Wednesday, December 12, 2012

Mesrakah Kita Dalam Konteks Pelancongan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Baru-baru ini Majalah Fobes mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi yang ke 10 paling mesra di dunia. Sebelum itu pada tahun 2010 HSBC dalam satu kajian yang melibatkan seamai 4000 orang responden dari 100 buah negara telah mendapati bahawa Malaysia merupakan negara ke 9  paling mesra di dunia.
Sama ada kita percaya atau tidak,  kita harus berbangga dengan pengiktirafan  antarabangsa ini.  Paling tidak kita harus bersyukur kerana negara kita masih lagi mampu menjadi destinasi mesra pelancong meskipun ada juga pihak yang mempertikaikannya.
Pada saya, dalam konteks pelancongan kita harus melihat pekara ini dalam dua komponen yang berbeza. Pertamanya adakah  negara kita mesra dalam konteks sosio budayanya dan keduanya dalam konteks prasarananya.  Dari sudut sosio budaya, masyarakat Malaysia sememangnya terkenal dengan budaya sopan santun dan berbudi bahasa. Sejak zaman berzaman kita yang mengamalkan budaya konteks tinggi amat mementingkan tetamu dengan layanan yang boleh dikatakan antara yang terbaik di dunia.  Begitu juga dengan soal bahasa,  kita tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan pelancong asing kerana kebanyakkan daripada orang kita boleh berbahasa Inggeris walaupun sedikit.
Namun sama ada kita sedar mahupun tidak realitinya sikap mesra dalam kalangan masyarakat kita kini kian luntur. Kemesraan, sopan santun dan budi bahasa yang menjadi tunjang budaya masyarakat kita kian terhakis dek budaya asing.  Lebih mengecewakan lagi apabila ada segelintir daripada mereka yang terlibat di barisan hadapan perkhidmatan pelancongan seperti petugas hotel, peniaga mahupun pemandu teksi kita langsung tidak ‘mesra pelancong’.  Budaya mesra pelancong ini jika tidak dihayati bersama tentu akan pudar dan tidak mustahil lama-kelamaan budaya mesra ini akan lenyap dalam kalangan masyarakat kita. Saya percaya jika kita dapat mengamalkan budaya mesra ini sebaiknya, kita berupaya menjadi negara yang paling mesra di dunia.
Dari sudut prasarana yang mesra pelancong, negara kita tidak kurang hebatnya. Dari lapangan terbang antarabangsa yang terbaik, sehinggalah produk pelancongan yang berdaya maju dan pastinya mesra pelancong. Bukan itu sahaja, faktor kestabilan politik, keselamatan dan keamanan negara juga menjadi faktor utama negara kita 'mesra' dalam konteks kepuasan prasarana pelancong.
Namun di sebalik kehebatan prasarana mesra pelancong itu, ada juga segelintir masyarakat kita yang tidak menghargainya. Kemudahan awam untuk pelancong dirosakkan, kestabilan politik  dan keamanan negara turut dimusnahkan dek kerana kepentingan diri serta ideologi politik yang sempit.
Justeru pada kesempatan ini, saya merayu kepada semua agar sama-samalah kita pelihara aset pelancongan kita yang cukup berharga ini.  Kemesraan dan keharmonian negara adalah tanggungjawab kita bersama.  Negara kita adalah tanggungjawab kita… Jika kita tidak menjaganya, siapa lagi yang akan menjaganya.


No comments:

Post a Comment