Monday, December 17, 2012

Membingkai Kenangan Kota Setar

Rasanya sudah hampir satu semenanjung Malaysia telah saya diterokai. Namun kaki bagai dirantai tatkala menjejakkan kaki di bumi Alor Setar. Pandangan mata tepaku  melihat suasana tenang mendamaikan di bandar ini. Masa seakan terhenti seketika. Suasana zaman silam terus menerjah ke dalam minda. Begitulah kuatnya kuasa Alor Setar yang saya jejaki baru-baru ini.
Alor Setar merupakan bandar terbesar di Kedah dan ibu negeri bagi negeri yang dikenali sebagai negeri jelapang padi. Dengan kepadatan penduduk lebih daripada 300 ribu orang, kota ini begitu cepat membangun.
Menyingkap kembali catatan sejarah,  Alor Setar mula-mula dijumpai dan diasaskan oleh seorang Raja Melayu iaitu Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II dalam tahun (1710-1778). Baginda merupakan raja Negeri Kedah dari tahun hijrah 1122 – 1174. Pada awalnya, Alor Setar cuma sebuah kampung dengan beberapa buah rumah yang terletak di muara dua batang sungai.

Kisah asal usul nama Alor Setar bermula apabila Sultan Mohamad Jiwa menjumpai kampung itu lantas baginda begitu tertarik dengannya. Khabarnya  mungkin kerana tempat itu dikelilingi oleh pohon-pohon pokok yang tebal lagi menghijau dan merupakan pusat dimana dua batang sungai bertemu.Maka, “Adapun Duli Yang Dipertuan bermuafakat dengan segala menteri-menteri membuat sebuah kota batu, bernama Kota Setar” Secara tidak langsung kampung itu digelar Kota Setar. Khabarnya baginda menamakannya Setar sempena dengan jenis pokok-pokok yang ditemui di sekitar kota ini yang dikenali sebagai ‘Stak Tree’. Difahamkan ketika itu nama Alor Setar belum muncul lagi dan ia dikenali sebagai Kota Setar.
Kota ini berkembang dengan begitu pesat sekali dengan segala perniagaan, pengangkutan dan perhubungan di Kedah berpusat di Kota Setar. Lama- kelamaan nama Kota Setar ditukar kepada Alor Setar disebabkan bandar itu terletak dekat muara sungai dan menjadi tumpuan ramai pedagang Melayu dari lain-lain Negeri Melayu singgah di situ. Walau bagaimanapun Kota Setar masih menjadi daerah jajahan bagi bandar Alor Setar.

Maju & Makmur
Alor Setar punya segalanya.Dari warisan sejarah yang terpelihara sehinggalah bangunan pencakar langit yang serba canggih.Menyusuri Jalan Tunku Ibrahim sehingga ke Pekan Baru banyak pengalaman baru yang dapat dikutip. Menara Alor Setar yang berdiri megah di tengah-tengah kota ini juga menjadi mercu tanda kebanggaan dan kemajuan negeri Kedah. Lebih daripada itu, tanah bertuah ini merupakan tempat lahirnya dua tokoh yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr Mahathir Mohamad.  Jika anda ke Alor Setar, jangan lupa singgah ke Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir untuk melihat sendiri susur galur dan sejarah tokoh pemimpin negara yang tersohor itu.

Shopping Sakan Di Pekan Rabu

Tidak sah jika ke Alor Setar jika tidak singgah ke Pekan Rabu. Jangan keliru, walaupun namanya Pekan Rabu, tapi lokasi membeli-belah ini dibuka pada setiap hari dan bukan pada hari Rabu sahaja. Pekan Rabu sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk tempatan dan menjadi kebanggaan kepada masyarakat Melayu kerana di sinilah peniaga-peniaga bumiputera mengembangkan empayar perniagaan mereka di bawah satu bumbung. Kompleks Pekan Rabu yang dibina pada tahun 1975 ini telah menjalani proses pengubahsuaian pada tahun 1995 dan kini menjadi lokasi wajib buat pelancong yang datang ke Alor Setar.
Pekan Rabu bukan sekadar lokasi membeli-belah sahaja. Lokasi bersejarah ini merupakan maruah kepada dunia perniagaan orang Melayu kerana di sinilah bermulanya kegiatan perniagaan yang melibatkan penyertaan orang Melayu sejak selepas Perang Dunia Pertama. Ketika itu YTM Tunku Yaacob, seorang Putera Diraja Kedah telah mengambil inisiatif murni menggalakkan orang Melayu menjalankan perniagaan dalam bandar. Bermula dari sinilah orang Melayu mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan seterusnya YTM Tunku Yaacob telah mengasaskan kawasan perniagaan ini menjadi pasar minggu di situ pada setiap hari Rabu sahaja pada awal 1920 an. Ketika itu pasar minggu ini bertempat di Tanjong Chali yang terletak di antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal di Alor Setar. Memandangkan perniagaan mingguan ini mendapat sambutan yang cukup baik dan semakin berkembang, pada tahun 1932 Kerajaan Negeri terpaksa memindahkan Pekan Rabu ke tapak barunya yang ada sehingga sekarang.
Apa yang pasti Pekan Rabu mempunyai sejarah yang cukup unik dalam melahirkan usahawan-usahawan Melayu yang berjaya. Malah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ketika zaman remajanya di sini sekali gus menjadikan Pekan Rabu begitu dekat di hati beliau.
Sebagai sebuah kompleks perniagaan Bumiputera yang sudah berdekad beroperasi, Pekan Rabu tidak dapat lari daripada berhadapan dengan cabaran seiring dengan peredaran zaman. Kompleks Pekan Rabu  menyediakan pelbagai jenis perniagaan dengan lebih 340 kedai yang tersusun rapi, bersistematik serta bersih. Pelbagai produk seperti  kraftangan, makanan, pakaian, cenderamata, peralatan harian dan banyak lagi boleh didapati di sini.
Tidak hairanlah jika Pekan Rabu tampil sebagai produk pelancongan khususnya sebagai destinasi membeli-belah yang berdaya maju dalam menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

Bagaimana ke sini?
Alor Setar dihubungkan dengan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dengan sebuah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Sekiranya anda menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, ambil susur keluar masuk menerusi plaza tol Alor Setar Utara, plaza tol Alor Setar Selatan atau plaza tol Alor Setar Hutan Kampong. Alor Setar juga mempunyai stesen kereta api di Pusat Bandaraya Alor Setar, stesen bas Shahab Perdana serta pengangkutan keluar dari tanah besar ke Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah.

Oleh : Azlie Halim
Gambar : Dino Al Ham’d

No comments:

Post a Comment