/6
Presint 5
62200 PUTRAJAYA
03 8891 7000
# Artikel ini telah disiarkan di dalam Majalah SANTAI Travel keluaran Januari 2012