Wednesday, June 17, 2015

Kembalikan Semangat Kinabalu

Prestasi sektor pelancongan negara semakin baik meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Saya tertarik untuk berkongsi pandangan tentang cabaran demi cabaran yang menggugat industri pelancongan negara. Negeri Sabah umpamanya adalah antara negeri yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam sektor pelancongan. Kepelbagaian produk pelancongan berasaskan alam semula jadi menjadi tarikan utama pelancong ke negeri ini. Kemajuan industri pelancongan di negeri ini banyak memberi peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyatnya. Maka dengan itu sektor pelancongan membawa seribu rahmat buat warga Sabah secara keseluruhannya.
Namun beberapa episod duka yang melanda Sabah kebelakangan ini banyak menggugat industri pelancongan di negeri Sabah. Selepas beberapa siri kejadian culik dan serangan yang membabitkan pelancong di negeri ini, Sabah digegarkan pula dengan bencana gempa bumi yang turut mengorbankan beberapa pelancong di Gunung Kinabalu. Tragedi yang berlaku tanpa diduga itu umpama ‘bom atom’ yang meranapkan industri pelancongan di Sabah. Kerosakan teruk pada beberapa laluan dan kemudahan di Gunung Kinabalu memaksa pihak Kerajaan Negeri Sabah mengambil keputusan untuk menutup kawasan pelancongan itu untuk beberapa minggu.
Kesan gempa bumi itu bukan sahaja dapat dilihat secara fizikal dengan pelbagai kerosakan yang berlaku. Namun kesan gempa itu harus dilihat daripada segi mental dan emosi pelancong serta penduduk tempatan yang terlibat secara langsung dengan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut. Kesan daripada segi fizikal mungkin kita mampu pulihkan pada jangka masa yang singkat, tetapi kesan mental mungkin akan mengambil masa yang panjang. Ketika ini kita sebenarnya berhadapan dengan krisis yang lebih mencabar iaitu bagaimana untuk memulihkan semula keyakinan pelancong untuk datang kembali ke negeri ini. Kita juga berhadapan dengan krisis bagaimana untuk memulihkan semula mental serta emosi penduduk Sabah di kawasan terjejas sekali gus memastikan industri pelancongan terus relevan di sini.
Saya percaya pihak kerajaan dan agensi yang bertanggungjawab mempunyai perancangannya yang tersendiri dalam mengurus krisis berkenaan. Tetapi dalam masa yang sama, kita sebagai rakyat biasa tidak harus berdiam diri. Kita harus sama-sama bangkit melakukan apa yang kita mampu untuk mengembalikan ‘semangatkepada industri pelancongan di Sabah.Selain membangunkan semula infrastruktur di kawasan pendekatan secara psikologi  harus diambil kira dalam usaha kita untuk memulihkan semula keyakinan pelancong untuk berkunjung ke negara ini.
Ada ketikanya kita harus belajar daripada negara jiran kita bagaimana mereka dapat menguruskan krisis dalam sektor pelancongan dengan baik. Saya kagum dengan negara Thailand yang mampu ‘pulihdengan cepat selepas Tsunami melanda pantai Phuket tidak lama dahulu. Tanpa berbelanja besar, mereka menggunakan pendekatan secara psikologi yang menyentuh emosi untuk memikat semula palancong datang ke Phuket. Dalam satu temubual dengan penduduk tempatan di Phuket, salah seorang dari mereka secara bersahaja berkata “Kami sudah cukup menderita akibat Tsunami, janganlah tambahkan lagi penderitaan kami dengan tidak datang ke sini (Phuket)”. Kata-kata ini mungkin nampak ringkas tetapi memberikan kesan yang cukup besar kepada memulihkan semula keyakinan pelancong untuk bercuti ke  negara terbabit. Memandangkan hampir keseluruhan penduduk di Phuket terlibat dalam industri pelancongan maka kehadiran pelancong amat penting bagi mereka untuk meneruskan kehidupan.
Barangkali kita boleh gunakan idea atau pendekatan tersebut secara bijaksana bagi mengembalikan semula kegemilangan negeri Sabah sebagai destinasi utama pilihan pelancong. Untuk itu marilah kita sama-sama berdoa agar industri pelancongan di Sabah pulih sepenuhnya sekali gus membawa rahmat kepada seluruh rakyat insha Allah.

No comments:

Post a Comment