Monday, September 19, 2016

DBKL & UKM JALIN KERJASAMA JAYAKAN DUTA PELANCONGAN KUALA LUMPUR





KUALA LUMPUR : Selepas lebih setahun program KL Tourism Ambassador dilaksanakan,  program ini telah berjaya memberikan impak positif kepada industri pelancongan di Kuala Lumpur. Hari ini DBKL menerusi Biro Pelancongan Kuala Lumpur, telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) khususnya  dalam bidang kemasyarakatan, sukarelawan dan pelancongan. Pada majlis yang sama Datuk Bandar Kuala Lumpur juga turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 21 orang Sukarelawan Duta Pelancongan Kuala Lumpur. Sejak dilancarkan pada 17 Disember 2014 seramai 111 orang telah terlibat dalam program tersebut. 

Menerusi Memorandum Persefahaman tersebut, DBKL dan UKM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam menjayakan program Sukarelawan Duta Pelancongan Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Tourism Ambassador. Penyertaan pelajar UKM di dalam program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang pelancongan untuk meningkatkan keyakinan diri serta kemahoran berkomunikasi. 

Pelajar yang terlibat akan diberi latihan serta tugasan sebagai sukarelawan pelancongan di beberapa tempat tumpuan pelancong. Selain memberi khidmat nasihat, mereka juga akan melaksanakan promosi dan publisiti aktiviti Sukarelawan Duta Pelancongan Kuala Lumpur. Pelajar yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 6 bulan akan diberikan sijil penghargaan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. 

Perlaksanaan program Sukarelawan Duta Pelancongan Kuala Lumpur ini adalah selaras dengan inisiatif 10.6 Kuala Lumpur Tourism Master Plan 2015-2025, di mana program ini melibatkan penyertaan masyarakat dalam membantu mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan mesra pelancong.  Inisiatif ini  juga bertujuan untuk memastikan para pelancong mendapat akses informasi dengan mudah serta tepat mengenai Kuala Lumpur, mudah untuk mereka terokai, jelajahi serta mendalami keunikan produk yang ditawarkan di Kuala Lumpur ini.

Sukarelawan tersebut merupakan wakil yang dilantik untuk berada di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bagi membantu, memberikan perkhidmatan serta menyampaikan informasi kepada pelancong yang memerlukakan khidmat nasihat.  

Pada majlis pelancaran ini, Datuk Bandar berkata, visi program ini adalah untuk mendapatkan penglibatan para sukarelawan membantu mempromosikan Kuala Lumpur kepada para pelancong dan pada masa yang sama memberikan mereka peluang untuk mendalami industri pelancongan”. 

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas jalinan kerjasama yang telah diberikan oleh  UKM  menerusi Memorandum Persefahaman ini. DBKL amat berbesar hati di atas kesudiaan dan penglibatan UKM di dalam melaksanakan inisiatif ini kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama, serta memberikan inspirasi untuk memperbagaikan semangat sukarelawan di bandaraya ini”, tambah Datuk Bandar lagi. 
Sementara itu menurut YBhg. Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah,  Timbalan Naib Canselor  UKM, program ini sesuai dengan keadaan semasa yang dinamik serta kehendak masyarakat dan pemegang taruh.


”UKM perlu peka dengan tranformasi dan tindakan awal supaya ianya sentiasa relevan, dirujuk dan dihormati ( 3Rs: relevant, referred & respected) agar peranannya sebagai “Pendaulat Amanah Negara” (Guardians of the Nation) diperjuangkan. Untuk itu, UKM telah mengenalpasti enam Bidang Keberhasilan Utama (Key Result Areas - KRA) yang menjadi dasar serta halatuju strategik pada masa hadapan,” kata  Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah.

Monday, August 29, 2016

Kuala Lumpur Heritage Guided Night Walk

KUALA LUMPUR 20 Ogos 2016: Semua bandar-bandar terkenal di dunia mempunyai tarikan unik dalam menengahkan imej serta  dan identiti tersendiri bandar tersebut. Meskipun ramai yang mengenali Kuala Lumpur melalui ikon  Menara Berkembar Petronas dan sebagai destinasi   membeli-belah, namun tapak warisan yang sedia ada dan budaya hidup Kuala Lumpur juga dilihat ber potensi untuk dijadikan produk  pelancongan yang kaya dengan sejarah, warisan dan budaya bandar.

Selaras dengan pengenalan penjenamaan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini - City of Contrasts & Diversity serta selaras dengan Pelan Induk Pelancongan KL 2015-2025: Inisiatif 1.2- Membangun dan mempelbagaikan jejak warisan dan produk;  Biro Pelancongan Kuala Lumpur telah memperkenalkan strategi intervensi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan secara kreatif. Ini termasuk penggunaan  zon warisan Kuala Lumpur sedia ada dan mendokumentasikan cerita-cerita warisan bagi memenuhi permintaan pelancong.

