Monday, July 21, 2014

Tragedi MH17 : Industri Pelancongan Negara Tidak Terjejas

Kemasukan pelancong dari negara-negara Eropah tidak terjejas berikutan tragedi pesawat Malaysia Airline MH17 terhempas di timur Ukraine. Menurut Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia hari ini, pelancong dari Barat masih tertarik untuk ke Malaysia menggunakan penerbangan Malaysia Airline untuk cuti musim panas mereka.
Menurutnya lagi sehingga kini pihak Tourism Malaysia tidak menerima maklumat mengenai sebarang pembatalan segera pakej pelancongan, namun pihaknya sentiasa memantau rapi pasaran daripada Negara tersebut dan mengikuti perkembangan terkeni dari semasa ke semasa.

"Pelancong dari Eropah barat, barat Rusia, dan negara-negara Scandinavia dan Benelux, menggunakan sektor penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang juga merupakan perkongsian kod dengan KLM untuk  melakukan perjalanan ke Asia Tenggara, Australia dan New Zealand  ," kata Menteri Pelancongan & Kebudayaan.
Menurutnya lagi, ketika ini merupakan "waktu puncak" untuk pelancong-pelancong dari negar-negara barat menggunakan  syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines bukan sahaja untuk bercuti ke Kuala Lumpur malah untuk tujuan transit   ke destinas-destinasi lain di Asia Tenggara.
Beliau berkata Malaysia merekodkan jumlah kehadiran pelancong sebanyak  31,945 untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan peningkatan sebanyak 13.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut sumber Tourism Malaysia, 427.995 pelancong ke Malaysia tahun lepas  adalah daripada Eropah barat, dan daripada jumlah itu, 83955 adalah dari Belanda. Selain Eropah barat, Malaysia juga menerima 107.541 pelancong dari Eropah Timur, 548729 dari utara Eropah dan 109447 dari selatan Eropah tahun lepas.
Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal  Penerbangan MH17. Boeing 777 Pesawat yang membawa 298 orang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, telah  terhempas di timur Ukraine yang dipercayai terkena tembakan peluru berpandu. 

Friday, July 18, 2014

MH17 Kisah Apa Yang Tersirat?

Belum pun reda kisah kehilangan pesawat MH370, Negara dikejutkan lagi dengan tragedi MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine.
Dalam situasi sekarang cuba elakkan membuat spekulasi.. Kenyataan bersifat sentiment akan merumitkan lagi keadaan. Seluruh Malaysia sedang bersedih sekarang. Kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab harus lebih prihatin dan bersimpati dengan nasib mangsa MH17. Soal siapa yang salah atau siapa yang betul tidak seharusnya disensasikan. Marilah kita sama sama berdoa agar segala permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik...
Walau bagaimana pun hidup harus diteruskan. Usah jadikan insiden tersebut menjadi hambatan kepada kita semua untuk terus mengharungi kehidupan yang kian mencabar. Dalam kontek pelancongan khususnya, insiden ini sudah cukup memberikan tamparan hebat kepada industri pelancongan. Ketika negara bersiap sedia menyambut kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, insiden kehilangan pesawat MH370 dan MH17 ini harus ditangani secara bijaksana.  Situasi ini tentunya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi negatif. Kebimbangan ini turut menarik perhatian Perdana Menteri dengan mengeluarkan kenyataan bahawasanya industri pelancongan negara tidak terjejas akibat insiden tersebut. Meskipun ada juga sesetengah pihak yang seperti tidak setuju dengan kenyataan tersebut, tetapi kita harus yakin bahawa setiap apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya.
Sesungguhnya  ramai yang bersimpati dan saya juga turut bersimpati dengan 295 orang mangsa yang terdiri daripada penumpang dan anak kapal. Dalam masa yang sama kita juga turut bersimpati dengan nasib industri pelancongan negara yang mungkin akan kehilangan sasaran jumlah ketibaan pelancong yang disasarkan sebanyak 28 juta pada tahun 2014.
Tatkala pihak kerajaan dan seluruh dunia sibuk mencari jalan penyelesaian terhadap tragedi tersebut kita sebagai penggiat industri pelancongan harus juga lebih proaktif 'mencari' formula yang terbaik untuk memperkasakan lagi industri pelancongan kita.
Ada juga yang secara bersahaja menyatakan kepada saya bahawa insiden ini telah mempopularkan negara kita di seluruh dunia. Masyarakat dunia mula kenal  Malaysia khususnya Malaysia Airlines. Memang benar negara kita kian dikenali ramai, tetapi sejauh manakah kita gunakan kesempatan ini untuk mempopularkan negara kita juga sebagai destinasi pelancongan utama pilihan pelancong dunia.
Saya berharap pihak yang berkaitan dengan industri pelancongan serta penggiat pelancongan yang bijak pandai dapat mewujudkan satu pelan tindakan pengurusan krisis yang lebih komprehensif agar dapat memastikan industri pelancongan negara akan terus subur meskipun diancam dengan pelbagai krisis.

