Thursday, September 20, 2012

Berbanggalah Dengan Produk Pelancongan Kita

Dari  hamparan gunung menghijau sehinggalah lautan membiru. Semuanya menjadi aset pelancongan yang cukup berharga kepada negara. Begitu juga dengan khazanah warisan sejarah negara yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.  Khazanah warisan ini menjadi pelengkap kepada produk pelancongan negara.
Sebut  sahaja apa yang tidak ada di negara ini. Alam semulajadi yang mempesonakan, bangunan percakar langit serba canggih, sajian makanan yang pelbagai, budaya serta warisan yang unggul dan banyak lagi. Boleh dikatakan negara kita ada semuanya. Sehinggakan nak main salji pun boleh di negara ini jika anda berkunjung ke i-City di Shah Alam Selangor. Tiada yang mustahil!
Bukan itu sahaja, jika inginkan keriangan berpanjangan negara kita tidak pernah kalah dengan pelbagai taman tema dan pusat rekreasi yang hebat dan bertaraf antarabangsa. Sunway Lagoon, Genting Highland, Bukit Merah Laketown Resort dan yang terbaharu Legoland Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang inginkan keriangan berpanjangan.
Tapi malangnya tidak ramai yang menghargainya dan berbangga dengan produk pelancongan yang kita ada. Malah ada yang dengan sinis memperlekehkan produk pelancongan yang kita ada. Katanya kat Malaysia tak ada apa-apa yang menarik!
Aduhai … Meskipun produk pelancongan yang di negara kita mungkin tidak memenuhi citarasa anda, tapi berbanggalah dengan apa yang kita ada. Setidak-tidaknya hargailah apa yang kita ada. Pelancong dari luar negara sanggup datang beribu-ribu kilometer dan berpuluh jam perjalanan semata-mata untuk menghayati produk pelancongan di negara kita. Mengikut Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Malaysia merupakan negara ke-9 yang paling ramai dikunjungi di dunia sejak tahun 2009 hingga 2011. Apa yang pasti pada tahun lepas, Malaysia telah mencatatkan kedatangan pelancong asing seramai 24.7 juta orang dengan jumlah pendapatan bernilai RM58.3 bilion.
Statistik yang dikeluarkan oleh badan yang paling berpengaruh dalam sector pelancongan ini membuktikan bahawa negara kita mempunyai kekuatan dalam menarik kunjungan pelancong dan tentunya mempunyai produk pelancongan yang terbaik dan bertaraf antarabangsa.
Saya percaya pencapaian cemerlang ini adalah selari dengan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020 yang menyasarkan kedatangan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM168 billion pada tahun 2020.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, marilah kita sama-sama berganding bahu menyokong produk pelancongan yang kita ada sekali gus meningkatkan ekonomi negara kita dengan melancong di dalam negara. Sebenarnya banyak lagi destinasi pelancongan yang boleh kita terokai dan kita hayati bersama. Tidak perlu pergi jauh ke luar negara untuk melihat keindahan alam kerana semuanya ada di negara kita. Jom kita cuti-cuti Malaysia!




No comments:

Post a Comment