Sunday, January 15, 2012

Agensi Halal , Agensi Haram?

Situasi Kritikal Agensi Pelancongan Tempatan






Laporan:
Baru-baru ini saya dikejutkan dengan beberapa kaedah agensi pelancongan yang tidak berlesen atau lebih senang dilabelkan sebagai agensi pelancongan haram melakukan operasi perniagaan mereka. Sama ada secara terang-terangan dengan membuka kaunter di lot-lot kedai mahupun disebalik alam maya iaitu di internet. Persoalannya jika kita sebagai pengguna tertipu dengan taktik licik agensi haram ini apakah nasib kita sebagai pengguna akan terjamin. Saya berharap pihak tuan dapat mengupas isu ini dan mengenal pasti punca berlakunya situasi ini sehingga menjejaskan sektor pelancongan negara. Saya berharap akan ada satu mekanisma baru untuk manfaat bersama.


Mahyee Nazree
Kuala Kubu Baru





Hasil Siasatan :


Di sebalik kerancakkan industri pelancongan negara kita tidak nafikan ada ketikanya berlaku kepincangan dalam pengurusan sektor pelancongan yang perlu diberi perhatian sewajarnya. Isu agensi pelancongan haram ini bukan isu baru malah sudah sekian lama menghantui industri pelancongan negara. Ada yang meraih keuntungan malah ada yang menanggung kerugian. Cuba kita renung sejenak siapa yang untung dan siapa yang rugi? Siapa yang ambil kesempatan dan siapa pula yang ambil apa yang sempat? Mungkin kenyataan saya ini nampak lucu tapi sama ada kita sedar ataupun tidak industri pelancongan kita masa kini sebenarnya masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki. Berbalik kepada persoalan yang saya nyatakan tadi, siapa yang untung dan siapa pula yang rugi, anda mungkin beranggapan agensi pelanconganlah yang paling 'beruntung' di sebalik kejayaan industri pelancongan hari ini. Benarkah mereka (pengusaha agensi pelancongan) yang paling banyak 'buat duit' ketika ini. Jawapannya mungkin 'Tidak'! Jika tidak kenapa pula? Tahukah anda mengusahakan agensi pelancongan bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Selain risiko pembatalan tempahan pakej pada saat akhir oleh pelanggan, agensi pelancongan kini terpaksa bersaing untuk mendapatkan pelanggan bukan sahaja dalam kalangan sesama agensi pelancongan malah kini berhadapan pula dengan agensi pelancongan haram sama ada yang beroperasi secara terang-terangan dengan membuka kaunter ataupun yang beroperasi di internet. Malah penjual-penjual pakej pelancongan menerusi internet ini yang kebanyakannya tiada lesen yang sah daripada pihak Kementerian Pelancongan telah mengaut keuntungan yang jauh lebih besar dengan modal yang kecil.
Dalam tinjauan saya ke sekitar ChowKit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Pantai Cenang Langkawi di dapat masih ada pihak yang menjalankan kegiatan menjual pakej pelancongan dan tiket penerbangan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.
Bagi merungkai kemelut yang melanda industri pelancongan semasa ini, saya telah berkesempatan mendapatkan komen daripada Dato’ Syed Mohd Razif Al Yahya, Pengarah Urusan Kumpulan Sri Sutra Travel  dan juga mantan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Bumiputera (BUMITRA).
Menurut Dato’ Syed Mohd Razif yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam agensi pelancongan, nasib agensi pelancongan tempatan semakin terjejas dengan pelbagai faktor yang bakal menghancurkan industri tersebut.
“Agensi pelancongan tempatan kini bukan sahaja terpaksa bersaing dengan agensi-agensi pelancongan  haram malah berhadapan pula dengan pesaing daripada penggiat industri pelancongan haram tetapi juga  pengusaha produk pelancongan dan pengangkutan,” katanya.