Wednesday, July 2, 2014

Sudah Ke Belum?

Perjalanan lebih  5 jam dengan laluan yang berliku membawa saya ke satu daerah yang cukup mendamaikan. Rasa letih terlerai tatkala melihat alam indah ciptaan Tuhan di Hutan Hujan Belum-Temenggor. Bunyi unggas rimba yang berirama harmoni menyambut mesra kehadiran saya di syurga rimba dara ini.

Kehadiran Belum Rainforest Resort di Pulau Banding ternyata mengubah landskap kawasan Hutan Hujan Tropika Royal Belum. Resort eksklusif yang  dibangunkan oleh Kumpulan Emkay ini bagaikan pelengkap kepada eko sistem kawasan ini. Pelaburan lebih RM100 juta oleh Kumpulan Emkay untuk membangunkan Belum Rainforest Resort ini membuktikan kesungguhan dan semangat yang tinggi kerana pelaburannya untuk memulangkan hasilnya kepada komuniti, negara dan yang lebih penting untuk generasi akan datang.

 Hutan Hujan Belum-Temenggor yang berusia 130 juta tahun itu, lebih tua daripada Hutan Amazon, terkenal dengan keunikan spesies biodiversitinya yang hampir pupus selain banyak unsur perubatan dan nilai terapeutik berharga di dalam hutan itu.

Sebagaimana tradisi yang dijalankan oleh Kumpulan Emkay, setiap projek yang dijalankan di sesebuah kawasan perlu mengambil kira penglibatan masyarakat setempat. Begitulah prinsip yang dipegang oleh Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Dato' Seri Dr Mustapha Kamal dalam setiap projek yang dijalankan sejak dahulu lagi. Justeru, kehadiran projek Belum Rainforest Resort di Pulau Banding turut membawa limpahan rahmat buat seluruh alam di Hulu Perak khususnya di Royal Belum.
 
 “Adalah menjadi tradisi dimana sahaja, Kumpulan Emkay  membuat kerja, kita  tidak mahu orang-orang sekelilingnya hanya menjadi penonton. Kita mahu  orang sekeliling   menyertai  kami dengan peluang-peluang   yang ada,” kata Tan Sri Mustapha Kamal.

Hutan Belum yang rata-ratanya dihuni oleh masyarakat Orang Asli turut menerima percikan kenikmatan daripada kehadiran Kumpulan Emkay di kawasan ini. Siapa sangka di dalam kawasan terpencil perkampungan Orang Asli, wujud satu pusat pendidikan awal kanak-kanak dengan sistem pembelajaran yang cukup komprehensif. Perpustakaan Permainan ( Toy Library)  satu projek tanggungjawab sosial (CSR) yang dibangunkan oleh Yayasan Emkay merupakan satu inisiatif murni kumpulan tersebut dalam memberikan pendidikan awal kepada anak- anak Orang Asli. Pendekatan  ini dilihat berkesan dalam membantu dalam aspek pendidikan ini adalah melalui pendidikan awal kanak-kanak golongan sasaran ini.
 
Pendekatan terbaik memperkenalkan aspek pendidikan awal kanak-kanak adalah melalui pengenalan elemen ’bermain’ atau ’fun’, bagi menarik minat kanak-kanak untuk hadir ke ”sekolah”.  Saya sendiri sempat berkunjung ke sebuah iPlay Toy Library Toy Library yang dibangunkan di Kampung Semelor  sekali gus meninjau keberkesanan program yang dijalankan. Apa yang pasti inisiatif ini dilihat mampu menarik minat masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan ilmu pengetahuan menerusi kaedah pendidikan yang bersistematik.


Cetus Budaya Cintakan Alam

Bukan manusia sahaja yang mendapat 'rahmat' daripada kehadiran Kumpulan Emkay di kawasan ini, malah seluruh alam semulajadi termasuk penghuni rimba Royal Belum juga turut menerima nikmatnya.
 
Tahukah anda bahawa kawasan di Hutan Hujan Belum-Temenggor terdapat spesies burung engggang yang lebih banyak daripada negeri   daripada Sarawak. Maka khazanah alam semulajadi yang ada di sini patut kita hargai dan pelihara sebaik mungkin. Bagi memastikan kelestarian alam semula jadi sekali gus memastikan alam semulajadi di kawasan tersebut terus terpelihara Kumpulan Emkay telah menubuhkan program Green Ranger Malaysia di Base Camp Banding.    

Menerusi program yang dijalankan di Base Camp Banding peserta akan didedahkan dengan  kesan ekologi dan ekosistem alam semula jadi. Menerusi pendekatan ini peserta diharapkan dapat lebih mencintai dan menghargai alam sekitar.

