Wednesday, October 15, 2014

Pelancongan Eratkan Persahabatan


Aktiviti lasak  sama ada mendaki gunung atau apa juga aktiviti yang menguji kekuatan mental merupakan satu aktiviti riadah yang dapat mengeratkan lagi semangat berpasukan dan setia kawan.

Selain dapat menikmati keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan, dalam masa yang sama kita sebenarnya  akan dapat mengenali dengan lebih dekat lagi kawan kita. Di dalam hutan, semasa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran, kita akan dapat lihat siapa sebenarnya kawan, siapa sebenarnya lawan. Siapa yang pentingkan diri sendiri dan siapa yang prihatin membantu orang lain.

Situasi sebegini sering berlaku lebih-lebih lagi pada saat-saat genting di dalam hutan. Ada yang menangis kerana ketakutan ada juga yang mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan rakan yang memerlukan bantuan.  Jangan tengok orang lain ! Cuba lihat diri kita sendiri dahulu... Adakah kita pentingkan diri sendiri atau mengutamakan orang lain? Sikap sebenar kita secara tidak langsung akan terserlah dengan sendirinya. Sikap sebenar kawan kita juga akan terserlah tanpa dapat disembunyikan lagi. Ada yang panas baran dan ada yang sabar menghadapi cabaran.  Inilah masanya untuk kita mengenali dengan lebih dekat lagi siapakah diri kita yang sebenarnya. Muhasabah diri sendiri dengan aktiviti lasak di dalam hutan belantara sememangnya memberikan kesan yang mendalam dalam mencetuskan perubahan positif dalam diri seseorang itu. Bagi yang ingin mencari ‘pasangan hidup’ aktiviti lasak sebegini mungkin boleh dijadikan satu ‘peperiksaan’ tidak rasmi untuk menguji tahap kesetiaan pasangan kita tersebut. Maka tidak hairanlah mereka yang sering melakukan aktiviti lasak secara berkumpulan akan bertemu ‘jodoh’ mereka yang paling ideal di dalam hutan dan mereka akhirnya mendirikan rumah tangga. Segala rintangan dan cabaran semasa melakukan aktiviti lasak di dalam hutan dapat mereka ‘aplikasikan’ dalam kehidupan berumah tangga dan akhirnya mewujudkan suasana harmoni dalam keluarga.

Justeru saya berharap agar kita dapat membuka minda kita dengan memberikan satu persepsi yang maha luas tentang aktiviti-aktiviti lasak yang kita lakukan itu. Sekali-sekala cuba nilai semula diri kita kerana setiap apa yang berlaku itu sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Encik Kamal Pelopor dan pasangannya Dayana yang merupakan orang yang cukup aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti lasak dan mendaki gunung. Mungkin juga beliau bertemu pasangannya menerusi aktiviti lasak yang mereka sertai.

Tuesday, October 14, 2014

Sahabat Media VMY2014- Negeri Kedah



Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, Tourism Malaysia telah mengambil langkah bijak mempromosikan produk pelancongan berpotensi di Negeri Kedah dengan memberi tumpuan kepada sektor pertanian sebagai penyumbang kepada industri pelancongan. Lebi 40 orang wakil media daripada pelbagai agensi telah terlibat dalam program empat hari tiga malam ini untuk menjelajah negeri Kedah bagi menjayakan program Sahabat Media VMY2014 bertemakan Agro Pelancongan Negeri Kedah.

Sahabat Media VMY2014 Negeri Perak



Bagi meneroka dan mempromosikan produk pelancongan di negeri Perak, Sahabat Media Visit Malaysia Year 2014 (SMVMY2014) anjuran Bahagian Komunikasi & Publisiti Tourism Malaysia dan Majalah Santai Travel telah berkesempatan berkunjung ke negeri Perak Darul Ridzuan baru-baru ini. Program selama tiga hari dua malam ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Tourism Malaysia Negeri Perak dan Pejabat Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Negeri Perak. Jom kita terokai destinasi pelancongan yang telah dikunjungi oleh peserta program Sahabat Media VMY 2014 dan sama-samalah kita menghayati keunikan destinasi yang dipaparkan menerusi program ini.

Sahabat Media VMY2014 Negeri Sembilan



“Tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia. Majalah SANTAI sebagai majalah pelancongan terunggul Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Bahagian Komunikasi dan Publisiti Tourism Malaysia untuk mengadakan sekali lagi program Sahabat Media Cuti Cuti 1Malaysia 2014 bagi merancakkan lagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2014”

Negeri Sembilan, sebuah negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih menjadi lokasi pilihan  untuk program Sahabat Media Visit Malaysia Year 2014. Seramai hampir 40 media yang terdiri daripada media cetak, media elektronik serta media sosial yang turut sama menyertai program kali ini. Tepat jam 9.30 pagi, bas  bertolak dari Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) ke Seremban, Negeri Sembilan. Perjalanan tidak begitu jauh tetapi mata rakan-rakan media semakin kuyu sebaik sahaja bas meninggalkan perkarangan MaTic dek penangan nasi lemak sambal sotong yang disediakan khas untuk sarapan pagi sebelum berlepas!

