"Ya Tuhanku! Tidak aku redha dan tidak aku halalkan
darahku tumpah ke bumi Langkawi. Tidak aku rela mati dengan teraniaya! Aku
bersumpah pulau ini menjadi padang jarak padang terkukur, tidak akan makmur dan
aman sehingga genap tujuh keturunan…”
Begitulah lafaz sumpah keramat legenda Mahsuri lebih
200 tahun lalu ketika dihukum bunuh angkara fitnah. Mahsuri yang dikatakan mengalirkan darah
putih selepas dihukum bunuh banyak meninggalkan kesan kepada pulau legenda itu.
Dari padang jarak, padang
terkukur kini Langkawi tersohor sebagai sebuah Bandaraya Pelancongan yang
menjadi impian pelancong. Siapa sangka selepas sumpahan Mahsuri berlalu, tuah
pula yang menderu. Umpama sekali ombak menghempas pantai, sekali pasir berubah.
Nama Mahsuri begitu
sinonim dengan pulau Langkawi. Pulau legenda yang sarat dengan kisah silam ini
punya citra tersendiri. Menyingkap kembali kisah Mahsuri yang bermula dengan
fitnah dan perasaan iri hati, kisah ini banyak memberikan kita pengajaran
bahawa fitnah itu banyak mendatangkan kehancuran. Jika dihayati dengan
mendalam, banyak pengajaran yang boleh kita kutip dan dijadikan teladan agar
hari-hari yang mendatang menjanjikan kebahagian buat kita semua.
Baru-baru ini saya sempat
berkunjung ke Pulau Langkawi untuk meninjau sendiri kisah Mahsuri yang terpahat
di Pulau Langkawi. Jika dahulu kita hanya dapat melihat Makam Mahsuri yang
terletak di Mukim Ulu Melaka, Pulau Langkawi, namun kini dengan inisiatif Kerajaan, lokasi ini telah dibangunkan dan
dikenali sebagai Kota Mahsuri. Setelah
mendapat kepercayaan daripada YABhg. Tun
Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1988, Kota Mahsuri dibangunkan oleh Lembaga
Pembangunan Langkawi (LADA) dan kini diuruskan oleh Sri Kenayan Sdn Bhd yang
diterajui oleh Ismail Hanapiah.
Pertemuan dengan Ismail
Hanapiah atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ismail banyak mengubah
persepsi saya terhadap Langkawi. Beliau yang begitu gigih mengusahakan Kota
Mahsuri sebagai produk pelancongan ternyata begitu bersemangat bila ditanya
tentang kisah Mahsuri. meskipun terpaksa berbelanja besar untuk menguruskan
Kota Mahsuri, namun beliau tetap tabah dan sanggup mengharungi pelbagai cabaran
untuk menjadikan Kota Mahsuri sebagai destinasi yang wajib dikunjungi oleh
pelancong tatkala berkunjung ke Pulau Langkawi.
Kata Cikgu Ismail, selain
melihat Makam Mahsuri, dengan penambah baikan dan kemudahan baru yang
disediakan di Kota Mahsuri pelancong
turut berpeluang untuk melihat persembahan muzik, tarian dan juga teater
Mahsuri.
“ Di sini pengunjung bukan
sahaja dapat melihat Makam Mahsuri malah dapat melihat sendiri persembahan
teater Mahsuri, muzik dan tarian. Buka
itu sahaja, pengunjung dapat melihat replika rumah tradisional, muzium,
gerai makanan serta jualan pelbagai produk cenderamata, “ kata Cikgu Ismail.
Apa yang pasti Kota Mahsuri merupakan sebuah
pusat pelancongan sehenti yang patut dikunjungi. Pendek kata tidak lengkap
percutian anda ke Langkawi jika tidak ke Kota Mahsuri.
Usaha membangunkan dan
menyemarakkan Kota Mahsuri bukanlah satu usaha yang mudah. Dari aspek
penyelengaraan infrastruktur sehinggalah belanja modal insan yang menyelaraskan
kompleks ini perlu diambil kira.
Dari riak wajah Cikgu
Ismail, jelas tergambar bahawa beliau mengharapkan ‘sesuatu’ daripada pihak Kerajaan
ataupun pihak berkuasa tempatan. Soal
infrastruktur yang belum cukup sempurna dan kempen promosi yang kurang menjadi
hambatan kepada usaha memajukan Kota Mahsuri. Saya pasti beliau telah melakukan
yang terbaik dalam mengangkat Kota Mahsuri sebagai salah satu Ikon Pelancongan
di Langkawi yang mampu menarik ramai kunjungan pelancong.
Bercakap tentang Langkawi
tanpa Mahsuri, tidak legkap. Maka Mahsuri adalah pelengkap kepada industri
pelancongan Langkawi. Justeru tidak sempurna kunjungan anda ke Pulau Langkawi
jika tidak mengunjungi Makam Mahsuri di Kota Mahsuri.
Tarikan Di Kota Mahsuri
-Makam Mahsuri
- Tapak Rumah Mahsuri
- Perigi mahsuri
- Acara Kebudayaan
- Persembahan Teater
Mahsuri
- Muzium
- Gerai Cenderamata/
Kraftangan
- Restoran
Waktu Beroperasi :
Jumaat- Ahad : 8.30 pagi – 6.30 petang
Isnin – Khamis : 8.30 pagi
-6.00 petang
KOTA MAHSURI
|
|
Kampung Mawat
|
|
Ulu Melaka,Langkawi
|
|
Kedah
|
|
07000
|
|
Malaysia
|
|
+604-9556055
|
|
+604-9552055
|
No comments:
Post a Comment