Saturday, November 16, 2013

Memahat Nilai Intergiti Pelancongan Negara


Bila sebut soal integriti pelbagai definisi akan terbayang di fikiran kita. Saya tidak suka mencari perkataan tersebut dalam kamus, namun saya masih mencari maksud perkataan tersebut secara mudah di fahami khususnya dalam konteks pelancongan.
Bagi saya salah satu daripada definisi integriti yang saya rasakan sesuai dalam konteks pelancongan adalah kata-kata dan tindakan seseorang dan sesebuah organisasi itu harus selari. Atau lebih senang membawa maksud ‘Janji Ditepati’.
Dalam dunia pelancongan negara sekarang nilai integriti kita masih punya ruang yang perlu diperbaiki.  Industri pelancongan banyak berhubung kait dengan sektor perkhidmatan.  Jika mutu perkhidmatan yang diberikan selari dengan apa yang dijanjikan, mudah-mudahan nilai integriti ini dapat memperkasakan lagi industri pelancongan kita. Namun jika sebaliknya  yang terjadi maka tidak mustahil masa depan industri pelancongan negara juga akan lesu.
Petugas barisan hadapan seperti pegawai imigresen, pegawai kastam, pemandu teksi, penyambut tetamu hotel atau petugas di kaunter pertanyaan  harus mempunyai nilai integrity yang tinggi. Ia harus selari dengan janji kerajaan  kepada pelancong menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan  slogan  ‘Malaysia welcome the world’ dan ‘We are the host’!
Menerusi kempen promosi yang telah dilaksanakan oleh pihak Tourism Malaysia di seluruh negara, negara kita dilabelkan dengan penjenamaan “Malaysia Truly Asia’. Jenama ini telah melekat di hati setiap pelancong yang telah mengenali Malaysia menerusi kempen berkenaan.  Masyarakat Asia yang terkenal mengamalkan budaya konteks tinggi dengan kemesraan dari pelbagai kaum dan etnik menjadi antara faktor utama menarik kunjungan pelancong ke rantau ini. Faktor kepelbagaian budaya dan kemesraan masyarakat inilah yang dijanjikan kepada pelancong yang ingin melawat negara ini. Pelancong yang telah ‘terpengaruh’ dengan kempen promosi ‘Malaysia Truly Asia’ ini mengharapkan satu pengalaman baru yang khabarnya hanya boleh ditemui di negara ini.
Namun sekiranya apa yang digembar-gemburkan menerusi kempen promosi pelancongan tadi seumpama indah khabar dari rupa atau tidak selari dengan apa yang dijanjikan, maka nilai integriti pelancongan kita akan terhakis. Pelancong akan rasa tertipu dengan apa yang dijanjikan dan imej serta prestasi pelancongan negara pasti akan tercemar. Jika ini berlaku, mungkin pelancong tersebut tidak akan kembali lagi melancong ke negara ini dan lebih teruk lagi mereka akan memberikan komen yang negatif tentang negara ini kepada sahabat handai mereka.
Meskipun isu ini nampak remeh dan kecil, tapi ia memberikan implikasi yang besar kepada pelancongan negara. Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan pelancongan negara, tetapi sekiranya kita gagal menampilkan nilai integriti yang baik dalam dunia pelancongan kita, maka segala usaha ini akan sia-sia sahaja.
Saya sering nyatakan tugas untuk memperkasakan industri pelancongan ini bukan tugas pihak kerajaan sahaja. Ini adalah tugas kita semua dalam merealisasikan ‘Misi Nasional’ khususnya menjelang negara menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014. Untuk itu sekali lagi saya merayu kepada semua, marilah kita sama-sama berganding bahu menjayakan aspirasi pelancongan negara dengan cara yang kita mampu. Setidak-tidaknya kita mampu menyumbang kepada pelancongan negara dengan sebuah senyuman yang ikhlas kepada pelancong sekali gus menterjemahkan kemesraan kita kepada pelancong.

Tuesday, September 24, 2013

Jom Jadi Sukarelawan Pelancongan

Macam-macam cara telah dan akan dilaksanakan bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara. Terbaharu, Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia melancarkan kempen Voluntourism.  Buat anda yang masih tidak kenal dengan istilah ini, Voluntourism merupakan singkatan kepada “Volunteer Tourism”  bermaksud percutian yang disertai dengan penglibatan aktiviti-aktiviti sukarelawan. Walaupun pada mulanya saya agak ragu-ragu dengan keberhasilan program ini, namun selepas mengikuti beberapa siri program ini di Kuala Lumpur dan Pahang, saya yakin bahawa program Voluntourism ini bakal memecah tradisi industri pelancongan negara.
Baru-baru ini, bersempena dengan WITM & MATTA Fair 2013, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Datuk Ong Hong Peng, telah melancarkan 20 pakej Voluntourism. Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Ong Hong Peng dan seluruh warga Kementerian Pelancongan & Kebudayaan serta Tourism Malaysia yang telah bertungkus lumus merealisasikan program Voluntourism ini. Program yang bertepatan dengan  inisiatif  ketujuh  di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy- NBOS) ini sesungguhnya satu cetusan idea kreatif dalam memperkasakan industri pelancongan negara.
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa inilah program yang pertama di dunia seumpamanya yang dipakejkan secara kreatif dalam usaha menarik penyertaan semua pihak termasuk pelancong dalam dan luar negara.
Khabarnya sebanyak 20 pakej Voluntourism telah dibangunkan oleh tujuh agensi pelancongan tempatan yang menawarkan aktiviti-aktiviti sukarelawan seperti konservasi penyu, pemuliharaan Orang Utan, pembangunan komuniti, pertukaran budaya dan lain-lain lagi.
Kini kita sudah tiada alasan lagi untuk tidak terlibat secara langsung dalam usaha menyumbang kepada  industri pelancongan negara sekali gus memastikan  kejayaan Tahun Melawat Malaysia  2014.
Menerusi program Voluntourism ini kita boleh terlibat secara sukarela dalam lima aktiviti utama yang merangkumi program 1Malaysia Green 1Malaysia Clean, 1 Malaysia Voluntutoring, 1Malaysia Volunsharing, 1Malaysia Fabulous Food dan 1Malaysia Event. Pilih sahaja yang mana satu program yang memenuhi jiwa dan selera anda.
Voluntourism juga dilihat seiring dengan perlaksanaan Program Pelancongan Pelajar (3P) yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah. Namun penglibatan dalam kalangan pelajar masih belum menyeluruh dan boleh dipertingkatkan lagi pada masa akan datang. Mungkin pihak berkenaan perlu mempergiatkan lagi usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia dan program Voluntourism ini di sekolah-sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Saya percaya dengan penglibatan pelajar-pelajar ini, mereka juga akan dapat merasai  sedikit ‘nikmat’ untuk menyumbang kepada kejayaan industri pelancongan negara.
Maka dengan itu, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, marilah kita sama-sama menjayakan misi nasional ini dengan menyertai program sukarelawan pelancongan  Voluntourism ini sebagai bukti sokongan kita kepada industri pelancongan negara. Jom sertainya sekarang.

