Tatkala pihak kerajaan merancang pelbagai strategi untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya maju, adakah kita sebagai penggiat industri pelancongan telah bersedia dengan produk pelancongan yang berinovasi ? Adakah kita sudah bersedia dengan perancangan yang strategik dalam menarik kunjungan pelancong? Adakah kita berupaya memberikan khidmat yang terbaik bagi memenuhi citarasa pelancong? Jawapannya terletak kepada diri kita sendiri. Apa yang pasti sebagai penggiat industri pelancongan yang bertanggungjawab, kita harus lebih kreatif dan proaktif dalam mempromosikan produk pelancongan kita.
Kreatif dalam erti
kata kita harus lebih bersedia bersaing secara sihat dengan produk-produk
pelancongan dari luar negara yang semakin mendapat tempat di hati pelancong.
Saya percaya pihak
kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana bagi menyokong industri
pelancongan negara. Tidak cukup dengan itu pelbagai agensi kerajaan telah
diwujudkan bagi memperkasakan lagi industri pelancongan negara. Tourism Malaysia
umpamanya bertindak sebagai agensi yang mempromosikan produk-produk pelancongan
sama ada untuk pelancong domestik mahupun antarabangsa. Mereka telah melakukan
pelbagai inisiatif bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan kita dengan
pelbagai . Kadang-kadang saya rasa simpati melihat pegawai-pegawai di Tourism
Malaysia yang sampai tiada masa untuk berehat demi untuk memastikan industri
pelancong berada ditahap yang cemerlang. Usaha mereka yang ‘berkhidmat untuk negara’ ini
harus dipuji kerana tanpa usaha mereka ini sektor pelancongan mungkin akan
lesu.
Kini tiba masanya kita sebagai penggiat pelancongan untuk memainkan peranan
kita sebagai penggerak industri pelancongan negara sekali gus melakukan
transformasi pelancongan yang mampan. Bagi yang telah melakukan ‘transformasi’,
tahniah saya ucapkan dan teruskan lagi usaha murni anda itu sehingga
berjaya. Bagi yang masih tercari-cari hala tuju, carilah jalan bijak bagi
menongkah arus semasa industri pelancongan.
Kita sudah tidak mempunyai banyak masa untuk tunggu dan lihat lagi.
Persatuan dan pertubuhan berkaitan sektor pelancongan seperti MATTA, MAH, MBHA,
MAHO, Bumitra dan sebagainya harus tampil segera dengan idea dan usaha yang
lebih kreatif dalam mempromosikan produk pelancongan kita.
Penggiat industri pelancongan perlu lebih proaktif dan agresif dalam
mempromosi acara atau produk pelancongan dalam usaha kita menarik lebih ramai
pelancong datang ke negara ini. Selain itu pengusaha produk
pelancongan tidak harus leka dengan limpahan pelancong yang datang ke negara
ini kerana situasi ini pasti akan berubah sekiranya kita gagal menyediakan
perkhidmatan yang baik kepada tetamu kita. Justeru saya berharap semua penggiat
pelancongan harus segera menambah nilai mutu perkhidmatan serta pakej
pelancongan yang disediakan agar ia lebih menarik, komprehensif dan kompetitif.
Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing secara sempurna, saya
percaya industri pelancongan negara mampu menjadi penyumbang utama ekonomi
negara.
Ingatlah bahawa sektor ini bukan sahaja membawa rahmat buat penggiat
pelancongan sahaja malah ‘rahmatnya’ turut dinikmati oleh pelbagai sektor lain
umpamanya seperti sektor pengangkutan, peruncitan dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment