Wednesday, April 20, 2011

Budi Bahasa Pikat Pelancong…

Sirih junjung sirih pinang,
         Sirih kuning diberi nama,
Adat dijunjung pusaka dikenang,
         Hidup berbudi muafakat bersama.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga Seroja di tepi kali,
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Salam suci murni buat semua…
Kali ini saya mulakan nukilan saya dengan dua rangkap pantun yang harus kita fahami dalam erti kata yang sebenar. Rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu sememangnya kaya dengan budi bahasa dan budaya murni. Alangkah beruntungnya negara kita yang bukan sahaja mempunyai alam semula jadi yang indah malah dihuni oleh golongan bangsa yang indah budi pekertinya.
Tapi persoalannya sekarang adakah kita warga Malaysia masih mengamalkan budaya berbudi bahasa dan amalan murni dalam kehidupan kita seharian? Adakah kita masih mendukung adat ? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kitalah yang akan menentukan hala tuju generasi kini dan masa depan dalam menentukan kesinambungan warisan budaya murni kita.
Pada pengamatan saya dan reaksi spontan yang saya lihat dan dengar, nilai-nilai murni dan berbudi bahasa kian luntur di kalangan masyarakat kita, khususnya warga kota. Dalam konteks pelancongan kita kurang menghormati tetamu kita khususnya pelancong asing. Jangan tengok orang lain. Cuba lihat apakah sumbangan kita dalam mempraktikkan amalan budi bahasa dalam kehidupan seharian kita. Pernah kah kita menolong pelancong asing menunjukkan arah destinasi yang ingin mereka tujui? Mungkin itu satu tugas yang berat kerana mungkin kita tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Paling mudah, pernah kah kita memberikan senyuman kepada pelancong yang kita temui di jalanan? Kalau jawapannya tidak, situasi ini amatlah mengecewakan. Kita masih gagal menonjolkan budaya berbudi bahasa kita yang menjadi amalan kita sejak zaman dahulu lagi. Ke mana hilangnya nilai murni ini?
Pernah satu ketika pihak Kerajaan telah menlancarkan Kempen Budi Bahasa Amalan Kita. Tetapi kempen yang tidak dijalankan secara berterusan dan tiada kesinambungannya ini bagaikan tiada makna jika ianya tidak diaplikasikan oleh seluruh rakyat. Tahniah kepada kementerian yang terbabit dalam merealisasikan kempen ini, namun usaha yang lebih bersepadu harus dilaksanakan bagi memastikan rakyat kita dapat dipupuk mengamalkan budaya berbudi bahasa.  Saya percaya budi bahasa yang ada pada masyarakat kita adalah aset yang penting dalam menjana pertumbuhan industri pelancongan negara. Budi bahasa yang kita pamerkan itu secara tidak langsung mampu menarik minat pelancong untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama mereka.
Yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa... Saya yakin sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan bertamadun, kita mampu tampil sebagai sebuah negara pelancongan yang disanjung tinggi kerana amalan budaya berbudi bahasa di kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa.