Tuesday, September 17, 2013

Terapi Pelancongan Eratkan Perpaduan


Sempena bulan kemerdekaan ini saya terpanggil untuk berbicara tentang soal perpaduan kaum yang saya lihat kebelakangan ini semakin longgar. Lebih memilukan isu perkauman semakin hangat dibicarakan di media arus perdana umpama api dalam sekam yang kian membara. Isu ini seolah tiada penghujungnya. Dalam situasi yang tidak menentu ini, ada juga pihak yang cuba menangguk di air yang keruh.
Namun pada saya isu siapa salah atau siapa betul bukanlah perkara pokok yang perlu kita cari. Apa yang paling utama ialah kita  perlu mencari pendekatan yang terbaik untuk memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat di negara kita pada kadar segera. Saya terpanggil untuk membincangkan isu ini dalam konteks pelancongan kerana menerusi aktiviti pelancongan kita sebenarnya dapat membentuk satu jalinan perpaduan yang kukuh antara kaum.
Saya teringat satu kisah yang telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam diri saya khususnya dalam soal perpaduan antara kaum ini. Ketika itu saya menyertai satu rombongan percutian ke Terengganu bersama rakan media. Kebanyakkan  peserta rombongan terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina, India dan ada juga yang dari keturunan Iban. Walaupun pada mulanya kami rasa agak janggal untuk berbicara, namun setelah sehari bersama, bibit-bibit kemesraan mula timbul. Walaupun saya kurang mempunyai kawan dari kaum yang berbeza namun menerusi rombongan tersebut saya dapat mengenali dengan lebih dekat lagi budaya serta adat kaum  lain. Tak kenal maka tak cinta. Setelah kenal rakan-rakan dari kaum yang berbeza itu maka timbul rasa sayang. Saya sayangkan nilai  persahabatan ini. Ia lahir secara sendiri tanpa ada paksaan. Nak dijadikan cerita, dalam rombongan itu juga terjadi satu insiden di mana salah seorang peserta berketurunan Cina bernama Ai Ling telah mengalami sakit demam panas. Nafasnya juga tercungap-cungap akibat  serangan asthma.  Waktu  sudah larut malam. Tanpa berlengah saya dan rakan sebilik saya bernama David yang  berketurunan India membawa Ai Ling ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Nasib baik kami cepat sampai ke hospital. Kalau tidak mungkin keadaan akan menjadi lebih parah.  Syukur semuanya selamat. Dalam hal ini perbezaan kaum bukan penghalang untuk kami membantu di antara satu sama lain lebih-lebih lagi pada waktu kecemasan.
Selepas peristiwa itu Ai Ling menyatakan tanggapan buruknya selama ini terhadap orang dari kaum yang berbeza  sudah tiada lagi dalam hatinya. Saya pula cuba meletakkan diri saya di dalam situasi Ai Ling. Kalaulah tiada orang  yang sudi menolong saya, apa yang akan jadi pada saya. Mungkin hari ini saya tolong dia, mana tahu suatu hari dia tolong saya pula.

Walaupun bantuan saya itu tidaklah sebesar mana, tetapi kesannya amat besar dalam mengeratkan lagi perpaduan antara kaum. Ai Ling amat menghargai pertolongan saya itu sehinggakan menganggap saya sebahagian daripada keluarganya. Syukurlah, setidak-tidaknya saya dapat memberikan satu imej yang positif tentang bangsa dan agama saya.   
Dia begitu menghargai nilai persahabatan ini.  Lebih dari itu, sekiranya ada kawan-kawan dia yang menyatakan sesuatu perkara yang tidak baik mengenai bangsa saya,  maka dialah orang pertama yang akan membela nasib bangsa saya ataupun David.  Dia akan sentiasa menceritakan pengalaman beliau dibantu oleh orang berbangsa lain semasa dia dalam kesusahan.

Saya  rasa  sungguh terharu dengan nilai persahabatan ini. Pengalaman yang saya lalui ini mungkin contoh kecil bagaimana menerusi pelancongan kita dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum. Saya percaya menerusi pelancongan juga kita akan dapat mengenal dengan lebih dekat lagi adat resam serta budaya kawan-kawan kita yang terdiri dari kaum yang berbeza. Yakinlah bahawa sebenarnya hubungan yang ‘dingin’ antara kaum di negara ini dapat dipulihkan menerusi ‘Terapi Pelancongan’.

 

Tuesday, August 6, 2013

Aspirasi Pelancongan Tan Sri Datuk (Dr) Hj Mustapha Kamal

Tan Sri Datuk Mustapha Kamal Bersama Tun Mahathir
Pengalaman lebih 30 tahun dalam mengharungi  pahit manis sebagai pemaju hartanah banyak mengajarnya tentang erti kehidupan.  Jiwanya kental, semangatnya tinggi! Bila bercakap soal  anak bangsa dan kemanusiaan beliau tangkas bersemangat meskipun pada masa tersebut kondisi kesihatan beliau tidak begitu mengizinkan.
Begitulah Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal,  seorang insan hebat yang ternyata tajam fikirannya dalam merencanakan  wawasannya. Meskipun beliau mempunyai aset berbilion ringgit, namun sifat rendah dirinya membuatkan siapa sahaja rasa selesa tatkala berada bersamanya.  Dalam pertemuan ringkas tapi penuh bermakna itu, saya cuba mendekati rahsia kejayaan Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal untuk dikongsi bersama.
Menyentuh soal penglibatannya dalam sektor pelancongan, beliau  menegaskan bahawa potensi yang ada dalam bidang ini telah memberikan keyakinan kepadanya untuk melabur dalam bidang perhotelan.  Sebagai pemaju hartanah, antara strategi beliau dalam memastikan kelestarian dan kestabilan projek-projeknya adalah dengan mempelbagaikan perniagaannya khususnya dalam menyertai bidang perhotelan.
“Sebagai peniaga saya menekankan perniagaan utama mengenai harta tanah dan keduanya barulah perhotelan. Saya mengambil  perhotelan ini sebagai langkah to diversify kerana saya melihat potensi yang ada dalam bidang perhotelan ini,” katanya.
Menurutnya, berdasarnya perkembangan putaran perniagaan  dunia masa kini, negara-negara seperti China, India, Korea, Jepun dan juga Australia telah menunjukkan kemajuan sekali gus membolehkan masyarakatnya mendapat pendapatan yang tinggi.
“Dengan peningkatan pendapatan ini , kita menjangkakan mereka mempunyai lebihan pendapatan untuk  melancong. Selain itu daripada itu  pelancongan di negara kita mempunyai potensi yang besar kerana berbagai-bagai pilihan yang boleh dibuat oleh pelancong luar negara di negara ini. Kita ada laut, kita ada hutan belantara, kita ada tasik, bermacam-macam,” kata Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal. Beliau turut berkeyakinan pada tahun 2020 negara Malaysia akan mencapai tahap negara maju dengan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dijangkakan  menjangkau sebanyak USD15,000.
“ Masyarakat Malaysia juga mempunyai lebihan pendapatan  untuk melancong. Potensi untuk produk-produk di negara kita juga banyak. Negara kita aman dan rakyat kita fasih dalam bahasa Inggeris. Ini semua menjadi faktor tambahan untuk pelancong datang ke negara kita,” tambahnya lagi.


