Thursday, September 27, 2012

PAKEJ-PAKEJ PERCUTIAN TERUNGGUL DI EXPEDIA.COM.MY

Expedia.com.my baru-baru ini mengumumkan pelancaran tawaran perkhidmatan penuh yang memberikan para konsumer Malaysia pelbagai tawaran pakej penerbangan dan pilihan hotel di rantau ini dan di kawasan-kawasan melampauinya. 
Berbekalkan rangkaian lebih 400 syarikat penerbangan serta 150,000 buah hotel di seluruh dunia, dan pakej percutian dinamik dengan nilai yang tiada tandingannya, Expedia.com.my menawarkan para pengembara dari Malaysia sebuah kedai sehenti untuk segala keperluan perancangan percutian mereka. Expedia.com.my akan menjadi satu-satunya laman dalam talian di Malaysia yang menawarkan semua pakej penerbangan terbaik dari AirAsia, Malaysia Airlines dan pelbagai syarikat penerbangan lain melalui satu laman. 
“Menempah percutian anda seharusnya merupakan satu proses mudah yang memberikan anda tawaran hebat. Expedia.com.my menawarkan pengembara Malaysia kesemua kelengkapan dan pilihan bagi mendapatkan tawaran terbaik dengan cara yang mudah dan senang digunakan,” kata Dan Lynn, CEO, AAE Travel. 
“Selaku syarikat pelancongan dalam talian terbesar di dunia, kami berhasrat untuk menjadi satu-satunya tempat terbaik untuk menempah perjalanan dan kami laksanakannya dengan menawarkan pelbagai pakej percutian yang paling kompetitif melalui satu laman yang mudah digunakan, dengan harga yang disokong oleh Jaminan Harga Terbaik. Kami merancang untuk mengulangi kejayaan laman serantau kami di Singapura dan Thailand, dan yakin bahawa produk unik yang ditawarkan oleh Expedia serta pengaruh global kami akan membantu mencapai kedudukan yang kukuh di Malaysia. Pelancaran Expedia.com.my juga merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam pelaburan berterusan serta komitmen kami di rantau ini,” tambah Lynn.
Bagi meraikan ketibaannya di Malaysia, Expedia.com.my akan menawarkan para pengembara Malaysia berlepas dengan tawaran-tawaran yang tiada tandingannya ke lebih 30 destinasi tempatan dan antarabangsa seperti P. Pinang, Langkawi, Kuching, Bangkok, Bali, Hong Kong, Paris, Osaka, Los Angeles dan London, pada harga bermula dari RM110.
Selain daripada menawarkan harga-harga termurah di pasaran, laman web ini menawarkan para pengembara satu rangkaian peralatan penempahan dalam talian yang mudah, serta servis setempat penuh dan khidmat sokongan telefon khas bagi membantu mereka merancang, menempah dan membentuk pakej percutian impian mereka yang disokong oleh ‘Jaminan Harga Terbaik’ tersendiri Expedia. Turut dimansuhkan adalah caj Expedia ke atas pindaan dan pembatalan.
Beserta antara muka yang mesra pengguna, Expedia.com.my turut menawarkan para pelawat satu rangkaian besar produk nilai tambahan termasuk gambaran keseluruhan hartanah yang terperinci, lawatan maya hotel serta ulasan bebas yang disahkan oleh para pengembara bagi membantu konsumer membuat keputusan yang betul.
Expedia kekal komited ke arah membantu para pengembara membentuk dan menikmati perjalanan terbaik dengan nilai terunggul! Jaminan Harga Terbaik  Expedia adalah jaminan pelanggan paling komprehensif dalam perjalanan dalam talian dan meliputi segala-galanya dari pakej-pakej hingga ke tawaran hotel kendiri yang ditempah melalui Expedia.com.my. Jika para pelanggan menemui harga dalam talian yang lebih untuk perjalanan yang sama, Expedia akan menyaingi kadar yang lebih rendah dan juga akan memberi pelanggan sebuah baucar perjalanan bernilai RM150 untuk penempahan di masa akan datang. Sebuah pusat hubungan pelanggan berdedikasi yang beroperasi selama 24-jam juga disediakan untuk memberi bantuan.
Expedia juga akan mempamerkan penjenamaan barunya di dalam semua komunikasi termasuk sebuah kempen untuk seluruh negara yang menggambarkan keseronokkan bercuti. Melalui penumpuan ke atas beg pakaian kuning ikonik Expedia, cogankata kempen merumuskan proposisi jenama untuk musim percutian ini - "Bersedia untuk Bercuti, Malaysia!"

Thursday, September 20, 2012

Berbanggalah Dengan Produk Pelancongan Kita

Dari  hamparan gunung menghijau sehinggalah lautan membiru. Semuanya menjadi aset pelancongan yang cukup berharga kepada negara. Begitu juga dengan khazanah warisan sejarah negara yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.  Khazanah warisan ini menjadi pelengkap kepada produk pelancongan negara.
Sebut  sahaja apa yang tidak ada di negara ini. Alam semulajadi yang mempesonakan, bangunan percakar langit serba canggih, sajian makanan yang pelbagai, budaya serta warisan yang unggul dan banyak lagi. Boleh dikatakan negara kita ada semuanya. Sehinggakan nak main salji pun boleh di negara ini jika anda berkunjung ke i-City di Shah Alam Selangor. Tiada yang mustahil!
Bukan itu sahaja, jika inginkan keriangan berpanjangan negara kita tidak pernah kalah dengan pelbagai taman tema dan pusat rekreasi yang hebat dan bertaraf antarabangsa. Sunway Lagoon, Genting Highland, Bukit Merah Laketown Resort dan yang terbaharu Legoland Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang inginkan keriangan berpanjangan.
Tapi malangnya tidak ramai yang menghargainya dan berbangga dengan produk pelancongan yang kita ada. Malah ada yang dengan sinis memperlekehkan produk pelancongan yang kita ada. Katanya kat Malaysia tak ada apa-apa yang menarik!
Aduhai … Meskipun produk pelancongan yang di negara kita mungkin tidak memenuhi citarasa anda, tapi berbanggalah dengan apa yang kita ada. Setidak-tidaknya hargailah apa yang kita ada. Pelancong dari luar negara sanggup datang beribu-ribu kilometer dan berpuluh jam perjalanan semata-mata untuk menghayati produk pelancongan di negara kita. Mengikut Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Malaysia merupakan negara ke-9 yang paling ramai dikunjungi di dunia sejak tahun 2009 hingga 2011. Apa yang pasti pada tahun lepas, Malaysia telah mencatatkan kedatangan pelancong asing seramai 24.7 juta orang dengan jumlah pendapatan bernilai RM58.3 bilion.
Statistik yang dikeluarkan oleh badan yang paling berpengaruh dalam sector pelancongan ini membuktikan bahawa negara kita mempunyai kekuatan dalam menarik kunjungan pelancong dan tentunya mempunyai produk pelancongan yang terbaik dan bertaraf antarabangsa.
Saya percaya pencapaian cemerlang ini adalah selari dengan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020 yang menyasarkan kedatangan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM168 billion pada tahun 2020.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, marilah kita sama-sama berganding bahu menyokong produk pelancongan yang kita ada sekali gus meningkatkan ekonomi negara kita dengan melancong di dalam negara. Sebenarnya banyak lagi destinasi pelancongan yang boleh kita terokai dan kita hayati bersama. Tidak perlu pergi jauh ke luar negara untuk melihat keindahan alam kerana semuanya ada di negara kita. Jom kita cuti-cuti Malaysia!