Di bawah inisiatif ini; 4 laluan Jejak Warisan, Kebudayaan dan Alam berpemandu pelancong telah direka secara kreatif  oleh Biro Pelancongan Kuala Lumpur. KLTB juga telah memilih pemandu pelancong yang mempunyai pengalaman cemerlang sebagai  pencerita untuk setiap laluan. Pemandu pelancong yang terlibat telah dipilih berdasarkan kepada keupayaan mereka untuk meyakinkan dan melibatkan pelancong dari segi intelektual serta emosi dengan Kuala Lumpur sekali gus memberikan pengalaman lawatan secara peribadi, relevan, bermakna dan dapat memberi kenangan tersendiri kepada pelancong.


PENGENALAN 4 LALUAN PERCUMA BERPEMANDU PELANCONG 
Biro Pelancongan Kuala Lumpur telah memperkenalkan 4 laluan jejak warisan berpemandu secara percuma  iaitu:

• Kuala Lumpur Guided Heritage Trail Walk
• The Walk Old KL & Nature Guided Walk
• Jalan-jalan Di Kampong Bharu Culture Walk
• Kuala Lumpur Heritage Guided Night Walk

Menurut Puan Noraza Yusof, Pengurus Besar Biro Pelancongan Kuala Lumpur menerusi  laluan jejak warisan berserta informasi  yang disediakan ia dapat menyumbang kearah pendidikan yang berpanjangan. Kepelbagaian budaya, warisan dan khazanah sejarah tersembunyi dapat diserlahkan kepada pelancong secara interaktif dan konsisten  sekali gus memberikan pengalaman yang menarik.

Pada tahun 2013, Biro Pelancongan Kuala Lumpur mula memperkenalkan laluan jejak warisan  - Dataran Merdeka Heritage Walk dan laluan ini  telah dianugerahkan penarafan cemerlang 5 bintang manakala jejak budaya Jalan-Jalan di Kampong Bahru turut menerima penarafan 5 bintang; kedua-duanya pengiktirafan ini adalah dari Trip Advisor, sebuah portal pelancongan sangat berpengaruh di dunia. Sehingga kini KLTB telah memperkenalkan 4 laluan jejak warisan berpemandu kepada pelancong .   Sejak diperkenalkan 8,000 pelancong berdaftar telah mengambil bahagian, dengan pecahan 70% pelancong asing dan 30% penduduk tempatan.

"Kami berharap para pelancong akan berkongsi dan menyampaikan pengalaman mereka menyertai jejak warisan dan budaya kepada pelancong lain yang bercadang untuk bercuti di Kuala Lumpur   sama ada melalui mulut ke mulut atau di media sosial," kata Noraza.

Beliau turut  percaya bahawa komunikasi bukan komersial sangat berkesan serta mampu mempengaruhi pelancong yang berpotensi dan membantu perancangan komunikasi sediada KLTB.

Sempena sambutan bulan kemerdekaan, Biro Pelancongan Kuala Lumpur telah menganjurkan Kuala Lumpur Heritage Guided Night Walk bagi memberikan peluang kepada wakil media untuk menghayati pengalaman mengikuti laluan tersebut. Jejak warisan ini ditawarkan kepada pelancong pada setiap hari Sabtu pada jam 7 malam dengan tempat permulaan di Arch Cafe merangkumi  laluan bersejarah Old Market Square di Jalan Lebuh Pasar, Masjid Jamek, Bazar Masjid India, Bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Coliseum Cafe, Dataran Merdeka dan Panggung Bandaraya. jejak warisan  ini menggabungkan penceritaan warisan sejarah bangunan yang turut di hiasi dengan sistem pencahayaan bangunan yang moden. 


Masjid Jamek dan kisah pertemuan dua sungai, budaya dan kemeriahan pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, kafe warisan - Coliseum, teater MUD dan berakhir di Dataran Merdeka di mana pelancong akan mempunyai peluang untuk bersama-sama warga Kuala Lumpur di padang tersebut.