Usaha Membantu Anak Bangsa
Bagi memastikan penglibatannya dalam sektor pelancongan membuahkan hasil yang membanggakan, menerusi syarikat MK Land Holdings Berhad beliau telah mewujudkan lima buah resort iaitu Langkawi Lagoon Resort, Bukit Merah Laketown Resort, Taiping Golf Resort, Kuala Melaka Inn dan yang terbaharu Ombak Villa by Langkawi Lagoon.  Sementara menerusi EMKAY Group pula beliau mempunyai Belum Rainforest Resort dan menerusi syarikat Setia Haruman pula beliau membangunkan Cyberview Lodge Resort & Spa.  Menerusi rangkaian hotel dan resort tersebut sehingga kini  beliau mempunyai lebih 1000 bilik yang melibatkan pelaburan lebih RM400 juta.
“Pelaburan sebanyak RM400 juta itu satu pelaburan yang besar. Boleh diandaikan  kita sebagai pemain industri perhotelan yang serius di dalam arena ini. Saya tidak menekankan kita bersaing, tapi kita komplemen kerana siapa sahaja yang datang ke negara kita ia adalah pendapatan kepada ke negara kita,” jelasnya.
Penglibatan beliau dalam arena pelancongan bukanlah didorong atas faktor mencari keuntungan semata-mata. Malah soal kemanusiaan, pendidikan dan  alam semulajadi juga tidak pernah beliau kesampingkan.
Pembinaan projek di Bukit Merah Laketown Resort umpamanya, bukan sahaja menekankan kepada soal pembangunan prasarana sahaja, malah pembangunan modal insan dan kelestarian alam semulajadi turut diutamakan. Buktinya, projek kampung angkat Kampung Selamat di pinggir projek Bukit Merah Laketown Resort menjadi kebanggaan beliau dan seluruh warga MK Land apabila ramai penduduk kampung tersebut berjaya mengubah kehidupan kepada yang lebih baik. Begitu juga dengan projek Pulau Orangutan yang menjadi teras kepada usaha memelihara spesies haiwan yang terancam ini.
“Saya mula melabur dalam sektor perhotelan  dari tahun 1998 setelah memastikan projek hartanah saya dalam keadaan yang stabil. Projek hotel ini juga  adalah satu cara untuk saya membantu anak bangsa saya kerana jumlah pekerja-pekerja yang berada dalam industri perhotelan ini adalah sungguh ramai,” katanya.

Terap Nilai-Nilai Murni Islam
Dalam membina empayar industri perhotelan, beliau tidak pernah lupa pada akar budi bangsa dan agamanya.  Ciri-ciri keislaman dan budaya Melayu yang menunjangi  kehidupannya sentiasa beliau terapkan dalam projek-projek yang dibangunkannya.
“Ciri-ciri keislaman juga saya bawa di seluruh hotel-hotel saya kerana kita tidak sama sekali membuat secara terus pekara-perkara yang dilarang oleh agama kita. Itulah salah satu keistimewaan untuk hotel-hotel yang saya telah uruskan. Di Langkawi Lagoon umpamanya saya telah membangunkan sebuah bangunan yang dijadikan surau yang dipanggil Surau Hajah Felina.  Kemudahan yang disediakan ini tentunya akan memberikan  keselesaan  untuk pelancong beragama Islam,” jelas beliau.
Hasil daripada pendekatan yang menjurus kepada konsep ‘mesra Muslim’ ini, hotel-hotelnya menjadi pilihan ramai khususnya untuk pasaran Timur Tengah, Arab Saudi dan sebagainya.  Ternyata apa yang beliau laksanakan di hotel-hotelnya merupakan salah satu cabang dakwah apabila pelancong Muslim dapat sama-sama menunaikan ibadat solat, berpuasa dan bersolat terawih di bulan Ramadan dalam suasana yang selesa.
“Selain itu di Belum Rainforest Resort saya berjaya menarik penduduk Asli datang berbuka puasa dan terus solat terawih dengan saya. Dan alhamdulillah tahun lepas kita telah menghantar dua orang Asli mengerjakan Umrah di Mekah. Hotel saya ini bukan saja punca pendapatan dunia semta-mata, tetapi punca pendapatan akhirat selain itu dapat menarik orang bukan Islam masuk ke agama Islam. Oleh kerana kita posisi hotel kita kearah keislaman,” kata Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal.
Dalam merencanakan pembangunan dalam bidang perhotelan, beliau tidak lupa kepada golongan yang berpendapatan rendah. Justeru  beliau turut memastikan bahawa semua golongan dapat menikmati destinasi pelancongan dengan cara yang termampu di hotel-hotel yang diuruskannya.
“Saya juga menekankan soal kemampuan. Bukan semua orang mampu melancong dengan harga yang tinggi. Kami telah membuat persediaan dengan mewujudkan bilik hotel yang mampu disewa. Walaupun kadar harganya berpatutan, kemesraan dan mutu perkhidmatannya adalah sama dengan perkhidmatan yang diberi untuk hotel  4 atau 5 bintang. Hanya harga sahaja yang berbeza. Dengan ini saya dapat menarik bukan sahaja pelancong-pelancong tetapi badan-badan swasta dan kerajaan yang datang bukan sahaja bersantai tetapi mengadakan mesyuarat dan perbincangan dan juga aktiviti-aktiviti kelab,” katanya.
Memahami erti persahabatan...
Dari Pemaju Hartanah Kepada Industri Perhotelan
Beliau ternyata lebih selesa dikenali sebagai pemaju hartanah berbanding dengan pengurusan perhotelan. Meskipun projek-projek perhotelan yang dimilikinya berjaya menyemarakkan lagi sektor pelancongan, namun dalam nada yang sederhana beliau menyatakan sumbangan beliau dalam sektor pelancongan adalah kecil  berbanding sektor hartanah yang telah beliau sertai sejak sekian lama.
“Sebagai pemaju hartanah, daripada tahun 1983, sehingga kini kita telah mencapai GDV sebanyak RM 17 billion. Kalau kita gunakan data ini sebagai contoh, penyertaan saya di dalam industri perhotelan adalah begitu kecil sekali.  Saya adalah pemaju hartanah dahulu dan seorang pengurus penghotelan pada masa sekarang. Sehingga kini, saya telah menyiapkan sebanyak 29,648 unit rumah mampu milik menyerupai jumlah sebanyak RM 5.3 billion.  (Ini tidak termasuk pembinaan rumah berharga tinggi, sederhana murah dan sederhana, kedai, komersial, bangunan pejabat dan lain-lain). Saya hendak dikenal sebagai usahawan, pengurus hartanah dan pengurus perhotelan iaitu bidang yang saya rasa mempunyai potensi untuk berkembang lagi. Tidak hairan jika mendapat sambutan yang hangat saya akan menambahkan pelabuaran di dalam sektor perhotelan ini.  Tetapi setakat ini hotel yang saya ada ini menekankan faktor -faktor untuk menarik pelancong dalam negara dan juga pelancong luar negara,”katanya mengakhiri perbualan.

