Monday, April 6, 2015

Taiwan Travel Fair 2015

Khas buat anda yang sedang merancang memilih destinasi terbaik untuk melancong pada tahun ini, apa kata kita ke Taiwan! Bagi menarik minat masyarakat Malaysia untuk  melancong ke Taiwan, baru-baru ini Biro Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur (Taiwan Tourism Bureau Kuala Lumpur, TTBKL) telah menganjurkan Pameran Pelancongan Taiwan buat kali pertamanya di Malaysia. Bertemakan “Masa untuk Menikmati Kehidupan” pameran tersebut telah diadakan di Pusat Membeli-belah 1 Utama, di mana orang ramai boleh mendapatkan tawaran yang terbaik untuk perlancongan ke Taiwan menerusi pameran ini.Menurut pengarah TTBKL, David Tsao, sepanjang dua tahun beliau berada di Malaysia beliau mendapati warga Malaysia sangat mementingkan hubungan silaturahim sesama sendiri dan ia adalah budaya yang sama seperti masyarakat di Taiwan. “Melancong merupakan salah satu cara terbaik untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga. Dengan  adanya Pameran Pelancongan Taiwan ini, TTBKL berharap dapat menawarkan pakej pelancongan yang terbaik untuk keluarga di Malaysia. Kami bekerjasama dengan agensi-agensi pelancongan terkemuka dari Taiwan dan Malaysia agar pakej yang ditawarkan adalah lebih menarik untuk destinasi-destinasi pelancongan di Taiwan. Ia juga termasuk pakej khas atau lawatan khas yang disediakan untuk para pelawat Muslim,” terang Tsao lagi. Daya tarikan Taiwan yang unik menjadikan negara itu sebagai destinasi kegemaran pelancong Malaysia terutama buat pelancong Muslim. Anda tidak perlu risau untuk mencari makanan halal dan tempat untuk menunaikan solat kerana Taiwan menawarkan pakej yang terbaik untuk pelancongan Muslim. Sewaktu pameran Pelancongan Taiwan berlangsung, pengunjung yang hadir telah berpeluang untuk menonton persembahan kebudayaan, mempelajari seni kraftangan Taiwan, serta terdapat taklimat mengenai pelancongan eksklusif di Taiwan. Pengunjung juga dihidangkan dengan sampel makanan yang terkenal di Taiwan.

No comments:

Post a Comment