Menurutnya industri pelancongan didokong oleh empat tiang utama iaitu penginapan (hotel, resort, chelet, homestay), pengangkutan , industri sokongan(produk tarikan pelancongan) dan agensi / operator pelancongan. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri. Sektor penginapan menyediakan kemudahan pengiapan yang selesa dan sempurna kepada pelancong. Sektor pengangkutan menyediakan kenderaan yang sempurna dan selamat untuk membawa pelancong ke destinasi pelancongan . Sektor industri sokongan pula memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk produk-produk pelancongan mereka manakala sektor agensi pelancongan pula memasarkan pakej-pakej pelancongan kepada pengguna dengan khidmat yang baik.
Apa yang lebih meresahkan agensi pelancongan adalah pesaing tersebut terdiri daripada pengusaha industri sokongan pelancongan seperti pengusaha hotel atau resort dan pengangkutan pelancongan seperti syarikat penerbangan, keretapi dan bas ekspres.Sama ada kita sedar atau tidak, pengusaha industri sokongan pelancongan ini turut menawarkan perkhidmatan seperti agensi pelancongan iaitu dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan. Lebih dari itu mereka menawarkan pakej tersebut pada harga yang jauh lebih murah daripada apa yang ditawarkan oleh pihak agensi pelancongan. Tidak cukup dengan ‘ancaman’ itu, kini syarikat penerbangan tempatan juga secara terang-terangan melancarkan pakej-pakej pelancongan secara on-line.
Saya percaya bukan satu malah hampir semua syarikat penerbangan tempatan turut menawarkan pakej-pakej pelancongan sama ada untuk destinasi domestik dan antarabangsa. Kalau semua menjual pakej pelancongan, macam mana agensi pelancongan hendak 'cari makan'.Itu pesaing dari penggiat industri yang ‘halal’. Tidak cukup dengan cabaran tersebut, nasib agensi pelancongan turut dihantui dengan pesaing agensi pelancongan haram dan juga pihak-pihak yang 'menjual' pakej-pakej pelancongan menerusi internet.
Menurut Dato’ Syed Mohd Razif lagi, hasil pendapatan agensi pelancongan hanya bergantung kepada komisyen dan yuran perkhidmatan. Namun sejak kebelakangan ini pendapatan agensi pelancongan terjejas disebabkan faktor-faktor tersebut.
Sementara itu menurut tinjauan yang dilakukan kewujudan agensi pelancongan haram banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti kesukaran untuk mendapatkan lesen pelancongan daripada Kementerian Pelancongan. Menurut sumber daripada Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga 31 Oktober 2011 kementerian terbabit telah mengeluarkan lesen kepada lebih 3059 buah syarikat  untuk menjalankan perkhidmatan agensi pelancongan dan pengembaraan. Namun sejak Jun 2010  pihak Kementerian Pelancongan telah membekukan sementara sementara pengeluaran lesen Outbound (luar negara) dan hanya mengeluarkan lesen pelancongan untuk kategori Inbound (dalam negeri) sahaja. Tindakan ini dipercayai sebagai usaha pihak kerajaan dalam menggalakkan rakyat tempatan untuk bercuti di dalam negara dan meningkatkan lagi jumlah pelancong asing ke negara ini.  Selain itu pelbagai syarat tambahan yang dikenakan juga ketat sehingga membuatkan usaha untuk mendapatkan lesen pelancongan agak sukar bagi sesetengah pihak. Syarikat yang ingin memohon lesen juga perlu mempunyai modal berbayar minimum RM200,000 sebagai syarat tambahan untuk mendapatkan lesen tersebut.  (* Sila rujuk jadual syarat-syarat dan garis panduan permohonan lesen agensi pelancongan).
Menurut Akta Industri Pelancongan 1992 Bahagian II, no 5. (2)
Tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan, atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan- (a) perniagaan pengendalian pelancongan; atau perniagaan agensi pengembaraan, melainkan jika ia adalah suatu syarikat dan memegang lesen sah yang diberikan di bawah Bahagian ini.
Mana-mana orang yang melanggar subseksyen  (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, boleh, sebagai tambahan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.
Kita sudah punya undang-undang yang tegas dalam usaha membendung kegiatan agensi pelancongan haram ini namun menurut maklum balas daripada ramai agensi pelancongan, akta tersebut perlu dikaji semula mengikut keadaan semasa.  Dalam dunia tanpa sempadan dengan penggunaan teknologi maklumat, kajian semula terhadap akta berkenaan perlu diperhalusi memandangkan tiada peruntukan khusus untuk mereka yang menjalankan perkhidmatan sebagai agensi pelancongan di internet. Begitu juga dengan syarat-syarat tambahan yang membebankan juga harus dikaji semula. Bak kata Perdana Menteri yang kita sayangi “ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.  Biarlah kita kurangkan karenah birokrasi yang menyesakkan itu dan permudahkan segala urusan agar ianya dapat memberi manfaat kepada industri pelancongan dan negara.
Selain itu pihak Kementerian Pelancongan juga disarankan agar mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang menjalankan perkhidmatan agensi pelancongan tanpa lesen yang sah. Satu garis panduan khusus atau undang-undang  perlu diwujudkan bagi memastikan pengusaha industri sokongan pelancongan seperti penginapan dan pengangkutan tidak sewenang-wenangnya bertindak sebagai agensi pelancongan dengan menjual pakej-pakej pelancongan kepada pelanggan. Dengan adanya garis panduan tersebut diharapkan nasib agensi pelancongan akan terus terbela dan seterusnya mampu menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara.
Saya berharap ada sinar baru dalam industri pelancongan negara dan berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan akan memantau kegiatan yang akan merosakkan industri pelancongan kita ini. Apa gunanya Kementerian Pelancongan mengeluarkan lesen agensi pelancongan jika ada pihak tertentu yang bersenang lenang menjalankan aktiviti agensi pelancongan dengan mengaut keuntungan besar tanpa ada lesen.
Selain pihak Kementerian Pelancongan selaku agensi yang bertanggungjawab dalam industri pelancongan negara, pihak persatuan atau NGO yang terbabit dalam sektor pelancongan seperti MATTA (Persatuan Agensi Pengembaraan & Pelancongan Malaysia) harus lebih prihatin terhadap nasib ahli-ahli mereka. Saya juga berharap kepimpinan  MATTA umpamanya akan lebih prihatin terhadap nasib ahli-ahlinya yang selama ini begitu dahagakan pembelaan. Usahlah sibuk bertanding mengejar jawatan dalam MATTA tetapi kebajikan ahli langsung tidak diberi perhatian. Buat pengusaha industri sokongan pelancongan seperti hotel, resort, syarikat pengangkutan dan sebagainya, tolonglah sama agensi pelancongan tempatan kita yang mengharapkan sedikit rezeki daripada sektor ini. Jika semua pihak dapat saling bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil industri pelancongan kita akan bertambah maju dan nikmatilah rahmatnya sama-sama.
Banyak perkara yang perlu diperhalusi dan dinilai semula agar ianya dapat menyumbang kepada kepesatan industri pelancongan negara. Sebenarnya industri pelancongan kita boleh 'pergi' lebih jauh lagi. Apa yang penting adalah jalinan kerjasama semua pihak tidak kira di sektor korporat atau kerajaan.




