Friday, January 8, 2016

MITA Giatkan Industri Pelancongan Tempatan

Malaysia dijangkakan menerima pertambahan pengunjung bagi sektor pelancongan tempatannya bermula tahun depan.
Dengan pelancaran kempen #GoDomestic oleh MITA, pengunjung dari luar dan dalam negara bukan sahaja dapat menikmati percutian hebat di destinasi-destinasi tempatan kegemaran mereka malah dapat mengenali negara ini dengan lebih dekat lagi melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan di sepanjang tahun 2016.
Pameran pelancongan tiga hari bermula dari 29 - 31 Januari 2016 akan menyaksikan penyertaan besar-besaran daripada lebih 140 penggiat industri yang akan mempamerkan keunikan Malaysia kepada 20,000 pengunjung yang dijangka melawat Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Meliputi ruang Dewan 6 sebesar 2,700 kaki persegi, KLCC akan membuka pintu utamanya kepada orang awam secara percuma seawal 9 pagi sehingga 9 malam setiap hari.
Pemeran MITA 2016 kali ini akan menjadi sebuah platform bagi 400 ahli-ahli MITA untuk menjual tiket penerbangan dan pakej percutian tempatan pada harga yang amat berpatutan di musim lengang (off-peak).
Selain itu, mereka akan berpeluang memperkenalkan produk-produk yang baru serta perkhidmatan yang ingin mereka ketengahkan. Pada masa yang sama, ejen-ejen pelancongan yang turut terlibat akan dijanjikan insentif pada kadar yang bersesuain.
Dengan adanya kempen sebelum ini yang telah digiatkan oleh Pelancongan Malaysia seperti Kenali Malaysia, Cuti-cuti Malaysia, Zoom Malaysia dan sekarang ini dibawah program `Make It Malaysia’ - Dekat Je!, semua kempen-kempen ini diperkenalkan dengan satu objektif – memastikan industri pelancongan tempatan negara terus berkembang pesat bukan sahaja dengan kemasukkan pengunjung dari luar tetapi juga menggalakkan penduduk tempatan untuk bercuti di negara sendiri.
"Dengan sokongan berterusan dari rakan seindustri, pihak media serta orang ramai, Pelancongan Malaysia mensasarkan pertumbuhan positif sebanyak 5% untuk tahun-tahun akan datang demi mencapai matlamatnya untuk memperolehi 76.7 juta pelancong tempatan sebelum tahun 2020,” jelas Timbalan Menteri Kementrian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia,YB Datuk Mas Ermieyati binti Samsudin.
Beliau berharap bahawa peluang Malaysia untuk menarik lebih daripada 60 juta orang pengunjung domestik yang akan tinggal sekurang-kurangnya satu malam di destinasi tempatan pada 2016 akan tercapai.
"Ini amat penting kerana ia bermakna hampir RM39.3 bilion akan diperolehi melalui aktiviti berbelanja oleh para pengunjung tempatan sahaja."
Ini jelas membuktikan bahawa Pelancongan Malaysia sentiasa mempelopori serta memperjuangkan pertumbuhan sektor pelancongan dengan kejayaannya sebagai penjana pertukaran matawang asing ke-dua terbesar dan komponen ekonomi ke-enam terbesar di Malaysia bagi tahun 2013
Demi menyahut seruan serta memastikan matlamat Pelancongan Malaysia tercapai, MITA terus menggembleng tenaga dalam mewujudkan kesedaran dan menggalakkan kerjasama antara penggiat industri supaya aktiviti pelancongan dalam negara sentiasa terpelihara dan teransang.
"Pihak kami akan sentiasa bersama-sama membantu Kerajaan melakarkan pelan pembangunan pelancongan negara dengan mewujudkan kerjasama serta mengekalkan hubungan dengan pelbagai negara dan badan-badan pelancongan antarabangsa," kata Timbalan Pengerusi MITA, Uzaidi Udanis.
"Destinasi tempatan adalah satu produk negara yang mempunyai kisahnya yang unik dan tersendiri. Ia perlu dikongsikan bersama dengan semua," tambah Uzaidi.
Uzaidi berhahap agar rakyat Malaysia akan turut sama menghidupkan semula kegiatan pelancongan domestik negara justeru membawanya ke satu tahap yang boleh dibanggakan.
“Semoga keunikan Malaysia akan lebih terserlah dan sentiasa dekat di hati para pengunjung khasnya dalam negara."
Pameran MITA yang juga merupakan sebuah perhimpunan tahunan yang dihoskan penggiat industri, wakil dari badan-badan pelancongan asing dan ejen-ejen pelancongan, akan menjanjikan kemeriahan tiga hari yang dipenuhi dengan aktiviti hiburan, sessi cabutan bertuah serta peluang untuk memenangi bermacam-macam hadiah yang menarik.

No comments:

Post a Comment