Melancong Eratkan Persahabatan

Salam hormat dan salam 1Malaysia. Ramai yang kata apa gunanya melancong jika apa yang diperoleh hanya sekadar melihat pemandangan baru dan pengalaman baru. Lepas satu destinasi ke satu destinasi dan pengalaman manis yang dikutip hanya kekal beberapa ketika sahaja. Apa gunanya melaburkan wang yang banyak untuk melancong jika keseronokan yang kita kecapi hanya untuk seketika sahaja.
Namun pada saya melancong bukan sekadar untuk mencari keseronokan bersantai mencari pengalaman baru tetapi mencari sahabat baru. Sahabat baru dalam erti kata kenalan baru yang kita temui ketika kita pergi melancong. Setidak-tidaknya kita dapat jumpa orang baru dalam perjalanan ataupun di destinasi pelancongan yang kita tujui itu.
Apa yang pasti sama ada kita sedar atau tidak sedar menerusi pelancongan juga kita dapat mengeratkan lagi tali silaturahim bukan sahaja di kalangan masyarakat negara ini malah di seluruh dunia.
Tidak kira kita melancong di dalam atau di luar negara  kita sebenarnya memerlukan teman sejati yang dapat membantu kita sepanjang percutian kita. Lebih-lebih lagi jika kita melancong seorang diri, teman baru khususnya yang terdiri daripada masyarakat tempatan tempat yang kita kunjungi itu amat penting terutama sekali ketika kita berhadapan dengan situasi kecemasan.
Jika  anda melancong secara berkumpulan pula menerusi pakej-pakej pelancongan domestik atau antarabangsa, kita juga boleh mengeratkan lagi tali persahabatan kita itu dengan semua peserta-peserta rombongan yang kita sertai itu. Selain dapat menyambung tali silaturahim kita juga boleh berkongsi pengalaman sepanjang percutian. Bukankah lebih seronok percutian kita jika kita mempunyai ramai kawan. 
Ada juga yang menggunakan laman sosial seperti facebook atau Twitter untuk mencari rakan untuk melancong bersama. Namun apa juga cara yang anda gunakan percutian tentu lebih bermakna jika dapat dikongsi bersama.
Saya pernah mengikuti rombongan melancong ke luar negara bersama pakej pelancongan yang disediakan oleh sebuah agensi. Rasa seronok berkongsi dengan teman baru sepanjang percutian tersebut jelas terserlah. Apa yang pasti menerusi percutian seumpama itu saya dapat mengenali dengan lebih dekat lagi teman-teman baru yang mempunyai minat yang sama dengan saya iaitu melancong. Sambil berkongsi pengalaman mengenai destinasi-destinasi percutian yang pernah dilawati, saya juga berpeluang untuk mempelajari banyak perkara baru menerusi perkongsian cerita oleh rakan-rakan baru saya itu.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, ada juga yang bertemu jodoh di destinasi percutian. Memanglah jarang berlaku, tetapi bila sudah ada minat yang sama, maka tidak mustahil kita dapat bertemu jodoh yang paling sesuai apabila mempunyai minat atau yang sama.
Justeru pada saya dengan melancong kita bukan hanya mendapat pengalaman baru malah kawan baru yang sepatutnya menjadi aset yang cukup berharga kepada kita. Menerusi pelancongan juga kita akan dapat mengenali dengan lebih dekat lagi sahabat lama kita dan bagi sahabat yang baru kita kenal mudah-mudahan persahabatan yang terjalin menerusi pelancongan itu akan memberikan manfaat untuk kita semua.
Hasil daripada nilai persahabatan yang wujud menerusi aktiviti pelancongan, kita sebenarnya telah menunaikan satu tanggungjawab yang cukup besar bagi umat manusia iaitu menyambung tali silaturahim. Jalinan persahabatan ini melangkaui sempadan dan barangkali boleh menjadi satu jalinan persahabatan daripada pelbagai bangsa, agama dan negara.
Tidak rugi kita mempunyai ramai kawan. Malah dengan kawan yang ramai dari seluruh negara di dunia ini aktiviti pelancongan kita mungkin akan lebih mudah kita jalankan. Lebih daripada itu dengan kenalan yang ramai kita setidak-tidaknya berupaya mewujudkan suasana harmoni sama ada di dalam dan luar negara.

Industri Inap Desa Punya Potensi

Baru-baru ini saya ada bertemu dengan Pengerusi Persatuan Homestay Malaysia, Dato’ Haji Sahariman bin Hamdan. Beliau ada memberikan reaksi yang berbeza terhadap tahap industri homestay kita sekarang. Walaupun pertemuan itu satu pertemuan yang tidak dirancang, tetapi kesempatan bersama beliau walaupun  cuma seketika benar-benar  memberi inspirasi kepada saya untuk mengenali dengan lebih dekat lagi perkembangan semasa industri homestay.
Penjelasan beliau dalam nada ikhlas dan jujur benar-benar memberi gambaran bahawa industri homestay di negara ini masih lagi berada pada tahap yang baik sekali gus memberikan ‘rahmat’ buat semua pesertanya.
Katanya jika dahulu pendapatan penduduk kampung cuma dengan satu sumber sahaja iaitu dengan kerja rutin sama ada sebagai peladang, penoreh getah mahupun nelayan, namun kini mereka mempunyai satu lagi sumber pendapatan tambahan iaitu dengan program homestay.
Daripada perspektif ringkas itu dapatlah dirumuskan bahawa industri homestay ini sebenarnya memberikan pulangan yang baik buat orang kampung khususnya pengusaha homestay.
Kisah-kisah kejayaan produk homestay ini agak kurang ‘didendangkan’ di media massa. Namun bukanlah pujian yang mereka harapkan tetapi perhatian yang lebih daripada semua pihak terhadap kepentingan sektor ini dalam merancakkan lagi industri pelancongan negara. Ada juga pengusaha homestay yang telah kaya-raya dengan mengusahakan program ini. Jika dahulu mereka hanya membuat kerja-kerja kampung sahaja namun kini ada yang mengusahakan program homestay sepenuh masa.
Tidak hairanlah jika Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen ,  menyatakan bahawa industri inap desa menunjukkan potensi menggalakkan dalam sektor pelancongan apabila menjana pendapatan sebanyak RM4.8 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Manakala  tahun lalu, negara memperoleh pendapatan sebanyak RM6.3 juta daripada 140 inap desa yang beroperasi di seluruh negara.
Memang benar disebalik kisah-kisah suka itu terselit juga kisah duka. Tidak dinafikan ada juga homestay yang kurang berjaya.  Bila ada yang kecewa, kita biasa mendengar rungutan di sana sini. Namun itu semua tidak melemahkan semangat juang pengusaha homestay malah menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang mengangkat martabat industri pelancongan negara.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam mengusahakan program homestay. Usaha dan keringat anda tentunya akan berbaloi jika disertakan dengan kesabaran. Jika ada kritikan dan teguran terhadap anda, ambilah ia sebagai satu peringatan dalam usaha untuk memperbaiki lagi kualiti homestay kita. Saya juga ada memberi pandangan dan kritikan terhadap industri homestay. Saya tegur sebab saya sayangkan produk pelancongan ini. Anggaplah teguran saya sebagai pencetus semangat untuk kita sama-sama berusaha kearah kecemerlangan program homestay di negara kita. Apa yang pasti program homestay merupakan satu program yang berdaya maju dan berpotensi untuk menjadi antara produk pelancongan utama negara sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan industri pelancongan negara