Klana Resort Nan Permai

Sejuk mata memandang sebaik rombongan SMCC1M tiba ke Klana Resort Seremban. Resort ini terletak di dalam kawasan Taman Tasik Seremban, yang dikelilingi oleh pepohon nan hijau. Alunan muzik tradisional menyapa ketibaan kami di lobi sambil kami disambut oleh pemangku Pengurus Besar Klana Resort, Encik Saiful Bahri dan YB Abu Samah Mahat. 
Sambil menikmati jamuan ringan, satu sidang media telah diadakan. “Kami amat mengalu-alukan kedatangan rakan-rakan media ke hotel kami. Klana Resort merupakan hotel terbaik di Seremban, di kelilingi pepohon menghijau menjadikan ia seperti sebuah ‘resort in the city’,” kata Saiful. Manakala Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Zaidi Kassim sangat teruja untuk membantu menaikkan nama Negeri Sembilan di mata dunia pelancongan. “Sudah ramai pelancong yang mengenali Port Dickson tetapi tidak daerah-daerah lain di Negeri Sembilan. Jadi dengan adanya program ini saya berharap agar pihak media dapat membantu mewarwarkan destinasi lain seperti Seri Menanti, Seremban, Jelebu dan banyak lagi,” terang Zaidi kepada para media.
Kami kemudiannya makan tengahari di Xinjiang Restaurant, sebuah restoran masakan Cina di Klana Resort Seremban. Usah risau makan di sini kerana restoran ini disahkan halal dan chefnya, Ho Tui Kit pula berpengalaman dalam menu masakan Cina Muslim. Antara menu yang patut dicuba adalah deep fried cod fish with Thai Sauce, braised shark fin soup with crab meat, chicken with dried chilli and cashew nut serta banyak lagi. Bukan setakat restoran masakan Cina Muslim, malah Klana Resort Seremban turut menawarkan sebuah restoran makanan Jepun, iaitu Yuri Japanese Restaurant. Ini merupakan restoran makanan Jepun terbaik di Seremban kerana menggunakan bahan-bahan mentah berkualiti tinggi dan segar. Menurut Chef Yong Kok Seng, berpengalaman hampir 22 tahun dalam masakan Jepun,” Kami hanya menggunakan bahan-bahan mentah terbaik dan di sini masih ada rasa tradisional masakan Jepun asli. Hanya gred terbaik digunakan di sini dan harganya amat berpatutan.” Signature dish di sini yang patut dicuba adalah Kani Tanuki Salad.


Destinasi Team Buiding

 Klana Resort Seremban memang terkenal sebagai antara destinasi terbaik team building. Di sini kami berkesempatan mencuba beberapa aktiviti team building seperti flying fox dan abseiling. Petugas yang mengawalselia program team building di sini cukup berpengalaman dan terlatih. Keselamatan tetamu adalah diutamakan. “Pertama kali saya mencuba abseiling dari bangunan setinggi enam tingkat. Memang rasa agak gayat pada permulaannya,” kata Acap daripada My Tourism TV.
 Bersempena dengan bulan Ramadhan kali ini, Klana Resort Seremban telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Nasi Lemak Kukus Klana. Istimewanya nasi lemak kukus ini adalah kerana ia adalah hasil air tangan Syura, pemenang Master Chef Selebriti. Bersempena dengan pelancaran nasi lemak kukus ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan dan isterinya Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin hadir untuk merasmikan nasi lemak kukus istimewa ini. Selain itu, Sahabat Media turut dihidangkan dengan menu berbuka puasa Klana Resort Seremban. Syura berkesempatan juga menghiburkan para tetamu dengan beberapa buah lagu selepas makan malam.

Sate Tulang Jelebu

Ramai   yang tertanya-tanya bagaimana rupanya sate tulang. Terdetik di hati masing-masing macam mana nak makan tulang? Semua itu terjawab setelah kami dibawa ke  gerai Sate Tulang Jelebu yang terletak di Dataran Senawang. Menurut pemiliknya, Abu Mansor Abu Sammah, 42, Sate Tulang Jelebu ini adalah perniagaan turun-temurun yang sudah berusia lebih 60 tahun. Dicipta oleh datuknya sewaktu sebelum merdeka dan pada waktu itu penjualan sate masih meng­gunakan kandar, hidangan ini sememangnya sangat unik. Diambil namanya sempena nama produk sate tulang dan tempat asal ia wujud iaitu di Jelebu, sate tulang ini bukanlah tulang semata-mata seperti yang pastinya digambarkan ramai saat mendengar namanya. 
Sate Tulang Jelebu diperbuat daripada lebihan ayam yang digunakan untuk membuat sate ayam. Selepas isi ayam diambil untuk dijadikan sate, lebihan daging ayam yang terletak di tulang itu yang digunakan dan dicucuk dengan lidi, dibakar dan menjadi hidangan sate tulang yang sangat sedap. Satu lagi rahsia keenakan Sate Tulang Jelebu ini adalah rasa enak dan sedap kuah kacang yang dibuat menggunakan kacang yang banyak iaitu lebih kurang 70 peratus daripada kandu­ngan kuah. 