GARIS PANDUAN PERMOHONAN LESEN BARU


PERNIAGAAN PENGENDALIAN PELANCONGAN / AGENSI PENGEMBARAAN



1) Syarat-syarat Permohonan :

i. Syarikat Sendirian Berhad yang telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

ii. Borang permohonan mesti ditandatangani oleh Pengarah syarikat dan di cop syarikat.

iii. Mematuhi syarat modal berbayar dan pegangan saham maksimum yang dibenarkan, seperti di Lampiran.

iv. Ahli Lembaga Pengarah/Pemegang Saham syarikat pelancongan yang berlesen dengan Kementerian tidak dibenarkan mempunyai syarikat pelancongan lain selain lesen cawangan.

v. Menjelaskan kompaun mengikut AIP 1992 (jika ada).

vi. Nama syarikat hendaklah melambangkan aktiviti pelancongan cth: travel, tours, holiday, adventure dsb.

vii. Sekiranya permohonan syarikat diluluskan, dalam tempoh 2 bulan surat kelulusan sementara sekurang-kurangnya seorang wakil syarikat diwajibkan hadir kursus Travel & Tour Management Course (TTMC) yang dianjurkan oleh Institut Latihan Pelancongan yang berlesen dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.  

2) Dokumen Yang Diperlukan :

i. Borang 1 (Peraturan 3) sebanyak 2 salinan atau permohonan melalui atas talian di www.spip.gov.my

ii. Salinan Memorandum dan Tataurusan Syarikat

iii. Salinan Borang 9 (Certificate of Incorporation of Private Company)

iv. Salinan Borang 13 (Certificate of Incorporation on Change of Name of Company) (jika ada)

v. Salinan Borang 24 (Returned of Allotment of Shares)

vi. Salinan Borang 32A (Form of Transfer of Securities) (jika ada)

vii. Salinan Borang 49 (Return Giving Particulars in Register of Directors, Managers and Change of Particulars).

viii. Salinan Kad Pengenalan Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Saham

ix. Dua (2) keping Gambar berukuran pasport terkini bagi setiap Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Saham.

x. Kertas kerja yang mengandungi maklumat berikut:

A. Pendahuluan / Latar Belakang Syarikat

B. Kedudukan Kewangan

C. Pengalaman Pengarah / Pemegang Saham / Pengurusan

D. Strategi Dan Perancangan Pemasaran

E. Hubungan Perniagaan (Contact)

F. Penutup

4) Dokumen Sokongan Pengalaman

 Salinan sijil-sijil akedemik Lembaga Pengarah/Pemegang Saham/kakitangan berkaitan bidang pelancongan/perniagaan.

Surat pengesahan pengalaman kerja bagi Lembaga Pengarah / Pemegang Saham atau kakitangan syarikat (jika berkaitan).

Surat hubungan kerjasama perniagaan Agensi Luar Negara (jika berkaitan).

Pakej-pakej (Inbound / Outbound) yang disediakan jika berkaitan.

Surat sokongan dari pihak yang berkaitan (jika ada).

5) Fi proses : RM100 bagi setiap permohonan dalam bentuk bank draf/Kiriman Wang/Wang Pos atas nama Pesuruhjaya Pelancongan.

6) Piagam Pelanggan : 20 hari berkerja (Manual) / 5 hari bekerja (SPIP) dari tarikh permohonan lengkap diterima.

7) Keputusan permohonan akan dimaklumkan melalui surat kepada alamat berdaftar syarikat (company secretary).

8) Sekiranya permohonan ditolak, syarikat boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat keputusan dikeluarkan.

9) Lesen dan pelekat perniagaan akan dikeluarkan setelah premis operasi syarikat diluluskan.

10) Fi lesen : Inbound (RM250) , Outbound (RM500) , Ticketing (RM200)



Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan lesen agensi pelancongan:


Kementerian Pelancongan Malaysia
No. 2, Menara 1, Jalan P5/6
Presint 5
62200 PUTRAJAYA
03 8891 7000
# Artikel ini telah disiarkan di dalam Majalah SANTAI Travel keluaran Januari 2012

