Sunday, January 15, 2012

Agensi Halal , Agensi Haram?

Situasi Kritikal Agensi Pelancongan Tempatan






Laporan:
Baru-baru ini saya dikejutkan dengan beberapa kaedah agensi pelancongan yang tidak berlesen atau lebih senang dilabelkan sebagai agensi pelancongan haram melakukan operasi perniagaan mereka. Sama ada secara terang-terangan dengan membuka kaunter di lot-lot kedai mahupun disebalik alam maya iaitu di internet. Persoalannya jika kita sebagai pengguna tertipu dengan taktik licik agensi haram ini apakah nasib kita sebagai pengguna akan terjamin. Saya berharap pihak tuan dapat mengupas isu ini dan mengenal pasti punca berlakunya situasi ini sehingga menjejaskan sektor pelancongan negara. Saya berharap akan ada satu mekanisma baru untuk manfaat bersama.


Mahyee Nazree
Kuala Kubu Baru





Hasil Siasatan :


Di sebalik kerancakkan industri pelancongan negara kita tidak nafikan ada ketikanya berlaku kepincangan dalam pengurusan sektor pelancongan yang perlu diberi perhatian sewajarnya. Isu agensi pelancongan haram ini bukan isu baru malah sudah sekian lama menghantui industri pelancongan negara. Ada yang meraih keuntungan malah ada yang menanggung kerugian. Cuba kita renung sejenak siapa yang untung dan siapa yang rugi? Siapa yang ambil kesempatan dan siapa pula yang ambil apa yang sempat? Mungkin kenyataan saya ini nampak lucu tapi sama ada kita sedar ataupun tidak industri pelancongan kita masa kini sebenarnya masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki. Berbalik kepada persoalan yang saya nyatakan tadi, siapa yang untung dan siapa pula yang rugi, anda mungkin beranggapan agensi pelanconganlah yang paling 'beruntung' di sebalik kejayaan industri pelancongan hari ini. Benarkah mereka (pengusaha agensi pelancongan) yang paling banyak 'buat duit' ketika ini. Jawapannya mungkin 'Tidak'! Jika tidak kenapa pula? Tahukah anda mengusahakan agensi pelancongan bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Selain risiko pembatalan tempahan pakej pada saat akhir oleh pelanggan, agensi pelancongan kini terpaksa bersaing untuk mendapatkan pelanggan bukan sahaja dalam kalangan sesama agensi pelancongan malah kini berhadapan pula dengan agensi pelancongan haram sama ada yang beroperasi secara terang-terangan dengan membuka kaunter ataupun yang beroperasi di internet. Malah penjual-penjual pakej pelancongan menerusi internet ini yang kebanyakannya tiada lesen yang sah daripada pihak Kementerian Pelancongan telah mengaut keuntungan yang jauh lebih besar dengan modal yang kecil.
Dalam tinjauan saya ke sekitar ChowKit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Pantai Cenang Langkawi di dapat masih ada pihak yang menjalankan kegiatan menjual pakej pelancongan dan tiket penerbangan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.
Bagi merungkai kemelut yang melanda industri pelancongan semasa ini, saya telah berkesempatan mendapatkan komen daripada Dato’ Syed Mohd Razif Al Yahya, Pengarah Urusan Kumpulan Sri Sutra Travel  dan juga mantan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Bumiputera (BUMITRA).
Menurut Dato’ Syed Mohd Razif yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam agensi pelancongan, nasib agensi pelancongan tempatan semakin terjejas dengan pelbagai faktor yang bakal menghancurkan industri tersebut.
“Agensi pelancongan tempatan kini bukan sahaja terpaksa bersaing dengan agensi-agensi pelancongan  haram malah berhadapan pula dengan pesaing daripada penggiat industri pelancongan haram tetapi juga  pengusaha produk pelancongan dan pengangkutan,” katanya.
