Friday, October 12, 2012

Biar Bakti Jadi Ukuran…

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Y.B. Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen di atas penganugerahan Ijazah Doctor Honoris Causa (Pelancongan) oleh Josai International. University , Japan. Saya tidak tahu saya orang keberapa yang mengucapkan ucapan tahniah ini kepada Y.B. Menteri Pelancongan, tapi apa yang pasti acapkali setiap kali acara rasmi yang dihadiri oleh Y.B. Menteri kebelakangan ini, ucapan yang sama akan menjadi pemula acara majlis oleh juruacara majlis. Soalnya perlukah ungkapan yang sama diulang-ulang seolah-olah sudah tidak ada modal atau cerita lain untuk diperkatakan? Saya tidak pandai ‘membeli jiwa’  apatah lagi menggunakan ‘bahasa ampu’, tapi jika ingin memuji pun biarlah ada hadnya dan memadailah dengan sekadar ucapan tahniah secara peribadi.  
Walau bagaimapun Y.B. Menteri sememangnya layak menerima penganugerahan tersebut di atas pencapaian cemerlangnya serta sumbangan beliau dalam mengangkat martabat industri pelancongan negara. Saya percaya komitmen  Y.B. Menteri Pelancongan yang tidak pernah mengenal erti penat, telah meletakkan industri pelancongan negara ke satu tahap yang cukup membanggakan. Ini terbukti dengan kehadiran lebih 24.7 juta pelancong ke negara ini dengan nilai pendapatan kepada negara sebanyak RM56.6 billion.
Pujian juga harus diberi kepada Menteri Pelancongan kerana walaupun beliau dipuji ‘melambung-lambung’, namun beliau tetap merendah diri dan menyatakan anugerah yang diterima itu adalah bukan untuk dirinya tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama merealisasikan aspirasi pelancongan negara.
Tidak kira siapa kita, sama ada Menteri ataupun rakyat biasa. Pegawai tertinggi di Kementerian Pelancongan atau penggiat industri pelancongan bawahan,  kita sebenarnya mempunyai misi yang lebih utama dalam memastikan industri pelancongan negara terus subur dan makmur.
Biar bakti yang disumbangkan jadi ukuran, bukan pujian yang jadi keutamaan. Apa yang ingin saya nyatakan di sini kita harus bekerja dengan seikhlas hati dalam menyemarakkan industri pelancongan negara. Buatlah sesuatu usaha itu dengan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan pujian atau penghargaan kerana apa yang lebih penting di sini adalah pencapaian. Bak kata Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Jika Perdana Menteri sendiri jelas memperkatakan “Pencapaian Diutamakan”, maka kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab perlu menterjemahkan di dalam diri kita sendiri bagaimana kita ingin meletakkan merealisasikan hasrat tersebut ke satu tahap yang paling cemerlang. Usahlah kita bermimpi di siang hari dan membiarkan diri kita di takuk yang lama.
Perjalanan kita masih jauh. Jika tahun ini kita telah berjaya memikat lebih 24.7 juta pelancong mengunjungi negara kita, pada tahun 2020 pula, kita perlu memastikan sasaran sebanyak 36 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM168 billion menerusi Plan Transformasi Pelancongan Negara dapat dicapai. Ayuh kita bangun dan berlari lebih laju lagi dalam memperkasakan industri pelancongan negara. Moga-moga hasrat murni kita ini akan dapat dilaksanakan seikhlas yang mungkin.