Thursday, April 17, 2014

Penggiat Pelancongan Harus Kreatif

Salam hormat dan salam  1 Malaysia. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penggiat industri pelancongan  khususnya buat pihak Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia serta Tourism Malaysia diatas kejayaan mencapai jumlah kehadiran pelancong sebanyak 25.7 juta orang pelancong pada tahun 2013. Meskipun terpaksa bertarung dengan pelbagai cabaran yang menggugat industri pelancongan negara pada tahun 2013, namun dengan usaha gigih semua pihak, jumlah kehadiran pelancong dilihat menunjukkan peningkatan yang membanggakan.  
Tatkala pihak kerajaan merancang pelbagai strategi untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya maju, adakah kita sebagai penggiat industri pelancongan telah bersedia dengan produk pelancongan yang berinovasi ? Adakah kita sudah bersedia dengan perancangan yang strategik dalam menarik kunjungan pelancong? Adakah kita berupaya memberikan khidmat yang terbaik bagi memenuhi citarasa pelancong? Jawapannya terletak kepada diri kita sendiri. Apa yang pasti sebagai penggiat industri pelancongan yang bertanggungjawab, kita harus lebih kreatif dan proaktif dalam mempromosikan produk pelancongan kita.

Kreatif dalam erti kata kita harus lebih bersedia bersaing secara sihat dengan produk-produk pelancongan dari luar negara yang semakin mendapat tempat di hati pelancong.

Saya percaya pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana bagi menyokong industri pelancongan negara. Tidak cukup dengan itu pelbagai agensi kerajaan telah diwujudkan bagi memperkasakan lagi industri pelancongan negara. Tourism Malaysia umpamanya bertindak sebagai agensi yang mempromosikan produk-produk pelancongan sama ada untuk pelancong domestik mahupun antarabangsa. Mereka telah melakukan pelbagai inisiatif bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan kita dengan pelbagai . Kadang-kadang saya rasa simpati melihat pegawai-pegawai di Tourism Malaysia yang sampai tiada masa untuk berehat demi untuk memastikan industri pelancong berada ditahap yang cemerlang. Usaha mereka yang ‘berkhidmat untuk negara’ ini harus dipuji kerana tanpa usaha mereka ini sektor pelancongan mungkin akan lesu.

Kini tiba masanya kita sebagai penggiat pelancongan untuk memainkan peranan kita sebagai penggerak industri pelancongan negara sekali gus melakukan transformasi pelancongan yang mampan. Bagi yang telah melakukan ‘transformasi’, tahniah saya  ucapkan dan teruskan lagi usaha murni anda itu sehingga berjaya. Bagi yang masih tercari-cari hala tuju, carilah jalan bijak bagi menongkah arus semasa industri pelancongan.

Kita sudah tidak mempunyai banyak masa untuk tunggu dan lihat lagi. Persatuan dan pertubuhan berkaitan sektor pelancongan seperti MATTA, MAH, MBHA, MAHO, Bumitra dan sebagainya harus tampil segera dengan idea dan usaha yang lebih kreatif dalam mempromosikan produk pelancongan kita.

Penggiat industri  pelancongan perlu lebih proaktif dan agresif dalam mempromosi acara atau produk pelancongan dalam usaha kita menarik lebih ramai pelancong datang ke negara  ini.  Selain itu pengusaha produk pelancongan tidak harus leka dengan limpahan pelancong yang datang ke negara ini kerana situasi ini pasti akan berubah sekiranya kita gagal menyediakan perkhidmatan yang baik kepada tetamu kita. Justeru saya berharap semua penggiat pelancongan harus segera  menambah nilai mutu perkhidmatan serta pakej pelancongan yang disediakan agar ia lebih menarik, komprehensif dan kompetitif.

Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing secara sempurna, saya percaya industri pelancongan negara mampu menjadi penyumbang utama ekonomi negara.

Ingatlah bahawa sektor ini bukan sahaja membawa rahmat buat penggiat pelancongan sahaja malah ‘rahmatnya’ turut dinikmati oleh pelbagai sektor lain umpamanya seperti sektor pengangkutan, peruncitan dan sebagainya.

Sumpah Bertuah Langkawi



"Ya Tuhanku! Tidak aku redha dan tidak aku halalkan darahku tumpah ke bumi Langkawi. Tidak aku rela mati dengan teraniaya! Aku bersumpah pulau ini menjadi padang jarak padang terkukur, tidak akan makmur dan aman sehingga genap tujuh keturunan…”



Begitulah lafaz sumpah keramat  legenda Mahsuri   lebih 200 tahun lalu ketika dihukum bunuh angkara fitnah.  Mahsuri yang dikatakan mengalirkan darah putih selepas dihukum bunuh banyak meninggalkan kesan kepada pulau legenda itu.