Menurutnya industri pelancongan didokong oleh empat tiang utama iaitu penginapan (hotel, resort, chelet, homestay), pengangkutan , industri sokongan(produk tarikan pelancongan) dan agensi / operator pelancongan. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri. Sektor penginapan menyediakan kemudahan pengiapan yang selesa dan sempurna kepada pelancong. Sektor pengangkutan menyediakan kenderaan yang sempurna dan selamat untuk membawa pelancong ke destinasi pelancongan . Sektor industri sokongan pula memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk produk-produk pelancongan mereka manakala sektor agensi pelancongan pula memasarkan pakej-pakej pelancongan kepada pengguna dengan khidmat yang baik.
Apa yang lebih meresahkan agensi pelancongan adalah pesaing tersebut terdiri daripada pengusaha industri sokongan pelancongan seperti pengusaha hotel atau resort dan pengangkutan pelancongan seperti syarikat penerbangan, keretapi dan bas ekspres.Sama ada kita sedar atau tidak, pengusaha industri sokongan pelancongan ini turut menawarkan perkhidmatan seperti agensi pelancongan iaitu dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan. Lebih dari itu mereka menawarkan pakej tersebut pada harga yang jauh lebih murah daripada apa yang ditawarkan oleh pihak agensi pelancongan. Tidak cukup dengan ‘ancaman’ itu, kini syarikat penerbangan tempatan juga secara terang-terangan melancarkan pakej-pakej pelancongan secara on-line.
Saya percaya bukan satu malah hampir semua syarikat penerbangan tempatan turut menawarkan pakej-pakej pelancongan sama ada untuk destinasi domestik dan antarabangsa. Kalau semua menjual pakej pelancongan, macam mana agensi pelancongan hendak 'cari makan'.Itu pesaing dari penggiat industri yang ‘halal’. Tidak cukup dengan cabaran tersebut, nasib agensi pelancongan turut dihantui dengan pesaing agensi pelancongan haram dan juga pihak-pihak yang 'menjual' pakej-pakej pelancongan menerusi internet.
Menurut Dato’ Syed Mohd Razif lagi, hasil pendapatan agensi pelancongan hanya bergantung kepada komisyen dan yuran perkhidmatan. Namun sejak kebelakangan ini pendapatan agensi pelancongan terjejas disebabkan faktor-faktor tersebut.
Sementara itu menurut tinjauan yang dilakukan kewujudan agensi pelancongan haram banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti kesukaran untuk mendapatkan lesen pelancongan daripada Kementerian Pelancongan. Menurut sumber daripada Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga 31 Oktober 2011 kementerian terbabit telah mengeluarkan lesen kepada lebih 3059 buah syarikat  untuk menjalankan perkhidmatan agensi pelancongan dan pengembaraan. Namun sejak Jun 2010  pihak Kementerian Pelancongan telah membekukan sementara sementara pengeluaran lesen Outbound (luar negara) dan hanya mengeluarkan lesen pelancongan untuk kategori Inbound (dalam negeri) sahaja. Tindakan ini dipercayai sebagai usaha pihak kerajaan dalam menggalakkan rakyat tempatan untuk bercuti di dalam negara dan meningkatkan lagi jumlah pelancong asing ke negara ini.  Selain itu pelbagai syarat tambahan yang dikenakan juga ketat sehingga membuatkan usaha untuk mendapatkan lesen pelancongan agak sukar bagi sesetengah pihak. Syarikat yang ingin memohon lesen juga perlu mempunyai modal berbayar minimum RM200,000 sebagai syarat tambahan untuk mendapatkan lesen tersebut.  (* Sila rujuk jadual syarat-syarat dan garis panduan permohonan lesen agensi pelancongan).
Menurut Akta Industri Pelancongan 1992 Bahagian II, no 5. (2)
Tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan, atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan- (a) perniagaan pengendalian pelancongan; atau perniagaan agensi pengembaraan, melainkan jika ia adalah suatu syarikat dan memegang lesen sah yang diberikan di bawah Bahagian ini.
Mana-mana orang yang melanggar subseksyen  (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, boleh, sebagai tambahan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.
Kita sudah punya undang-undang yang tegas dalam usaha membendung kegiatan agensi pelancongan haram ini namun menurut maklum balas daripada ramai agensi pelancongan, akta tersebut perlu dikaji semula mengikut keadaan semasa.  Dalam dunia tanpa sempadan dengan penggunaan teknologi maklumat, kajian semula terhadap akta berkenaan perlu diperhalusi memandangkan tiada peruntukan khusus untuk mereka yang menjalankan perkhidmatan sebagai agensi pelancongan di internet. Begitu juga dengan syarat-syarat tambahan yang membebankan juga harus dikaji semula. Bak kata Perdana Menteri yang kita sayangi “ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.  Biarlah kita kurangkan karenah birokrasi yang menyesakkan itu dan permudahkan segala urusan agar ianya dapat memberi manfaat kepada industri pelancongan dan negara.
Selain itu pihak Kementerian Pelancongan juga disarankan agar mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang menjalankan perkhidmatan agensi pelancongan tanpa lesen yang sah. Satu garis panduan khusus atau undang-undang  perlu diwujudkan bagi memastikan pengusaha industri sokongan pelancongan seperti penginapan dan pengangkutan tidak sewenang-wenangnya bertindak sebagai agensi pelancongan dengan menjual pakej-pakej pelancongan kepada pelanggan. Dengan adanya garis panduan tersebut diharapkan nasib agensi pelancongan akan terus terbela dan seterusnya mampu menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara.
Saya berharap ada sinar baru dalam industri pelancongan negara dan berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan akan memantau kegiatan yang akan merosakkan industri pelancongan kita ini. Apa gunanya Kementerian Pelancongan mengeluarkan lesen agensi pelancongan jika ada pihak tertentu yang bersenang lenang menjalankan aktiviti agensi pelancongan dengan mengaut keuntungan besar tanpa ada lesen.
Selain pihak Kementerian Pelancongan selaku agensi yang bertanggungjawab dalam industri pelancongan negara, pihak persatuan atau NGO yang terbabit dalam sektor pelancongan seperti MATTA (Persatuan Agensi Pengembaraan & Pelancongan Malaysia) harus lebih prihatin terhadap nasib ahli-ahli mereka. Saya juga berharap kepimpinan  MATTA umpamanya akan lebih prihatin terhadap nasib ahli-ahlinya yang selama ini begitu dahagakan pembelaan. Usahlah sibuk bertanding mengejar jawatan dalam MATTA tetapi kebajikan ahli langsung tidak diberi perhatian. Buat pengusaha industri sokongan pelancongan seperti hotel, resort, syarikat pengangkutan dan sebagainya, tolonglah sama agensi pelancongan tempatan kita yang mengharapkan sedikit rezeki daripada sektor ini. Jika semua pihak dapat saling bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil industri pelancongan kita akan bertambah maju dan nikmatilah rahmatnya sama-sama.
Banyak perkara yang perlu diperhalusi dan dinilai semula agar ianya dapat menyumbang kepada kepesatan industri pelancongan negara. Sebenarnya industri pelancongan kita boleh 'pergi' lebih jauh lagi. Apa yang penting adalah jalinan kerjasama semua pihak tidak kira di sektor korporat atau kerajaan.