Prinsip Hidup

Failure is not an option
Saya akan berusaha sedaya upaya dan saya akan tawakal serta berserah sepenuhnya kepada Tuhan. Selama 30 tahun ini, jika anda berusaha dengan ikhlas dengan ada nawaitu yang baik dengan tidak melanggar kehendak agama insha Allah kita akan berjaya.




Profil
Nama: Tan Sri Datuk (Dr) Hj Mustapha Kamal bin Hj Abu Bakar
Tarikh lahir : 18 Mac 1949
Asal : Kampung Changkat, Pusing, Perak
Pendidikan : Bachelor’s Degree in History, Universiti Malaya
Jawatan : Pengerusi EMKAY Group
                : Pengerusi MK Land Holdings Berhad

                : Pengerusi Setia Haruman Sdn Bhd.
Hobi: Muzik, berkebun dan membaca


 

 

Thursday, August 1, 2013

Ikhlaskan Hati Bantu Pelancong...


Saya ingin mulakan bicara saya kali ini dengan satu lontaran soalan. Jika anda melancong ke sesebuah negara apakah yang anda harapkan? Adakah anda mengharapkan percutian tersebut memberikan kenangan manis atau sebaliknya.
Jika percutian anda berakhir dengan satu peristiwa yang mendukacitakan, adakah anda akan datang lagi bercuti ke tempat itu. Mana mungkin kita ke destinasi itu jika ia sudah memberikan persepsi negatif kepada kita.
Saya tertarik untuk berkongsikan satu cerita yang berlaku baru-baru ini. Barangkali kita boleh ambil sedikit iktibar daripadanya. Pada satu pagi yang damai, sambil saya duduk minum kopi di pinggir sebuah  kompleks membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur saya dikejutkan dengan satu insiden. Seorang wanita menjerit meminta tolong tatkala beg tangannya diragut.  Dalam sekelip mata ramai yang datang melihat dengan penuh simpati. Tapi sekadar datang untuk menjadi penonton. Dengan rasa penuh simpati, saya turut menghampiri wanita tesebut. Air matanya berjuraian dan ketika itu tangisan sudah tiada gunanya lagi.  Rupanya wanita tersebut adalah seorang pelancong yang berasal dari sebuah negara di rantau Arab.
Tanpa berlengah saya segera membawanya ke balai polis untuk membuat laporan polis tentang kejadian  yang berlaku. Dalam kejadian malang itu dia kehilangan dokumen penting seperti pasport, kad kredit dan sejumlah wang. Selepas ke balai polis saya bawa dia ke pejabat kedutaan dan seterusnya ke pejabat Imegresen Malaysia di Putrajaya untuk urusan mendapatkan Visa sementara dan dokumen perjalanan.
Memandangkan keesokan harinya dia terpaksa pulang ke negaranya, segala urusan  berkaitan dokumen perjalanan dan visa  perlu diselesaikan dengan segera. Syukur segalanya berjalan lancar.  Pada penghujung hari setelah selesai segala urusan, saya menghantarnya pulang ke hotel. Ternyata dia begitu gembira dan berterima kasih atas pertolongan yang saya hulurkan.  Peristiwa pahit  yang telah menimpa dirinya sebelum ini sedikit terpadam dan cerita manis tentang budi rakyat Malaysia kian terserlah. Sebelum saya berpisah dia sempat menghulurkan kepada saya sejumlah wang, namun saya tolak pemberian itu dengan baik sambil berkata “Maaf, saya tolong anda dengan ikhlas. Cukuplah sekadar balas jasa saya ini dengan khabarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia adalah negara yang aman dan makmur”.  Saya sempat berpesan agar dia lupakan segala kenangan pahit dan bawalah hanya kenangan manis pulang ke negaranya.
 Ini bukan soal saya membantu orang yang di dalam kesusahan. Pada saya ini lebih kepada soal maruah dan imej negara yang harus saya martabatkan. Soal kepentingan peribadi saya kesampingkan demi untuk memastikan nama baik negara. Imej negara yang tercalar dek kerana insiden peragut itu, barangkali  sedikit terubat dengan bantuan segera yang saya hulurkan itu. Meskipun ianya nampak kecil dan remeh, tapi ia memberikan implikasi yang cukup besar kepada kelestarian industri pelancongan negara.
Bukan saya nak membangga diri apatah lagi menagih pujian. Tapi apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya punya tanggungjawab dalam memastikan industri pelancongan kita sentiasa subur. Cuba banyangkan sekiranya pelancong Arab itu pulang dalam keadaan marah dan kecewa kerana kehilangan dokumen penting tanpa ada orang yang menolongnya. Tentu dia akan membawa cerita-cerita negatif tentang negara kita. Lebih buruk lagi dia tentu akan menulis di laman sosial tentang peristiwa pahitnya di negara ini sekali gus menyebabkan orang takut untuk datang ke sini.
Saya kongsikan kisah kecil ini untuk kita sama-sama fikirkan dalam konteks yang lebih besar. Apa yang penting ialah kita harus tanamkan niat di dalam hati kita agar setiap tindakan kita di hadapan ‘tetamu’ kita dipandang molek. Jika kita tidak mampu membuat perkara yang baik khususnya kepada pelancong, cubalah elakkan melakukan perkara yang buruk.  Ikhlaskan niat untuk membantu ‘tetamu’ kita dengan cara yang kita termampu. Kepada peragut tadi, anda sebenarnya bukan sahaja meragut sejumlah wang yang mungkin bernilai beberapa ringgit sahaja, tetapi anda telah meragut masa depan industri pelancongan negara yang kita jangkakan akan menjangkau pendapatan sebanyak RM168 billion pada tahun 2020.

Buat seluruh rakyat Malaysia yang budiman dan bertatasusila, ikhlaskan lah hati kita menolong pelancong yang datang ke negara kita meskipun dengan sekadar sebuah senyuman. Ingat, tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia dan kita sebagai ‘tuan rumah’ harus lebih bersedia untuk menyambut ‘tetamu’ kita dengan menonjolkan nilai-nilai murni yang bersemi dalam diri kita.  