Kunjungan Perdana Menteri

Keunikan alam semula jadi Royal Belum telah menarik perhatian  Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak  untuk meluangkan masa menghayati keindahan alam di sini. Beliau yang berpuas hati terhadap pembangunan di kawasan tersebut turut menyarankan agar  agensi berkaitan mengkaji kriteria dan garis panduan bagi membolehkan Hutan Hujan Tropika Belum-Temengor mendapat pengiktirafan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
 
Beliau berkata, kerajaan akan berusaha membangunkan hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun itu kerana menepati spesifikasi nilai warisan dan ekonomi sekali gus berupaya menarik lebih banyak kunjungan pelancong.

“Sekiranya memenuhi kriteria, kerajaan Malaysia akan berusaha menjadikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Bila ada klasifikasi tersebut, akan ada nilai ekonomi dan ramai pelancong akan datang ke sini tetapi mesti dibawa secara yang terancang dan dikawal rapi, kita hendak pelancongan yang berkualiti," katanya.

Dalam kunjungan beliau ke Royal Belum baru-baru ini beliau telah  merasmikan pembangunan Belum Rainforest Resort Fasa Kedua di Pulau Banding.
 
Turut  hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal.

Pembangunan fasa kedua Belum Rainforest Resort merangkumi pembinaan 36 Deluxe Suit, enam buah calet tradisional bercirikan rumah kampung, sebuah vila eksklusif, kolam renang dan sebuah ‘base camp’, sebagai tambahan kepada 70 bilik sedia ada.
 
Selain itu, Najib turut menzahirkan pengalaman unik berada di Belum Rainforest Resort yang disifatkan berbeza dengan lawatannya sebelum ini sekali gus mengingatkan beliau akan ayahandanya, Tun Abdul Razak iaitu orang yang bertanggungjawab membuka Empangan Temengor di sini pada 1974.

Oleh : Azlie Halim
Terima kasih : Kumpulan EMKAY, Yayasan Pulau Banding, Belum Rainforest Resort
Foto : Munzir, Teng Wei & Fitri Shawal



Acara Pelancongan Pikat Pelancong



Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tangan kiri mendukung adat, tangan kanan menjunjung  agama. Begitulah perumpamaan yang dapat saya gambarkan tengang warisan dan adat yang kita dipertahankan sejak sekian lama. Meskipun zaman kian berubah namun adat warisan tetap disanjung.

Baru-baru ini saya sempat berkunjung ke Seri Menanti di Negeri Sembilan untuk menghadiri Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap dan  Pesta Persukuan Adat Perpatih.

Negeri beradat yang berpaksikan syariat ini sememangnya terkenal dengan Adat Perpatihnya.  Adat dan warisan yang dipertahankan zaman berzaman ini kini menjadi aset pelancongan yang berpotensi untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan sekali gus menarik kunjungan pelancong dalam dan luar negara.

Tahniah saya ucapkan kepada pihak Tourism Malaysia Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan kerana mengambil inisiatif menganjurkan Pesta Persukuan Adat Perpatih dan Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap.

Daya kreativiti dalam mempromosikan acara pelancongan seumpama ini sepatutnya dipuji dan patut dikembangkan lagi di negeri-negeri lain yang juga punya pelbagai produk pelancongan yang berpotensi.

Siapa sangka Adat Perpatih yang menjadi amalan masyarakat di Negeri Sembilan kini menjadi satu produk pelancongan yang mampu menarik kunjungan pelancong dari luar negara yang ingin melihat sendiri keunikan yang ada di negeri ini.
Saya ambil contoh kecil tetapi marilah kita fikirkan dalam konteks yang lebih besar. Apa yang penting adalah usaha dan kemahuan. Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Usah kita cari alasan lagi, kerana lagi banyak alasan yang kita bagi, lagi banyak halangan yang bakal kita tempuhi dalam mengharungi cabaran menjayakan aspirasi pelancongan negara.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pengarah-pengarah pelancongan negeri yang begitu gigih menganjurkan acara-acara pelancongan dalam usaha menarik minat pelancong. Baru-baru ini saya juga sempat menghadiri beberapa acara pelancongan seperti Kuantan 160 Century Ride di Pahang yang saya kira antara acara yang berjaya diadakan dengan baik dan menepati hasrat menarik penyertaan antarabangsa.  Begitu juga acara Citrawarna Kuala Lumpur yang buat julung kali diadakan di perkarangan KLCC yang turut berjaya menarik tumpuan pelancong antarabangsa. Saya percaya komitmen dan kesungguhan pejabat-pejabat pelancongan negeri terbabit adalah tonggak kepada kejayaan industri  pelancongan negara. Tahniah saya ucapkan. Teruskan usaha anda itu demi kelangsungan industri pelancongan negara yang kita sayangi ini.