Dari padang jarak, padang terkukur kini Langkawi tersohor sebagai sebuah Bandaraya Pelancongan yang menjadi impian pelancong. Siapa sangka selepas sumpahan Mahsuri berlalu, tuah pula yang menderu. Umpama sekali ombak menghempas pantai, sekali pasir berubah.

Nama Mahsuri begitu sinonim dengan pulau Langkawi. Pulau legenda yang sarat dengan kisah silam ini punya citra tersendiri. Menyingkap kembali kisah Mahsuri yang bermula dengan fitnah dan perasaan iri hati, kisah ini banyak memberikan kita pengajaran bahawa fitnah itu banyak mendatangkan kehancuran. Jika dihayati dengan mendalam, banyak pengajaran yang boleh kita kutip dan dijadikan teladan agar hari-hari yang mendatang menjanjikan kebahagian buat kita semua.

Baru-baru ini saya sempat berkunjung ke Pulau Langkawi untuk meninjau sendiri kisah Mahsuri yang terpahat di Pulau Langkawi. Jika dahulu kita hanya dapat melihat Makam Mahsuri yang terletak di Mukim Ulu Melaka, Pulau Langkawi, namun kini dengan inisiatif  Kerajaan, lokasi ini telah dibangunkan dan dikenali sebagai Kota Mahsuri.  Setelah mendapat  kepercayaan daripada YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1988, Kota Mahsuri dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan kini diuruskan oleh Sri Kenayan Sdn Bhd yang diterajui oleh Ismail Hanapiah.

Pertemuan dengan Ismail Hanapiah atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ismail banyak mengubah persepsi saya terhadap Langkawi. Beliau yang begitu gigih mengusahakan Kota Mahsuri sebagai produk pelancongan ternyata begitu bersemangat bila ditanya tentang kisah Mahsuri. meskipun terpaksa berbelanja besar untuk menguruskan Kota Mahsuri, namun beliau tetap tabah dan sanggup mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadikan Kota Mahsuri sebagai destinasi yang wajib dikunjungi oleh pelancong tatkala berkunjung ke Pulau Langkawi.

Kata Cikgu Ismail, selain melihat Makam Mahsuri, dengan penambah baikan dan kemudahan baru yang disediakan di Kota Mahsuri  pelancong turut berpeluang untuk melihat persembahan muzik, tarian dan juga teater Mahsuri.

“ Di sini pengunjung bukan sahaja dapat melihat Makam Mahsuri malah dapat melihat sendiri persembahan teater  Mahsuri, muzik dan tarian.  Buka  itu sahaja, pengunjung dapat melihat replika rumah tradisional, muzium, gerai makanan serta jualan pelbagai produk cenderamata, “ kata Cikgu Ismail.

 Apa yang pasti Kota Mahsuri merupakan sebuah pusat pelancongan sehenti yang patut dikunjungi. Pendek kata tidak lengkap percutian anda ke Langkawi jika tidak ke Kota Mahsuri.

Usaha membangunkan dan menyemarakkan Kota Mahsuri bukanlah satu usaha yang mudah. Dari aspek penyelengaraan infrastruktur sehinggalah belanja modal insan yang menyelaraskan kompleks ini perlu diambil kira.

Dari riak wajah Cikgu Ismail, jelas tergambar bahawa beliau mengharapkan ‘sesuatu’ daripada pihak Kerajaan ataupun pihak berkuasa tempatan.  Soal infrastruktur yang belum cukup sempurna dan kempen promosi yang kurang menjadi hambatan kepada usaha memajukan Kota Mahsuri. Saya pasti beliau telah melakukan yang terbaik dalam mengangkat Kota Mahsuri sebagai salah satu Ikon Pelancongan di Langkawi yang mampu menarik ramai kunjungan pelancong.

Bercakap tentang Langkawi tanpa Mahsuri, tidak legkap. Maka Mahsuri adalah pelengkap kepada industri pelancongan Langkawi. Justeru tidak sempurna kunjungan anda ke Pulau Langkawi jika tidak mengunjungi Makam Mahsuri di Kota Mahsuri.

 

Tarikan Di Kota Mahsuri

-Makam Mahsuri

- Tapak Rumah Mahsuri

- Perigi mahsuri

- Acara Kebudayaan

- Persembahan Teater Mahsuri

- Muzium

- Gerai Cenderamata/ Kraftangan

- Restoran

 

Waktu Beroperasi :

Jumaat- Ahad  : 8.30 pagi – 6.30 petang

Isnin – Khamis : 8.30 pagi -6.00 petang

 

KOTA MAHSURI
Kampung Mawat
Ulu Melaka,Langkawi
Kedah
07000
Malaysia
 
Telephone:
+604-9556055
Fax:
+604-9552055