Friday, July 19, 2013

Rahmat Di Sebalik Bukit Merah

Bukit Merah sesungguhnya bumi bertuah. Nun jauh di sebalik  berdiri megahnya sebuah pusat pelancongan Bukit Merah Laketown Resort ada nilai murni yang tersirat di sisinya.Di sebalik percikan keriangan yang tersemai di resort ini, terselit juga wajah ceria penghuni asal di sisinya.
Begitulah  besarnya rahmat pembangunan Bukit Merah,  sehinggakan bukan sahaja masyarakat setempat mendapat nikmatnya malah pelbagai spesies haiwan dan Orangutan turut sama meneguk nikmat di sebalik pembangunan Bukit Merah Laketown Resort  dan Pulau Orangutan yang merupakan cetusan idea Tan Sri Mustapha Kamal.
Justeru, kunjungan saya ke Bukit Merah bersama program Sahabat Media Bukit Merah Laketown Resort baru-baru ini ternyata memberikan satu persepsi baharu kepada saya khususnya dalam konteks pembagunan sektor pelancongan dan modal insan.
Saya tersentuh dengan semangat Tan Sri Mustapha Kamal yang ingin membawa perubahan landskap kehidupan masyarakat setempat dengan adanya pembangunan resort di kawasan tersebut.
“Adalah menjadi tradisi dimana sahaja, MK Land  membuat kerja, kita  tidak mahu orang-orang sekelilingnya hanya menjadi penonton. Kita mahu  orang sekeliling   menyertai  kami dengan peluang-peluang   yang ada. Boleh dikira berapa ramai penduduk  sekitar resort ini  bekerja di sini dan anaknya menjadi ikon untuk projek ini. Saya nak membuktikan, jika diberi peluang, sama ada miskin atau kaya tak menjadi soal. Jika diberi peluang, yang miskin pun boleh berjaya,” kata Tan Sri Mustapha Kamal.

Transformasi Kampung Selamat

Siapa sangka sebuah kampung yang daif dan miskin kini bejaya keluar dari kepompong kemiskinan. Meskipun soal kemiskinan itu satu perkara yang sangat subjektif, namun tanpa usaha dan peluang, mana mungkin masalah kemiskinan dapat dihakis.
Menurut Tan Sri  Dr Mustapha Kamal, Pengerusi MK Land Holding Berhad, pendekatan  transformasi minda menerusi pendidikan yang digerakkan oleh Yayasan EMKAY di Kampung Selamat, Perak umpamanya telah terbukti berjaya mengubah landskap kehidupan masyarakat di kawasan tersebut.
Program Kampung Angkat Kampong Selamat  merupakan satu contoh  program tanggungjawab sosial korporat yang berjaya merubah kehidupan masyarakat kampung keluar daripada kepompong kemiskinan. 
" Kita telah berjaya  membuktikan pencapaian cemerlang khususnya dalam bidang akademik sepanjang 18 tahun program tersebut dijalankan.  Seramai  17 orang pelajar telah berjaya mendapat 5A dalam UPSR dan 26 orang pelajar telah mendapat 4A 1B dari tahun UPSR 1997 hingga UPSR 2012,"
Keputusan UPSR ini juga telah melonjakkan Sekolah Kebangsaan Kampong Selamat sebagai  antara sekolah terbaik dalam daerah Kerian dan juga negeri Perak.
elain itu kebanyakkan anak-anak di Kampong Selamat telah berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh serta ke peringkat pengajian tinggi sehingga ke peringkat Diploma serta Ijazah di dalam dan luar negara.
"Siapa juga boleh berjaya jika diberikan peluang. Jika pelajar kampung diberi peluang dengan kemudahan belajar yang sama seperti di bandar, mereka juga pasti mampu mencipta kejayaan", kata Mustapha Kamal.
Menurut Mustapha Kamal, menerusi program kampung angkat ini,  Program Pembangunan Pendidikan menjadi elemen terpenting dalam menggerakkan minda kearah kemajuan.
Sejak dilancarkan pada 3 Januari 1996, program ini telah menyediakan satu  sistem kelas bimbngan pendidikan berkualiti dan bersistematik disamping pelbagai pendekatan yang bersifat holistik telah dijalankan seperti mengadakan siri ceramah motivasi, cerama kerjaya, lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur dan pelbagai program lain yang menjurus kepada kemajuan pelajaran.
Selain program jangka panjang yang menjurus kepada perancangan pembangunan minda dalam mencapai kemajuan, program jangka pendek  juga telah diadakan antaranya seperti memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk Kampong Selamat berkerja di Bukit Merah Laketown Resort serta bantuan kewangan kepada keluarga miskin dan pembanguan infrastruktur di persekitaran kampung seperti balai raya, masjid dan kemudahan awam.
Justeru menurut Mustapha Kamal beliau menyeru syarikat-syarikat korporat yang lain untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada kelompok-kelompok yang masih tercicir dan dibelenggu masalah kemiskinan.

 
Misi Menolong Anak Bangsa

"Saya mengharapkan sokongan semua badan-badan korporat yang besar di negara ini. Menerusi pendekatan  yang dilaksanakan di Kampung Selamat ini, ia boleh digunapakai oleh badan-badan korporat tersebut di kawasan-kawasan kampung yang lain. Kepada seluruh dunia, jika esok anda lihat, anda perhati, dan anda katakan ini adalah yang terbaik, wawarkanlah kepada seluruh Negara, seluruh dunia, kalau Yayasan EMKAY boleh buat kenapa tidak badan-badan korparat yang lain buat? Ini bukan soal Mustapha Kamal. Ini soal cara Mustapha Kamal dan rakan-rakan untuk menolong anak bangsa,” kata Mustapha Kamal.
Hasil daripada cetusan idea Tan Sri Mustapha Kamal ini, sebuah kampung yang dahulunya sebuah kampung yang termiskin di daerah Kerian telah mendapat satu 'nafas baru' dan kini berubah wajah menjadi sebuah kampung cemerlang.  
Dalam kunjungan saya ke Bukit Merah itu juga saya turut berpeluang melihat sendiri bagaimana industri pelancongan dapat menyumbang kearah pembangunan masyarakat setempat.  Tan Sri Mustapha Kamal yang tidak pernah lokek dengan ilmu, sanggup berkongsi pengalamannya membangunkan projek hartanah dan pelancongan kepada semua rakan media dan tetamu dalam satu majlis pelancaran Kursus Sijil Pelancongan & Kulinari untuk kakitangan resortnya.
Beliau yang percaya bahawa tanpa ilmu, kita tidak boleh berjaya dan memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya dalam industry perkhidmatan.  Begitu banyak usaha dan pelaburan yang telah beliau curahkan semata-mata untuk memastikan setiap  program yang dibangunkan dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.
Sementara  itu, dalam kunjungan ke Kampung Selamat, penyanyi popular Ana Raffali turut mengadakan satu sesi khas pembelajaran Bahasa Inggeris dengan muzik. Beliau yang memiliki ijazah kelas pertama TESL dari UiTM meluangkan masa bersama murid-murid  dengan berkongsi kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris sambil berhibur. Ternyata kaedah pembelajaran yang ditampilkan oleh Ana Raffali itu berjaya menambat hati murid-murid untuk mendalami Bahasa Inggeris dengan mudah.
Apa yang pasti Bukit Merah Laketown Resort bukan sahaja telah  menyemarakkan lagi sektor pelancongan negara, malah berjaya mengubah landskap kehidupan masyarakat setempat khususnya di Kampong Selamat.

Wednesday, July 17, 2013

Memahat Erti Pelancongan Muslim...