Seri Menanti Bandar diRaja

Perjalanan pada hari kedua diteruskan ke Seri Menanti Resort. Sebelum urusan daftar masuk, Sahabat Media diberikan taklimat oleh Shafik Affendi, Konsultan Latihan.  Sementara menunggu waktu sembahyang Jumaat, kami melawat ke Istana Lama Seri Menanti, yang kini menjadi Muzium diRaja Seri Menanti, yang terletak bersebelahan Seri Menanti Resort. Istana Lama ini telah dibina pada tahun 1902 dan siap pada 1908.
Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama. Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Jabatan Kerja Raya, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British. Kami sangat beruntung kerana YAM Tunku Zain Al-Abidin ibni Tengku Muhriz, anakanda kedua YAM Tengku Muhriz, Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan sudi mencemar duli untuk bersama-sama meluangkan masa berkongsi kisah hidup dan pengalaman bersama Sahabat Media. Beliau sempat menceritakan serba sedikit sejarah Negeri Sembilan khususnya Bandar Diraja Seri Menanti.
Manakala sebelah petang pula, pertandingan permainan tradisional seperti konda-kondi, tarik upeh pinang dan boling kelapa telah diadakan di laman Muzium diRaja Seri Menanti. Ada di kalangan peserta  yang tidak pernah seumur hidup main konda-kondi. Menjelang makan malam, kami semua telah dihidangkan dengan makanan tradisi Negeri Sembilan seperti rendang itik, masak lemak nangka, tempoyak daun kayu, udang sambal petai, telur masin serta ulam-ulaman. Uniknya makan malam kali ini kerana semua rombongan Sahabat Media makan secara ‘bersilo’ di bawah Istana Lama Seri Menanti.

Royal Seri Menanti

Hari ketiga, seawal jam lapan pagi, kami semua dibawa ke Royal Seri Menanti, sebuah kelab golf yang berdekatan dengan Seri Menanti Resort. Royal Seri Menanti menawarkan padang golf 18 lubang . Buat peminat golf, boleh mencuba untuk bermain di sini kerana padangnya cukup mencabar. Menurut Encik Ibrahim yang berasal dari Putrajaya, lapangan golf ini cukup mencabar kerana ia berbukit dan sempit. “Ini pertama kali saya bermain di sini. Tempat ini memang cantik dan orang pun tak ramai. Lagipun ia tak jauh dari Putrajaya,” tambah beliau lagi. Manakala buat Shamsul Nizam Nasaruddin yang berasal dari Bangi, Royal Seri Menanti memang sangat mencabar dan menurutnya lagi ‘green’ di sini agak laju.


Majlis Berendoi 

Sahabat Media turut berpeluang menyaksikan satu Majlis Berendoi dan Cukur Jambul yang diadakan di Seri Menanti Resort. Majlis ini bertujuan adalah untuk menyambut kelahiran bayi yang dikurniakan oleh Allah S.W.T . Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.  Majlis turut diserikan dengan  marhaban dan berzanzi untuk anak kecil ini sebelum rambutnya dicukur. 


Starfresh Agro Park

Starfresh Agro Park Bukit Putus Negeri Sembilan merupakan sebuah tempat yang mempunyai restoran, tempat ternakan haiwan, spa dan macam-macam lagi dalam satu tempat yang sama. Usah risau kerana walaupun Starfresh Agro Park mempunyai ladang ternakan haiwan dan restoran, kebersihannya adalah terjamin, tidak ada bau yang tidak enak atau bulu-bulu binatang yang berterbangan. Starfresh Agropark ini berkeluasan 40 ekar dan dibina pada tahun 1985. Tapi pada masa itu cuma ada ladang buah-buahan sahaja. Pada tahun 2009, ia mula dikembangkan menjadi salah satu tarikan agro pelancongan. Di sini juga menyajikan pelbagai jenis hidangan seperti makanan Cina Muslim, steamboat, masakan ala thai dan masakan barat. Lebih istimewa, sayur-sayuran kebanyakannya dipetik dari ladang di belakang restoran ini. Di sini juga terdapat pelbagai herba seperti misai kucing, belalai gajah dan pelbagai jenis herba lain. Para tetamu haru cuba teh cina asli yang diimport dari China, cuma dicampurkan dengan herba dari ladang Starfresh Agropark ini. Selain dari restoran, terdapat juga tarikan lain seperti paintball, spa, dorm, dewan, ladang buah-buahan, tempat ternakan haiwan dan banyak lagi.