Penggiat Pelancongan Harus Kreatif

Salam hormat dan salam  1 Malaysia. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penggiat industri pelancongan yang selama ini telah sama-sama menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara.  Sektor pelancongan yang menjadi teras kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menerusi Plan Tranformasi Ekonomi (ETP) telah dinobatkan oleh Perdana Menteri sebagai sektor yang berpotensi menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tatkala pihak kerajaan merancang pelbagai strategi untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya maju, adakah kita sebagai penggiat industri pelancongan telah bersedia dengan produk pelancongan yang berinovasi ? Adakah kita sudah bersedia dengan perancangan yang strategik dalam menarik kunjungan pelancong? Adakah kita berupaya memberikan khidmat yang terbaik bagi memenuhi citarasa pelancong?Jawapannya terletak kepada diri kita sendiri. Apa yang pasti sebagai penggiat industri pelancongan yang bertanggungjawab, kita harus lebih kreatif dan proaktif dalam mempromosikan produk pelancongan kita.
Kreatif dalam erti kata kita harus lebih bersedia bersaing secara sihat dengan produk-produk pelancongan dari luar negara yang semakin mendapat tempat di hati pelancong.
Saya percaya pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana bagi menyokong industri pelancongan negara. Tidak cukup dengan itu pelbagai agensi kerajaan telah diwujudkan bagi memperkasakan lagi industri pelancongan negara. Tourism Malaysia umpamanya bertindak sebagai agensi yang mempromosikan produk-produk pelancongan sama ada untuk pelancong domestik mahupun antarabangsa. Mereka telah melakukan pelbagai inisiatif bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan kita dengan pelbagai . Kadang-kadang saya rasa kasihan melihat pegawai-pegawai di Tourism Malaysia yang sampai tiada masa untuk berehat demi untuk memastikan industri pelancong berada ditahap yang cemerlang. Usaha mereka yang ‘berkhidmat untuk negara’ ini harus dipuji kerana tanpa usaha mereka ini sektor pelancongan mungkin akan lesu.
Kini tiba masanya kita sebagai penggiat pelancongan untuk memainkan peranan kita sebagai penggerak industri pelancongan negara sekali gus melakukan transformasi pelancongan yang mampan. Bagi yang telah melakukan ‘transformasi’, tahniah saya  ucapkan dan teruskan lagi usaha murni anda itu sehingga berjaya. Bagi yang masih tercari-cari hala tuju, carilah jalan bijak bagi menongkah arus semasa industri pelancongan.
Kita sudah tidak mempunyai banyak masa untuk tunggu dan lihat lagi. Persatuan dan pertubuhan berkaitan sektor pelancongan seperti MATTA, MAH, MBHA, MAHO, Bumitra dan sebagainya harus tampil segera dengan idea dan usaha yang lebih kreatif dalam mempromosikan produk pelancongan kita.
Penggiat industri  pelancongan perlu lebih proaktif dan agresif dalam mempromosi acara atau produk pelancongan dalam usaha kita menarik lebih ramai pelancong datang ke negara  ini.  Selain itu pengusaha produk pelancongan tidak harus leka dengan limpahan pelancong yang datang ke negara ini kerana situasi ini pasti akan berubah sekiranya kita gagal menyediakan perkhidmatan yang baik kepada tetamu kita. Justeru saya berharap semua penggiat pelancongan harus segera  menambah nilai mutu perkhidmatan serta pakej pelancongan yang disediakan agar ia lebih menarik, komprehensif dan kompetitif.
Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing secara sempurna, saya percaya industri pelancongan negara mampu menjadi penyumbang utama ekonomi negara.
Ingatlah bahawa sektor ini bukan sahaja membawa rahmat buat penggiat pelancongan sahaja malah ‘rahmatnya’ turut dinikmati oleh pelbagai sektor lain umpamanya seperti sektor pengangkutan, peruncitan dan sebagainya. Malah ‘orang kampung’ juga bakal mendapat ‘nikmatnya’ menerusi program homestay yang diadakan.