Friday, January 6, 2012

DEMONSTRASI KEMPEN BEBASKAN ANWAR 901 JEJAS INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA

Tindakan segelintir pihak yang merancang untuk mengadakan demonstrasi Kempen Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari ini dilihat sebagai satu usaha yang bakal mengundang kehancuran kepada industri pelancongan negara. 
Dalam konteks pelancongan faktor kestabilan politik dan ekonomi negara banyak mempengaruhi perkembangan industri pelancongan negara. Demonstrasi jalanan seumpama ini dilihat bakal memberikan implikasi negatif terhadap Industri  pelancongan sekali gus membantutkan perkembagan sektor pelancongan
Rentetan daripada demonstrasi jalanan BERSIH  yang diadakan  di ibu negara Kuala Lumpur sekitar tahun 2007  dan 2010 bukan sahaja memberikan implikasi negatif terhadap imej negara malah turut menarik kemajuan industri pelancongan ke kancah kehancuran.
Untuk rekod pada tahun 2010, negara mencatatkan kehadiran pelancong sebanyak 24.6 juta dengan jumlah pendapatan sebanyak RM56.6 bilion. Namun menurut sumber daripada Kementerian Pelancongan sasaran untuk mendapatkan kehadiran pelancong sebanyak 25 juta tidak dapat dicapai pada tahu 2011.  Situasi tersebut membuatkan pihak kementerian terbabit terpaksa mengkaji semula sasaran kehadiran pelancong bagi tahun 2011 dan sehingga kini jumlah kehadiran pelancong pada tahun 2011 masih belum dapat diumumkan.
Penurunan bilangan pelancong pada tahun 2011 khususnya pada bulan Julai 2010 dipercayai disebabkan oleh penganjuran Demonstrasi BERSIH 2.0 yang di adakan di Kuala Lumpur pada tahun lepas.
Kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam usaha menarik kunjungan pelancong asing ke negara ini menerusi kempen besar-besaran. Hasil daripada pelaburan yang besar ini, kesan kejayaan industri pelancongan negara dapat dinikmati bukan sahaja oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan tetapi semua peringkat masyarakat. Peniaga kecil, pengusaha gerai makan, pemandu teksi dan ramai lagi ‘orang kita’ mendapat percikan nikmat daripada  limpahan pelancong asing yang datang ke negara kita. Tetapi jika kekacauan seperti demonstrasi jalanan ini masih terus menjadi budaya dalam negara kita, janganlah kita mengharapkan pelancong asing akan datang berduyun-duyun ke negara kita. Usahlah kita angankan pelancong asing akan datang melancong dan berbelanja di negara kita.
Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara jiran seperti demonstrasi yang berlaku di Bangkok tidak berapa lama dahulu. Kesan daripada demonstrasi tersebut telah menjejaskan sektor pelancongan di Thailand dan menjadi pengalaman paling buruk kepada industri pelancongan di rantau ini.
Secara logiknya pelancong akan memilih destinasi pelancongan yang selamat untuk dilawati. Dalam merancang percutian kita tidak boleh berkompromi dengan faktor keselamatan. Rata-rata meletakkan faktor keselamatan sebagai faktor utama dalam memilih destinasi percutian mereka.
Jangan tunggu pelancong asing datang berduyun-duyun lagi ke negara kita buat masa ini  sekiranya  demonstrasi  ini tetap diadakan. Saya percaya  kesan demonstrasi jalanan tersebut sukar untuk dipadamkan mungkin untuk tempoh 6 bulan hingga 1 tahun lagi. Dalam tempoh tersebut banyak pihak yang akan ‘sengsara’ khususnya buat mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan. Lebih-lebih lagi dengan liputan agensi-agensi berita asing yang ‘tanpa jemu’ menyajikan berita-berita ‘panas’ demonstrasi jalanan di Malaysia kepada seluruh masyarakat dunia, nama baik negara tentunya akan terjejas.
Justeru Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang  pengajuran demonstrasi ini dan menyeru semua pihak menghalang penganjuran aktiviti seumpama ini. Hentikan demonstrasi jalanan! Hentikan keganasan yang banyak mengundang kesan jangka panjang yang negatif terhadap industri pelancongan negara. Marilah kita bertindak secara bijak dan janganlah mengikut perasaan. Industri pelancongan bukan milik sesetengah pihak dan parti politik tertentu sahaja. Ia milik semua masyarakat Malaysia. Dalam konteks pelancongan kita harus bersatu hati dalam menjayakan aspirasi bersama tanpa mengira latar belakang parti politik. Kita semua adalah aset pelancongan yang cukup berharga.Keamanan, kedamaian dan keharmonian masyarakatnya adalah aset pelancongan negara yang paling penting.