GARIS PANDUAN PERMOHONAN LESEN BARU


PERNIAGAAN PENGENDALIAN PELANCONGAN / AGENSI PENGEMBARAAN



1) Syarat-syarat Permohonan :

i. Syarikat Sendirian Berhad yang telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

ii. Borang permohonan mesti ditandatangani oleh Pengarah syarikat dan di cop syarikat.

iii. Mematuhi syarat modal berbayar dan pegangan saham maksimum yang dibenarkan, seperti di Lampiran.

iv. Ahli Lembaga Pengarah/Pemegang Saham syarikat pelancongan yang berlesen dengan Kementerian tidak dibenarkan mempunyai syarikat pelancongan lain selain lesen cawangan.

v. Menjelaskan kompaun mengikut AIP 1992 (jika ada).

vi. Nama syarikat hendaklah melambangkan aktiviti pelancongan cth: travel, tours, holiday, adventure dsb.

vii. Sekiranya permohonan syarikat diluluskan, dalam tempoh 2 bulan surat kelulusan sementara sekurang-kurangnya seorang wakil syarikat diwajibkan hadir kursus Travel & Tour Management Course (TTMC) yang dianjurkan oleh Institut Latihan Pelancongan yang berlesen dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.  

2) Dokumen Yang Diperlukan :

i. Borang 1 (Peraturan 3) sebanyak 2 salinan atau permohonan melalui atas talian di www.spip.gov.my

ii. Salinan Memorandum dan Tataurusan Syarikat

iii. Salinan Borang 9 (Certificate of Incorporation of Private Company)

iv. Salinan Borang 13 (Certificate of Incorporation on Change of Name of Company) (jika ada)

v. Salinan Borang 24 (Returned of Allotment of Shares)

vi. Salinan Borang 32A (Form of Transfer of Securities) (jika ada)

vii. Salinan Borang 49 (Return Giving Particulars in Register of Directors, Managers and Change of Particulars).

viii. Salinan Kad Pengenalan Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Saham

ix. Dua (2) keping Gambar berukuran pasport terkini bagi setiap Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Saham.

x. Kertas kerja yang mengandungi maklumat berikut:

A. Pendahuluan / Latar Belakang Syarikat

B. Kedudukan Kewangan

C. Pengalaman Pengarah / Pemegang Saham / Pengurusan

D. Strategi Dan Perancangan Pemasaran

E. Hubungan Perniagaan (Contact)

F. Penutup

4) Dokumen Sokongan Pengalaman

 Salinan sijil-sijil akedemik Lembaga Pengarah/Pemegang Saham/kakitangan berkaitan bidang pelancongan/perniagaan.

Surat pengesahan pengalaman kerja bagi Lembaga Pengarah / Pemegang Saham atau kakitangan syarikat (jika berkaitan).

Surat hubungan kerjasama perniagaan Agensi Luar Negara (jika berkaitan).

Pakej-pakej (Inbound / Outbound) yang disediakan jika berkaitan.

Surat sokongan dari pihak yang berkaitan (jika ada).

5) Fi proses : RM100 bagi setiap permohonan dalam bentuk bank draf/Kiriman Wang/Wang Pos atas nama Pesuruhjaya Pelancongan.

6) Piagam Pelanggan : 20 hari berkerja (Manual) / 5 hari bekerja (SPIP) dari tarikh permohonan lengkap diterima.

7) Keputusan permohonan akan dimaklumkan melalui surat kepada alamat berdaftar syarikat (company secretary).

8) Sekiranya permohonan ditolak, syarikat boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat keputusan dikeluarkan.

9) Lesen dan pelekat perniagaan akan dikeluarkan setelah premis operasi syarikat diluluskan.

10) Fi lesen : Inbound (RM250) , Outbound (RM500) , Ticketing (RM200)



Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan lesen agensi pelancongan:


Kementerian Pelancongan Malaysia
No. 2, Menara 1, Jalan P5/6
Presint 5
62200 PUTRAJAYA
03 8891 7000
# Artikel ini telah disiarkan di dalam Majalah SANTAI Travel keluaran Januari 2012

2 comments:

  1. blh x sy nk thu statistik brapa ramai pemandu pelancong sehingga akhir 2011

    ReplyDelete
  2. Ada betulnya kenyataan ini, tetapi adakah kerana syarat yang dikenakan pihak berkuasa menggalakkan pertumbuhan agensi haram ini. contohnya seperti wajib memiliki syarikat sendirian berhad, mempunyai modal berbayar minimum RM200,000.00 dan lain-lain syarat yang boleh dikatakan agak ketat bagi mereka-mereka yang baru ingin menceburi bidang ini. Terdapat ramai graduan-graduan atau mereka yang berpengalaman ingin memulakan agensi sendiri, tetapi pengalaman sahaja tidak mencukupi disebabkan syarat yang tinggi ini maka mereka menjalankan operasi secara haram dan ada dikalangan mereka memberikan servis jauh lebih baik dari agensi berdaftar.

    Saya pernah berurusan dgn agensi yg boleh dikatakan haram tetapi amat berpuas hati dengan servis yang diberikan dan jujur dengan operasi mereka. Mereka yang seperti ini harus diberikan peluang untuk menjalankan operasi secara sah.

    Pengembara Solo.

    ReplyDelete