Bila bercakap soal pelancongan Muslim, kita terus terfikirkan makanan halal. Tapi persoalannya sejauh manakah kita faham erti pelancongan Muslim yang sebenar.  Pada saya pelancongan Muslim membawa erti yang maha luas. Bukan sekadar makanan halal sahaja yang patut difikirkan, malah soal kemudahan untuk menunaikan ibadat solat patut diutamakan. Tidak cukup dengan itu, nilai akal budi kita sebagai seorang individu yang bergelar 'pelancong Muslim' juga usah kita pinggirkan.
Baru-baru ini saya berkesempatan melawat negara Taiwan. Meskipun masyarakat Muslim di Taiwan bukanlah golongan majoriti, namun kebajikan untuk pelancong Muslim sedikitpun tidak dikesampingkan. Tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Taiwan yang begitu prihatin terhadap kebajikan pelancong Muslim.  Segala keperluan untuk pelancong Muslim tersedia dengan baik, malah sajian makanan halalnya juga benar-benar dipastikan halal oleh Persatuan Muslim China Taiwan.
Dalam konteks pelancongan,  sebagai pelancong Muslim kita juga harus mengutamakan tatasusila kita sebagai pelancong Muslim. Dalam kita sibuk mencari hak kita sebagai pelancong Muslim di negara orang, jangan pula kita lupa menjaga keperibadian kita sebagai pelancong Muslim. Sebenarnya, kita sebagai pelancong Muslim juga membawa imej agama kita sendiri. Sebagai Muslim sejati, kita  diajar untuk  hormat menghormati sesama insan. Sama ada kita sedar mahupun tidak,  setiap gerak geri serta tingkah laku kita sering diperhatikan oleh masyarakat tempatan ketika kita melancong ke negara berkenaan.  Jika kita menampilkan keperibadian yang baik dengan budi pekerti yang mulia, mudah-mudahan imej Islam itu juga akan turut sama dilihat molek. Jika sebaliknya, alangkah sedihnya bila kita sebagai pelancong Muslim dinilai dengan sesuatu yang negative.
Alhamdulillah, ketika ini banyak agensi pelancongan menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang mesra Muslim. Soal makanan halal serta kemudahan menunaikan ibadat solat bukan lagi alasan untuk kita tidak melancong ke luar negara.  Apa yang pasti segala keperluan untuk pelancong Muslim kini mudah untuk kita peroleh.
Soalnya sekarang, adakah kemudahan atau keperluan untuk pelancong Muslim itu kita gunakan sepenuhnya ataupun tidak. Tepuk dada tanya selera.. Bagi yang selalu mencari alasan untuk tidak menunaikan ibadat solat ketika melancong ke luar negara kerana tiada kemudahan mengerjakan ibadat solat, alasan itu mungkin tidak boleh diguna pakai lagi.  Kini kebanyakan hotel di luar negara ada menyediakan kemudahan surau dan sejadah berserta tanda kiblat di dalam bilik hotel.
Maka dengan itu saya benar-benar berharap dengan sedikit pencerahan yang saya kongsikan di ruang yang terhad ini akan membuka sedikit persepsi kita terhadap erti pelancongan Muslim yang sebenar. Mudah-mudahan dengan bulan yang mulia ini kita dapat sama-sama memahat satu pengertian untuk menjadi pelancong Muslim yang dihormati...

Tuesday, July 2, 2013

Tiada Ruginya Mesra Dengan Media…

Sektor pelancongan tidak boleh dipisahkan dengan publisiti dan promosi. Sehebat manapun produk pelancongan itu, kalau tiada promosi sudah tentu ianya akan terbiar lesu tanpa pengunjung. Pendek kata promosi dan publisiti amat penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah produk pelancongan tersebut.
Baru-baru ini saya dikejutkan oleh satu kisah yang dialami sendiri oleh rakan media saya.  Khabarnya ada sebuah hotel  eksklusif di pinggir Bandaraya Kuala Lumpur yang dilihat tidak begitu mesra media. Dalam insiden tersebut rakan saya ditugaskan untuk membuat liputan tentang  spa di resort tersebut. Justeru pemilihan spa di resort tersebut dilihat sebagai satu pilihan yang tepat memandangkan spa di resort berkenaan pernah memenangi beberapa anugerah spa dan tampak  begitu eksklusif.
Namun menurutnya, tatkala menghubungi pegawai yang bertanggungjawab di resort berkenaan, jawapan yang diterima amat mengecewakan. Setelah pelbagai permintaan daripada pihak resort tersebut seperti salinan majalah untuk dinilai dan pelbagai maklumat tambahan diberikan oleh rakan saya itu, jawapan yang diberikan oleh pegawai resort tersebut cukup mendukacitakan. Alasannya, media tersebut bukanlah  'target market' resort berkenaan.  Dengan angkuhnya pegawai itu menjawab bahawa resortnya tidak memerlukan publisiti daripada media tersebut.
Aduhai penggiat industri pelancongan... Khususnya buat petugas di barisan hadapan seperti di bahagian perhubungan awam, pemasaran korporat atau seumpamanya,  usahlah kita begitu sombong dengan jawatan yang kita pegang itu.  Prinsip yang dipegang oleh pengurusan resort tersebut yang kononnya ingin  menjaga standart dan imej resort berkenaan perlu dikesampingkan dan dinilai semula. Sejauh mana imej  resort itu akan terjaga jika hubungan dengan media lesu.  Tidak kiralah media tersebut daripada media arus perdana , media antarabangsa atau media tempatan, semua saluran media ini seharusnya dihargai dan diberikan layanan yang sama. Usah terlalu memilih sangat saluran media tersebut sehinggakan nanti pihak media akan rasa jijik  dan bosan dengan karenah birokrasi yang anda praktikkan itu.  Adalah satu perkara yang memalukan sekiranya kita menidakkan kepentingan pihak media.  Menolak kunjungan media yang datang untuk membuat liputan dengan alasan yang tidak munasabah adalah satu perkara yang tidak bertatasusila dan kurang bijaksana.
Berbalik kepada kisah tadi, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena pada resort tersebut. Kebetulan saya kenal dengan pemegang saham terbesar resort tersebut yang setahu saya seorang yang cukup mesra dengan media.  Setelah saya khabarkan kepada rakan saya itu yang juga seorang tokoh usahawan terkenal negara , beliau ternyata kecewa dengan apa yang berlaku. Beliau yang mempunyai rangkaian resort dan projek hartanah yang banyak sedikitpun tidak pernah sombong dan meminggirkan peranan media.  Malah beliau mempunyai ramai sahabat baik dalam kalangan pengamal media tempatan.
Persoalannya sekarang, bukanlah kita nak cari salah siapa. Cuma saya terpanggil untuk cari apa yang tak betul dan sama-samalah kita memperbetulkannya.
Kepada resort terbabit, cubalah ubah pendekatan anda dan jadilah resort yang lebih mesra media.  Apalah gunanya nak jaga standart dan reputasi syarikat jika hubungan dengan media dingin. Jadikan media sahabat anda yang paling akrab. Tiada ruginya mesra dengan pihak media.  Apa yang penting jalinan baik antara pihak resort atau hotel memungkinkan pelbagai manfaat untuk semua pihak.

