Wednesday, April 1, 2015

ANUGERAH PELANCONGAN MALAYSIA 2014/2015 KINI DIBUKA UNTUK PENCALONAN






 
Anugerah Pelancongan Malaysia kembali lagi... Anugerah berprestij dalam industri pelancongan negara kali ini bakal menampilkan beberapa kelainan khususnya dalam kategori yang dipertandingkan. Kali ini Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan memperkenalkan beberapa perubahan bagi memberi gambaran yang lebih baik terhadap lanskap industri pelancongan global yang terkini. Ia kini mempunyai 14 kategori dan 50 subkategori untuk dipertandingkan.

Anugerah berprestij  yang memasuki edisi yang ke-19 ini dianjurkan pada setiap dua tahun sekali. Ia merupakan satu penghormatan kepada mereka yang cemerlang dan sentiasa memberi sokongan padu terhadap pembangunan pelancongan di Malaysia dan bertindak sebagai insentif bagi para peserta untuk berusaha dengan lebih keras lagi bagi mencapai tahap profesional serta kualiti yang tertinggi dalam pembangunan produk dan perkhidmatan.

Ia telah berkembang daripada program penghargaan yang hanya tertumpu kepada skop pelancong dan perjalanan sahaja kepada keseluruhan industri perkhidmatan yang turut menghargai kepentingan pengunjung tempatan. Ia juga mengiktiraf para penggiat industri yang mampu menghasilkan idea di luar batasan bagi membangunkan produk dan perkhidmatan yang unik.

Anugerah Pelancongan Malaysia (APM) yang berprestij ini memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para penggiat industri pelancongan tempatan dan antarabangsa atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka dalam pembangunan produk-produk dan perkhidmatan yang inovatif. APM kali ini adalah edisi yang ke-19 dan dianjurkan setiap dua tahun sekali.

 

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia kini membuka pencalonan bagi 14 kategori anugerah seperti yang berikut :

 

• Pengusaha Pelancongan Tempatan Terbaik
• Pengusaha Pelancongan Antarabangsa Terbaik
• Artikel Pelancongan Terbaik
• Penerbitan Pelancongan Terbaik
• Perkhidmatan Hotel Terbaik
• Tarikan Pelancongan Terbaik
• Pakej Pelancongan Terbaik
• Pemandu Pelancong Terbaik
• Pusat Beli-Belah Berinovasi
• Inap Desa Terbaik
• Spa Terbaik
• Restoran Berinovasi
• Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia
• Promosi Online Terbaik Mengenai Malaysia
 

Dua kategori baru yang telah diperkenalkan ialah:
a. Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia
– Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada  penerbitan dokumentari pelancongan  mengenai Malaysia yang ditayangkan dalam pelbagai medium elektronik dan dalam talian (online).

 
b. Promosi Online Terbaik Mengenai Malaysia
Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada pengusaha yang mempromosikan pelancongan Malaysia secara dalam talian.

Selain itu, kategori Pengusaha Pelancongan Antarabangsa Terbaik telah diperluaskan dari 10 kepada 18 subkategori, manakala Penerbitan Pelancongan Terbaik pula tidak lagi terhad kepada majalah pelancongan sahaja. Kini, ia turut terbuka kepada medium penerbitan lain seperti coffee table book, guide book tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan mengenai Malaysia.
Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1987 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dan dikenali sebagai “Anugerah Emas Pelancongan Malaysia” tetapi dijenama semula sebagai “Anugerah Pelancongan Malaysia” pada 1993 bagi menggambarkan keunggulan anugerah tersebut dan juga imej korporat Tourism Malaysia.

Borang-borang pencalonan boleh dimuat turun melalui laman web www.motac.gov.my atau www.tourismmalaysia.gov.my. Borang yang telah lengkap dan sebarang pertanyaan boleh dihantar ke:
 
Jawatankuasa Penghakiman
Sekretariat Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Tingkat 2, No. 2, Menara 1
Jalan P5/6, Presint 5
62200 Putrajaya
Malaysia
Emel: apm2015@tourism.gov.my

 

Tarikh tutup ialah 30 Jun 2015.











No comments:

Post a Comment