Malaysia Maldives



Saturday, July 9, 2016

30 Tahun Memperkasa Industri Pelancongan


Selepas melalui proses penjenamaan semula, Majlis Pelancongan Malaysia yang dahulunya dikenali Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia (NTCM) terus mengorak langkah mempelbagaikan inisiatif memperkasakan pelancongan negara.
30 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Tanggal 16 Mei 1986 menjadi detik penting apabila Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelancongan yang dipengerusikan oleh YAB Musa Hitam yang ketika  itu Timbalan Perdana Menteri telah mengilhamkan penubuhan satu badan induk yang menjadi suara industri pelancongan yang kemudiannya dikenal sebagai NTCM. 
Pengalaman 30 tahun itu telah mematangkan MTC sebagai sebuah badan induk yang berkredibiliti bersama dan mempunyai ahli-ahli gabungan yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan. Banyak jasa dan sumbangan yang telah dicetuskan hasil daripada perjuangan MTC. 

Penubuhan  sebuah Kementerian bagi memajukan lagi industri pelancongan juga adalah hasil daripada gesaan  dan cetusan idea daripada MTC  di Persidangan Pelancongan Kebangsaan pada tahun 1986. MTC juga telah menggesa kerajaan  menambahkan lagi peruntukan bagi pembangunan pelancongan dari RM20 juta pada tahun 1986 kepada RM100 juta pada tahun berikutnya.  Penubuhan Majis Tindakan Pelancongan di setiap negeri juga telah disarankan oleh MTC yang melihat kepada potensi pembangunan industri pelancongan di negeri-negeri. Begitu juga dengan pelbagai acara atau program penting dalam sejarah pelancongan negara termasuklah penganjuran Tahun Melawat Malaysia 1990.
Hasil daripada kesungguhan semua ahli gabungan MTC yang tidak pernah mengenal erti jemu dalam memperjuangkan agenda pelancongan negara, MTC  terus cemerlang sebagai tunjang industri pelancongan negara.
Selepas setahun melalui proses pejenamaan semula bersama MTC telah melakukan transformasi serta menjalankan pelbagai aktiviti yang dilihat sesuai dalam konteks  pelancongan negara masa kini. Pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan ahli gabungan seperti Malam Industri Pelancongan Bersama Perdana Menteri, Merapoh Forest Run, World HOST 2016, MITA Tourism Fair 2016, Delegasi MOU MTC ke Dubai sempena Arabian Travel Market 2016, KL Travel Photojournalism Workshop dan banyak lagi telah berjaya diadakan. Begitu juga dengan perancangan masa depan iaitu penganjuran beberapa lagi program seperti Majlis Sambutan 30 Tahun MTC, National Tourism Conference dan menubuhkan Yayasan Pelancongan Nasional.
Apa yang pasti penubuhan MTC adalah selaras dengan tujuan asalnya iaitu menjadi badan perunding mengenai semua hal berkaitan dengan pelancongan sekaligus menjadi badan penyatuan semua badan sukarela dan NGO pelancongan negara. MTC juga berusaha kearah menghapuskan sebarang bentuk persaingan tidak sihat dalam kalangan penggiat industri serta meningkatkan nilai integriti dalam urusan pelancongan. Ia juga selaras dengan usaha menggalakkan etika kerja dan amalan perniagaan yang telus serta adil.

Saturday, June 11, 2016

Percutian Gaya Motorhome ke Australia

Percutian motorhome mungkin asing bagi kita warga Malaysia, namun percutian gaya ini begitu popular dalam kalangan masyarakat di Australia mahupun di barat. Selain dapat menjimatkan belanja, percutian gaya ini dapat memudahkan perjalanan kita ke destinasi pelancongan yang ingin kita tujui. Apa yang pasti pengalaman manis pasti akan dapat dikutip sepanjang perjalanan sama ada bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Seumpama hotel bergerak, kita bebas ke masa sahaja dengan konsep percutian Motorhome. Dilengkapi dengan kemudahan asas seperti ruang istirahat, peralatan memasak, peti sejuk, televisyen, katil dan bilik air, motorhome mampu memuatkan enam orang pada satu masa.

Melihat kepada potensi percutian gaya motorhome ini untuk pasaran pelancong tempatan, RedSTILETTO Camper (RSC)  mengambil inisiatif mengadakan pakej percutian berkonsepkan motorhome ke Perth Australia dan beberapa destinasi popular di luar negara. Tidak perlu susah payah mencari hotel atau kenderaan tatkala melancong. Segalanya ada di depan mata.

Magic of the Night (MOTN) 2016



Magic of the Night (MOTN), atau Keajaiban Malam, 2016 melabuhkan tirainya malam ini dengan kemenangan besar buat bot Negeri Perak melalui kategori Bot Terbaik Keseluruhan, di Anjung Floria, Putrajaya.
Pahang muncul juara bagi kategori Hiasan Lampu Terbaik manakala Perbadanan Putrajaya memenangi kategori Paling Kreatif. Kelantan dinobatkan sebagai bot Paling Popular apabila memenangi undian tertinggi dari orang ramai.