Wednesday, March 13, 2013

Serangan Di Lahat Datu Jejas Industri Pelancongan

Kejadian pencerobohan di Lahad Datu Sabah baru-baru ini ternyata memberi tamparan hebat buat industri pelancongan Negara. Tatkala negara bersiap  sedia dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014, serangan pengganas yang berlaku di lokasi tersebut sedikit sebanyak menjejaskan imej pelancongan negara.
Walaupun kejadian tersebut berlaku nun jauh di kawasan terpencil di negeri Sabah, tapi pelancong dari luar negara  akan tetap menganggap bahawa seluruh negara Malaysia tidak selamat untuk dikunjungi. Begitulah sensitifnya industri pelancongan yang menjadi antara penyumbang utama dalam ekonomi negara.
Sememangnya antara faktor utama yang sering diambil kira ketika memilih destinasi pelancongan adalah faktor keselamatan. Jika tahap keselamatan di sesuatu destinasi percutian itu diragui, maka percutian yang umumnya bermatlamatkan mencari ketenangan dan kedamaian pasti bertukar menjadi ketakutan.
Bila sebut soal keselamatan, kita tidak boleh berkompromi lagi... Mana mungkin kita memilih destinasi pelancongan yang kita tahu bakal mengancam nyawa kita malah harta benda kita. Lebih-lebih lagi di satu lokasi yang berisiko tinggi seperti kawasan peperangan.
Dalam zaman teknologi maklumat sekarang, semua perkara dihujung jari. Tekan sahaja di internet, semua cerita kita boleh dapat.  ‘Google’ sahaja apa yang kita nak cari semuanya ada. Malah untuk melancong ke satu-satu destinasi di dunia pun kita boleh melihat situasi di tempat yang ingin kita tujui itu dengan mudah. Mahu tidak mahu kita terpaksa menerima hakikat bahawa situasi yang telah berlaku di dalam negara kita masa kini.
Baru-baru ini saya sempat juga meninjau beberapa laman web untuk melihat situasi semasa destinasi pelancongan dalam dan luar negara. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati ada satu laman web antarabangsa yang berpangakalan di United Kingdom telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada pengunjung laman webnya bahawa negara Malaysia tidak selamat untuk pelancong dan mengambil langkah  berjaga-jaga terhadap ancaman serangan pengganas di perairan Sabah. Kenyataan di laman web ini tentunya akan menyebabkan pelancong takut untuk berkunjung ke negara ini.  Harus diingat bahawa mengikut kajian yang dilakukan oleh pihak Tourism Malaysia sebanyak 67.4% pelancong memperolehi maklumat mengenai Malaysia menerusi internet.
Lanjutan daripada kejadian serangan pengganas di Lahad Datu baru-baru ini juga telah menyebabkan beberapa kumpulan pelancong asing telah membatalkan  tempahan pakej pelancogan mereka ke Sabah.
Situasi ini bukan mudah untuk dipulihkan. Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi menarik kembali keyakinan  khususnya pelancong asing untuk datang melancong ke negara ini. Dalam menghadapi keadaan yang  kritikal dan menggugat industri pelancongan ini kita harus lebih bersedia dengan pelbagai idea kreatif dan plan tindakan kompetitif yang mampu memulihkan imej negara di mata pelancong.
Saya ambil contoh kecil tentang apa yang berlaku dalam konteks pelancongan negara kita. Tapi biarlah kita berfikir dalam konteks yang lebih besar. Usah tunggu atau menunding jari mencari salah siapa. Usah biarkan tanggungjawab ini diserahkan kepada pihak tertentu sahaja. Saya sering nyatakan bahawa tugas untuk memperkasakan dan memartabatkan industri pelancongan ini adalah tugas kita bersama. Pihak polis umpamanya telah melakukan tugas mereka sebaik mungkin dalam menjaga keamanan negara. Kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab juga harus memainkan peranan kita sebaik mungkin dalam memastikan destinasi pelancongan kita selamat sepanjang masa. Saya percaya dengan komitmen semua pihak, imej destinasi pelancongan kita akan sentiasa dipandang secara positif sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong untuk melawat negara ini dengan tenang. Usahlah kita mengharapkan orang lain untuk menyelamatkan industri pelancongan kita jika kita sendiri tidak menghiraukan nasib industri pelancongan kita. Mungkin jauh di sudut hati kita ingin turut serta membantu menyelamatkan industri pelancongan kita.Tapi bagaimana? Senang sahaja, cukuplah dengan menjaga keharmonian serta mewujudkan suasana aman dan damai di tanah air kita. Sambil itu marilah kita sama-sama berdoa agar wira-wira negara kita yang berjuang demi kedaulatan negara sentiasa selamat dan terpelihara. Buat yang telah gugur dalam mempertahankan negara, jasa mu akan tetap dikenang sepanjang zaman....


Wednesday, March 6, 2013

Dengarlah Suara Alam…

Kesempatan mengunjungi negara Australia baru-baru ini memberikan saya impak yang cukup besar di dalam hidup saya . Bukan setakat melihat pemandangan yang berbeza, namun saya dapat mengalami sendiri pengalaman bertarung dengan ribut tropical cyclone dan tornado yang mengganas. Angin kencang berkelajuan 116 km sejam menyebabkan banyak harta benda yang musnah. Begitu juga nyawa yang melayang.  Suasana yang amat menakutkan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan banyak program sepanjang saya di Brisbane Australia terpaksa ditangguhkan.
Namun pada saya ada hikmah disebalik pengalaman ini.  Hukum alam sememangnya tidak boleh kita ubah.  Jika kita terlaku taksub mengejar pembangunan tanpa menghiraukan alam semula jadi, maka bersedialah kita menerima akibatnya. Sumber alam yang diteroka tanpa kawalan, membuatkan iklim dunia menjadi semakin tidak menentu.  Ribut taufan, kemarau panjang dan banjir besar yang berlaku di seluruh dunia kebelakangan ini memberi petanda bahawa dunia semakin terancam.
Suara alam ini harus kita dengar dan hayati bersama. Suara alam ini meminta kita agar lebih prihatin kepada nasib generasi kita yang akan datang. Mana mungkin kita dapat terus hidup di dunia ini jika dunia sudah tidak selamat lagi untuk dihuni.
Syukurlah kita di bumi Malaysia tidak diancam dengan pelbagai bencana alam yang menakutkan seperti ribut tornado, gempa bumi, ledakan gunung berapi mahupun kemarau panjang.  Alam semula jadi yang masih menghijau menghiasi bumi kita harus kita pelihara dan jaga sebaik mungkin. Namun  dalam masa yang sama, usah kita alpa atau leka barang seketika untuk mendengar suara alam ini. Ada ketikanya kita harus pandang ke belakang, dan lihat apa yang kita sudah lakukan kepada alam.
Tatkala kita melihat hutan-hutan kita diteroka dengan rakus dek mengejar erti pembangunan, dimanakah suara kita dalam membela nasib alam kita.  Jika kita tidak mampu bersuara membela nasib alam, setidak-tidaknya kita nyatakan sokongan kita kepada alam dengan cara yang kita mampu. Setidak-tidaknya kita jaga kebersihan persekitaran kita atau jadikan budaya kitar semula sebagai amalan kita. Banyak lagi cara lain yang boleh kita lakukan untuk menterjemahkan rasa cinta dan prihatin kita kepada alam.
Saya percaya jika kita semua dapat memupuk rasa cinta kepada alam dan mendengar suara alam dengan penuh penghayatan, maka tidak mustahil kita dapat mewujudkan satu dunia yang lebih aman, damai dan selamat untuk dihuni bersama.
Percutian dengan Motorhome di Brisbane





saya melaporkan dari Brisbane Australia

Perkampungan di pendalaman Australia dilanda banjir selepas ribut .


Tuesday, February 5, 2013

Tun Mahathir & Langkawi Berpisah Tiada…

Peluang bersarapan pagi di Langkawi bersama mantan Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi MK Land Holding Berhad, Tan Sri Datuk Mustapha Kamal baru- baru ini ternyata memberikan satu inspirasi baru dalam persepsi saya  terhadap dunia pelancongan.
Meskipun pertemuan pagi itu tidak dirancang, namun atas dasar persahabatan, Tun Mahathir terpanggil untuk menerima jemputan Tan Sri  Datuk Mustapha Kamal untuk bersarapan pagi di atas bumbung hotel Kuala Melaka Inn Langkawi bagi meninjau projek terbaru MK Land Holding Berhad sambil berbincang secara santai tentang isu-isu pelancongan di Langkawi.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Tun Mahathir juga adalah 'arkitek' kepada industri pelancongan negara.  Projek  unggul seperti Menara Berkembar Petronas KLCC,  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya umpamanya ternyata menjadi ikon pelancongan negara sekali gus berjaya menarik kunjungan ramai pelancong.
Pulau Langkawi yang mempunyai nilai sentimental buat Tun Mahathir juga tidak terlepas daripada terkena tempias sentuhan ‘tangan ajaib'  beliau.  Projek berinspirasikan pelancongan seperti Kereta Kabel di Gunung Mat Chincang,  Telaga Harbour,  Taman CHOGM, Galeri Perdana dan banyak lagi menjadi bukti betapa besarnya sumbangan Tun Mahathir dalam mengangkat martabat Pulau Langkawi sebagai Bandaraya Pelancongan. Tidak cukup dengan infrastruktur pelancongan serba sempurna, pelbagai acara besar seperti LIMA dan Le Tour De Langkawi  turut meracakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan di Langkawi.
Berbalik kepada sesi minum pagi bersama Tun Mahathir tersebut, beliau ada menyatakan bahawa Langkawi adalah destinasi pelancongan yang hebat. Katanya Langkawi sudah punya produk pelancongan yang terbaik. Apa yang penting katanya  ialah promosi yang lebih sikit agar pelancong dapat mengetahui apa yang ada di Langkawi.
Begitulah cinta dan prihatannya Tun Mahathir terhadap pembangunan Pulau Langkawi. Sambil berseloroh, saya dan beberapa rakan media yang lain mencadangkan agar Tun Mahathir menjadi   'Sultan Langkawi'... Sambil tertawa  mendengar gurauan itu beliau  ternyata berpuas hati terhadap pembangunan yang ada di Langkawi.
Cuma beliau agak terkilan apa bila ada projek-projek yang berpotensi  tidak dapat dilaksanakan dek kerana karenah birokrasi pihak tertentu sekali gus menjadi hambatan kepada pembangunan pelancongan di Langkawi. 
Namun Tun Mahathir bukanlah seorang yang mudah berputus asa.  Idea kreatifnya tidak pernah putus seperti air yang mengalir. Kini khabarnya beliau menternak kerbau di  Langkawi bagi menghasilkan keju dari susu kerbau. 
Meskipun sesi sarapan pagi itu berlarutan hampir 2 jam, tapi masa terasa begitu pantas berlalu. Tun Mahathir yang diiringi oleh isteri tercinta Tun Siti Hasmah, ternyata begitu romantis dan sempat bergurau senda sebelum pulang.
Insan bernama Mahathir Mohamad mungkin sukar dicari ganti. Malah Langkawi mungkin lesu tanpa sentuhan emas beliau.  Umpama benih yang baik, tercampak ke langit jadi bintang, tercampak di laut jadi pulau… Maka Pulau Langkawi dan Tun Mahathir berpisah tiada.




Thursday, January 10, 2013

Nafas Baru Industri Pelancongan…

Tahun 2013 kini menjelma…  Tahun lalu memberi seribu kenangan, tahun mendatang menjanjikan seribu harapan. Dalam konteks pelancongan kita mengharapkan industri ini  bakal berkembang dengan lebih pesat lagi sekali gus memberikan manfaat kepada semua.
Bila bercakap soal tahun baru ini, memanglah pelbagai azam dan harapan diletakkan. Begitu juga dengan sasaran jumlah kehadiran pelancong.  Sasarannya sudah tentu lebih daripada tahun yang sebelumnya. Lebih-lebih lagi khabarnya Malaysia bakal mengadakan satu lagi Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2013 dan 2014 ini.
Baru-baru ini saya sempat melihat sesi perbahasan Parlimen  yang turut dihadiri oleh YB Menteri Pelancongan di Dewan Rakyat   mengenai isu-isu semasa  pelancongan. Dalam masa yang sama ada juga Ahli Parlimen yang menyentuh tentang  penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2013. Antara lain ada Ahli Parlimen yang mencadangkan agar Tahun Melawat Malaysia tidak diadakan terlalu tergesa-gesa pada tahun 2013 kerana ruang masa untuk mempromosikan program tersebut agak singkat. Mereka  mencadangkan agar Tahun Melawat Malaysia dapat diadakan pada tahun 2014 agar lebih banyak masa dan ruang untuk usaha-usaha promosi dan pemasaran.
Sebagai mana yang kita semua sedia maklum, kali terakhir kita mengadakan Tahun Melawat Malaysia ialah pada tahun 2007. Ketika itu pelbagai acara dan promosi diadakan dan hasilnya jumlah kehadiran pelancong juga meningkat.
Namun pada saya usaha penganjuran acara besar seperti Tahun Melawat Malaysia ini harus dikaji semula dan dinilai keberkesanannya. Sejauh mana penganjuran acara besar seumpama itu dapat memberikan implikasi positif kepada sektor pelancongan negara untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.  Saya pasti ‘orang kuat’ di Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia ada jawapannya. 
Sama ada Tahun Melawat Malaysia diadakan ataupun tidak, industri pelancongan kita harus diberikan suntikan semangat dan nafas baru agar ianya sentiasa subur dan berkembang maju. Usah kita asyik sibuk buat acara itu dan ini tetapi hasilnya tiada. Kita harus berupaya melakukan perubahan yang lebih berinovasi agar setiap usaha kita itu memberikan kesan positif kepada sektor pelancongan kita.  Jika kita mahu menganjurkan acara pelancongan umpamanya, biarlah acara itu menjadi  ‘signature event’  yang mampu memikat pelancong sekali gus menaikkan imej negara dalam peta pelancongan dunia.