Harapan Industri Pelancongan 2012

Tahun 2011 telahpun meninggalkan kita, namun tahun 2012   perlu kita tempuhi dengan langkah yang lebih gagah agar segala cabaran dan rintangan dapat kita harungi bersama. Dalam konteks industri pelancongan,  tahun 2011 banyak memberi pengalaman pahit manis kepada kita semua.
Buat penggiat industri pelancongan, 2011 merupakan tahun yang penting bagi meraih keuntungan selepas sektor ini menghadapi kelembapan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun prestasi pelancongan negara tidaklah seperti yang diharapkan apabila sasaran untuk mendapatkan 25 juta pelancong pada tahun 2011 tidak berjaya mencapat sasarannya.  Meskipun pada tahun sebelumnya (2010), negara mencatatkan kehadiran pelancong sebanyak 24.6 juta dengan jumlah pendapatan sebanyak RM56.6 bilion. Sehingga artikel ini ditulis, pihak Kementerian Pelancongan Malaysia masih belum mengumumkan statistik rasmi kehadiran pelancong  ke Malaysia. Dalam satu kenyataan daripada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini, Menteri tersebut menyatakan bahawa jumlah sasaran kehadiran pelancong ke Malaysia pada tahun 2011 akan dikaji semula sesuai dengan keadaan semasa. Khabarnya jumlah kehadiran pelancong pada tahun 2011 tidak begitu menggalakkan  membuatkan pihak Kementerian Pelancongan tidak mengumumkan angka tersebut  sehingga sekarang.
Penurunan bilangan kehadiran pelancong ke negara ini dipercayai berpunca daripada pelbagai faktor luar jangka yang melanda industri pelancongan rantau ini pada tahun 2011. Bencana banjir besar di Bangkok, Thailand dan demonstrasi Bersih 2.0 di Kuala Lumpur  yang berlaku pada tahun 2011 dikatakan menjadi penyebab utama penurunan jumlah kehadiran pelancong ke negara ini.  Selain masalah wabak penyakit H1N1 yang masih belum reda sepenuhnya, faktor-faktor tersebut terus menghantui industri pelancongan negara.
Saya percaya mungkin ada hikmahnya dengan apa yang berlaku. Buat penggiat industri pelancongan, anggaplah semua ini satu dugaan untuk menguji kekuatan kita dalam mengharungi tahun-tahun mendatang.  Dalam  masa yang sama buat Menteri Pelancongan dan Kementerian berkaitan, anda tidak perlu gentar tentang apa juga jumlah pelancong yang ada dalam statistik 2011. Berkatalah yang benar walaupun ianya perit. Jadikan ia sebagai satu pengajaran untuk kita melangkah lebih berkeyakinan lagi pada masa akan datang.  Apa yang penting semua pihak harus lebih bijak dalam membuat percaturan dalam merancang strategi  memperkasakan lagi industri pelancongan negara. Jalinan kerjasama semua pihak khususnya di pihak kerajaan dan sektor swasta perlu dieratkan lagi demi untuk memartabatkan industri ini.  Saya percaya sekiranya jalinan kerjasama pintar semua pihak , s
asaran kita untuk memperbaiki kedudukan Malaysia supaya menjadi antara 10 negara teratas dari segi pendapatan pelancongan global seterusnya menyumbang RM104 bilion kepada Keluaran Negara Kasar pada tahun 2020 akan dapat direalisasikan.
Selamat menyambut tahun baru 2012!