Monday, August 29, 2016

Kuala Lumpur Heritage Guided Night Walk

KUALA LUMPUR 20 Ogos 2016: Semua bandar-bandar terkenal di dunia mempunyai tarikan unik dalam menengahkan imej serta  dan identiti tersendiri bandar tersebut. Meskipun ramai yang mengenali Kuala Lumpur melalui ikon  Menara Berkembar Petronas dan sebagai destinasi   membeli-belah, namun tapak warisan yang sedia ada dan budaya hidup Kuala Lumpur juga dilihat ber potensi untuk dijadikan produk  pelancongan yang kaya dengan sejarah, warisan dan budaya bandar.

Selaras dengan pengenalan penjenamaan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini - City of Contrasts & Diversity serta selaras dengan Pelan Induk Pelancongan KL 2015-2025: Inisiatif 1.2- Membangun dan mempelbagaikan jejak warisan dan produk;  Biro Pelancongan Kuala Lumpur telah memperkenalkan strategi intervensi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan secara kreatif. Ini termasuk penggunaan  zon warisan Kuala Lumpur sedia ada dan mendokumentasikan cerita-cerita warisan bagi memenuhi permintaan pelancong.

Di bawah inisiatif ini; 4 laluan Jejak Warisan, Kebudayaan dan Alam berpemandu pelancong telah direka secara kreatif  oleh Biro Pelancongan Kuala Lumpur. KLTB juga telah memilih pemandu pelancong yang mempunyai pengalaman cemerlang sebagai  pencerita untuk setiap laluan. Pemandu pelancong yang terlibat telah dipilih berdasarkan kepada keupayaan mereka untuk meyakinkan dan melibatkan pelancong dari segi intelektual serta emosi dengan Kuala Lumpur sekali gus memberikan pengalaman lawatan secara peribadi, relevan, bermakna dan dapat memberi kenangan tersendiri kepada pelancong.


PENGENALAN 4 LALUAN PERCUMA BERPEMANDU PELANCONG 
Biro Pelancongan Kuala Lumpur telah memperkenalkan 4 laluan jejak warisan berpemandu secara percuma  iaitu:

• Kuala Lumpur Guided Heritage Trail Walk
• The Walk Old KL & Nature Guided Walk
• Jalan-jalan Di Kampong Bharu Culture Walk
• Kuala Lumpur Heritage Guided Night Walk

Menurut Puan Noraza Yusof, Pengurus Besar Biro Pelancongan Kuala Lumpur menerusi  laluan jejak warisan berserta informasi  yang disediakan ia dapat menyumbang kearah pendidikan yang berpanjangan. Kepelbagaian budaya, warisan dan khazanah sejarah tersembunyi dapat diserlahkan kepada pelancong secara interaktif dan konsisten  sekali gus memberikan pengalaman yang menarik.

Pada tahun 2013, Biro Pelancongan Kuala Lumpur mula memperkenalkan laluan jejak warisan  - Dataran Merdeka Heritage Walk dan laluan ini  telah dianugerahkan penarafan cemerlang 5 bintang manakala jejak budaya Jalan-Jalan di Kampong Bahru turut menerima penarafan 5 bintang; kedua-duanya pengiktirafan ini adalah dari Trip Advisor, sebuah portal pelancongan sangat berpengaruh di dunia. Sehingga kini KLTB telah memperkenalkan 4 laluan jejak warisan berpemandu kepada pelancong .   Sejak diperkenalkan 8,000 pelancong berdaftar telah mengambil bahagian, dengan pecahan 70% pelancong asing dan 30% penduduk tempatan.

"Kami berharap para pelancong akan berkongsi dan menyampaikan pengalaman mereka menyertai jejak warisan dan budaya kepada pelancong lain yang bercadang untuk bercuti di Kuala Lumpur   sama ada melalui mulut ke mulut atau di media sosial," kata Noraza.

Beliau turut  percaya bahawa komunikasi bukan komersial sangat berkesan serta mampu mempengaruhi pelancong yang berpotensi dan membantu perancangan komunikasi sediada KLTB.

Sempena sambutan bulan kemerdekaan, Biro Pelancongan Kuala Lumpur telah menganjurkan Kuala Lumpur Heritage Guided Night Walk bagi memberikan peluang kepada wakil media untuk menghayati pengalaman mengikuti laluan tersebut. Jejak warisan ini ditawarkan kepada pelancong pada setiap hari Sabtu pada jam 7 malam dengan tempat permulaan di Arch Cafe merangkumi  laluan bersejarah Old Market Square di Jalan Lebuh Pasar, Masjid Jamek, Bazar Masjid India, Bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Coliseum Cafe, Dataran Merdeka dan Panggung Bandaraya. jejak warisan  ini menggabungkan penceritaan warisan sejarah bangunan yang turut di hiasi dengan sistem pencahayaan bangunan yang moden. 


Masjid Jamek dan kisah pertemuan dua sungai, budaya dan kemeriahan pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, kafe warisan - Coliseum, teater MUD dan berakhir di Dataran Merdeka di mana pelancong akan mempunyai peluang untuk bersama-sama warga Kuala Lumpur di padang tersebut.






No comments:

Post a Comment