Sunday, June 3, 2018

Kemelut Tourism Malaysia… Bukan Pujian Jadi Ukuran, Tapi Bakti Yang Disumbangkan

Nak ditelan mati ibu, nak diluah mati bapa. Begitulah ungkapan yang boleh saya gambarkan dengan keadaan apa yang berlaku khususnya dalam kalangan pegawai pengurusan tertinggi sama ada di Tourism Malaysia mahupun Kementerian Pelancongan ketika ini. 

Saya terpanggil untuk berbicara tentang isu  ini dalam perspektif yang berbeza. Perspekif pengamal media pelancongan yang telah sekian lama tidak didendangkan.. Semuanya kerana isu yang  semakin hangat dibicarakan di media sosial serta media arus perdana umpama api dalam sekam yang kian membara. Isu ini seolah tiada penghujungnya. 

Dalam situasi yang tidak menentu ini, ada juga pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Namun pada saya isu siapa salah atau siapa betul bukanlah perkara pokok yang perlu kita cari. Apa yang paling utama ialah kita  perlu mencari pendekatan yang terbaik bagi menyelesaikan kekalutan yang berlaku.

Saya tidak berminat untuk mengulas lanjut tentang apa yang cuba dibangkitkan oleh Mantan Pengerusi Tourism Malaysia yang tampil membuka ‘tembelang’ selepas musim PRU14 berlalu. Beliau mungkin ada asas dan bukti yang tersendiri. Namun dalam situasi sekarang segala persoalan, segala pertuduhan, segala pertelagahan perlu ditangani secara bijaksana dan berhemah.

Bukan sehari dua saya bergelumang dalam dunia pelancongan ini. Saya membesar bersama dunia pelancongan. Jika di Tourism Malaysia itu saya telah lihat  ramai juga pegawai yang telah naik pangkat dari bawah hinggalah yang telah menjawat jawatan tertinggi di agensi itu. Ada juga yang telah pencen. Pada saya komitmen dan sumbangan mereka dalam menjayakan aspirasi pelancongan negara tidak perlu dipandang sepi.

Begitu juga dengan Menteri-menteri yang telah berkhidmat di Kementerian ini… Ada yang OK dan ada juga yang sebaliknya. Realti yang berlaku, setiap kali tukar Menteri, setiap kali itu lah bertukar hala tuju, dasar dan kempen promosi pelancongan. Dari Kempen Cuti-Cuti Malaysia bertukar kepada Kempen Zoom! Malaysia kemudian bertukar balik ke Kempen Cuti-Cuti 1 Malaysia. Ada kempen yang berkesan.. ada juga yang kecundang. Ada juga yang ‘Syok Sendiri’.

Bila tercetusnya isu yang melibatkan  pegawai tertinggi di Tourism Malaysia, saya dapat merasakan sesuatu yang sangat tidak kena. Kita harus menilai sesuatu isu secara menyeluruh tanpa ada sedikit pun persepsi yang berat sebelah. Sebagai penjawat awam mereka sememangnya tertakluk kepada kod etika serta garis panduan yang telah ditetapkan. Namun dalam situasi yang mendesak dan tekanan daripada pihak tertentu ada ketikanya mereka terpaksa meminggirkan soal intergriti sebagai penjawat awam.  Mereka tersepit antara nak menjaga ‘Menteri’ atau menjaga ‘periuk nasi’ sendiri.

Kalau tak ikut arahan ‘Orang Atasan’ itu , silap haribulan nasib malang menanti. Ada yang tak naik pangkat, ada yang di tukar jabatan, ada yang dibekukan dan ada yang didakwa di mahkamah. Inilah nasib penjawat awam yang terkadang kita terlepas pandang. 

Saya percaya jauh di sudut hati mereka rasa serba salah dan cuba untuk memastikan hasrat semua pihak dapat dipenuhi.. Dalam keadaan terpaksa dan rasa serba salah mereka terpaksa menurutkan juga arahan yang diberikan.. Itulah yang sering tertulis dalam surat-surat rasmi kerajaan yang tertulis “Saya Yang Menurut Perintah”. mungkin itulah yang tersirat sebelum ini .. umpama nak ditelan mati ibu, nak diluah mati bapa.  Di luar wajah nampak ceria, namun di dalam hati air mata jatuh ke dalam…

Saya bukan ingin membela mana-mana pihak. Jauh sekali membuat kenyataan subversif yang mengeruhkan lagi keadaan. Pada saya kita harus berlaku adil sebelum membuat apa-apa penilaian dan menjatuhkan hukuman. 
Saya tidak pandai ‘membeli jiwa’  apatah lagi menggunakan ‘bahasa ampu’, tapi jika ingin memuji atau pun mengeji  biarlah ada hadnya berlandaskan prinsip wasatiah.

Saya percaya komitmen  warga Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan selama ini  yang tidak pernah mengenal erti penat, telah meletakkan industri pelancongan negara ke satu tahap yang cukup membanggakan sekali gus merealisasikan aspirasi pelancongan negara.

Tidak kira siapa kita, sama ada  Pegawai tertinggi di Kementerian  atau kakitangan bawahan,  mereka sebenarnya mempunyai misi yang lebih utama dalam memastikan industri pelancongan negara terus subur dan makmur.

Biar bakti yang disumbangkan jadi ukuran, bukan pujian yang jadi keutamaan. Apa yang ingin saya nyatakan di sini kita harus bekerja dengan seikhlas hati dalam menyemarakkan industri pelancongan negara. Buatlah sesuatu usaha itu dengan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan pujian atau penghargaan kerana apa yang lebih penting di sini adalah pencapaian.  Usahlah kita bermimpi di siang hari dan membiarkan diri kita di takuk yang lama.

Perjalanan kita masih jauh. Jika tahun ini kita telah berjaya memikat berpuluh juta  pelancong mengunjungi negara kita, pada tahun 2020 pula, kita perlu memastikan sasaran sebanyak 36 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM168 billion menerusi Plan Transformasi Pelancongan Negara dapat dicapai. Ayuh kita bangun dan berlari lebih laju lagi dalam memperkasakan industri pelancongan negara. Moga-moga hasrat murni kita ini akan dapat dilaksanakan seikhlas yang mungkin.

No comments:

Post a Comment