Wednesday, February 18, 2015

Seri Tanah Atas Laut

Tanah Lot di Bali yang membawa maksud 'Tanah Atas Laut'.
Jika tidak kerana budaya dan pantainya yang tersohor, tidak mungkin saya ke sini. Meskipun banyak lagi destinasi pelancongan yang menarik namun Bali seakan punya kuasa 'magnet' untuk menarik kunjungan ramai pelancong dari seluruh dunia.

Inilah Bali, pulau yang paling terkenal di Indonesia. Destinasi menakjubkan dengan gabungan keindahan lanskap alam semula jadi  dan budaya. Keindahannya bukan sahaja pada pandangan mata tetapi kemesraan dan sifat ramah tamah masyarakat di sini. 

Di sini kebudayaan terus dilestarikan dari generasi ke generasi. Budaya masyarakat Hindu yang mendominasi pulau ini menjadi antara aset Pelancongan yang cukup beharga. Sama ada pelancong ada atau pun tidak acara adat dengan ritual tradisi tetap diteruskan sebagai pegangan hidup masyarakat di sini.  Bunyi alat muzik serta genderang bergema seakan menyambut mesra pelancong ke daerah ini. 

Sebagai destiansi paling popular di Indonesia, Bali dilengkapkan lagi dengan kemunculan resort dan inapan berharap antarbangsa. Di sinilah pelancong dari seluruh dunia berpadu dengan pantai yang menawan dan kehidupan malam yang meriah. Maka tidak hairanlah saban hari Bali mendapat banyak pengiktirafan dan jolokan sebagai syurga dunia. Majalah Travel and Leisure memilih Bali sebagai  World's Best Island tahun 2009, sementara Lonely Planet's memilih Bali sebagai peringkat kedua Best of Travel 2010.

Bali juga dikenali dengan sebutan pulau dewata, pulau seribu pura, atau pulau syurga. Keindahan alamnya luar bias. Gunung berapi menjadi latar pemandangan yang memberikan sentuhan luar biasa kepada panorama di Bali. Hamparan sawahnya yang menghijau dan bertingkat-tingkat memberikan rasa damai dan ketenangan. Butiran pasirnya yang memutih lembut bak sutera memahat rasa rindu pada kedamaian.   Awan yang berarak mesra membias mentari yang memancar seolah menjadi persembahan keindahan alam yang tiada penghujungnya.

 

Budaya Disanjung

 

Adat & budaya masyarakat Hindu di Bali
Karya seni dan budaya menjadi tonggak  pelancongan di sini. Seni ukir batuan dan kayu kayan jelas mempamerkan identitinya yang tersendiri. Bila sebut sahaja senireka Bali kita sudah dapat membayangkan keindahan dan kehalusan karya seninya yang lahir daripada kreativiti  tanpa batas yang cukup sempurna.  Bali juga memiliki tariannya yang dramatis dan upacara adatnya yang beragam serta seni  yang indah dan berkualiti tinggi.

Adat dan kebudayaan yang ada pada masyarakat Bali berkait rapat dengan agama dan kehidupan agama masyarakat Hindu. Ia   memiliki akar sejarah yang  panjang dan mencerminkan perhubungan dengan dominasi nilai serta falsafah agama Hindu. Justeru banyak elemen-elemen yang berkaitan dengan kepercayaan kepada adat dan budaya masyarakat Hindu terpatri di pulau ini tidak kira dari aspek arkitektur, seni dan kehidupan masyarakat di sini.

Masyarakat Bali yang menganut agama Hindu Bali yang taat, sebagian besar hidupnya didedikasikan dalam upacara adat yang bertujuan untuk memelihara keharmonisan di dunia. Oleh karena itu, pulau kecil ini menyimpan banyak kejutan budaya di dalamnya.

 

Membelah Ombak Pantai Kuta

 

Pantai Kuta... Syurga peluncur ombak
Pantai yang cukup tersohor di Bali tentunya Pantai Kuta. Pantai ini juga digelar pantai matahari terbenam dan cukup  digemari oleh mereka yang meminati aktiviti surfing. Pantai ini sememangnya cukup popular dalam kalangan pelancong Australia yang ingin melakukan aktiviti surfing dan bersantai di tepian pantai.  Di sini juga terdapat lebih 1,000 peniaga  dari pengusaha kedai makan dan kelab malam hinggalah kepada pengusaha urutan serta kedai tatoo menyediakan perkhidmatan mereka khas untuk pelancong dengan kadar harga yang berpatutan.
Pelbagai gelagat dan   ragam manusia dari seluruh dunia dapat anda saksikan di sini. Meskipun satu ketika dahulu satu peristiwa letupan bom yang mengorbankan ramai jiwa berlaku di sini namun itu semua tidak pernah mematahkan semangat masyarakat di sini untuk bangkit menjadikan pulau ini sebagai destinasi pelancongan paling popular di dunia.

Seri Tanah Lot

Tanah Lot yang bermaksud Tanah Atas Laut menjadi lokasi yang wajib anda kunjungi tatkala ke Bali. Terletak di Tabanan kira-kira 20 km dari lapangan terbang antarabangsa  Denpasar, destinasi ini menawarkan pemandangan yang cukup menakjubkan. Formasi tebing tinggi dan batu-batan yang terhasil akibat hakisan air laut telah memberikan seribu satu rahmat buat daerah ini.
Dipercayai sekitar abat ke 15, Sami Nirartha telah membina kuil di Tanah Lot bagi mengagungkan Tuhan laut di Bali. Kuil ini dipercayai mengawal roh-roh jahat serta penceroboh dan kononnya terdapat seekor ular besar yang melindungi kuil tersebut.
Banyak perkara menarik yang ditawarkan pulau eksotik ini. Dari kehidupan spiritualnya sehinggalah sajian makanannya yang hebat. Dari aktiviti luncur ombak  atau  surfing sehinggalah  meneroka keindahan alam di hutan yang mencabar. 

Bali juga sering menjadi destinasi percutian buat pelancong dari Malaysia. Tidak kira untuk  tujuan berbulan madu mahupun percutian insentif, Bali menawarkan percutian yang sempurna buat tetamunya. Terima kasih buat Buraqoil & IPTB Sdn Bhd yang membawa saya bersama warga Buraqoil yang merupakan peneraju stesen minyak luar bandar terkemuka di Malaysia. Menerusi rombongan tersebut wakil pengedar rangkaian Buraqoil yang terbaik telah dibawa bercuti ke Bali menerusi pakej selama empat hari tiga malam.


Oleh : Azlie Halim

Terima kasih : Buraqoil / IPTB Sdn Bhd

 







2 comments:

  1. Assalam Deputy, o, ko dah g ikut rombongan Buraqoil bkn promosi saja...tahniah.

    ReplyDelete
  2. Tuan Guru Murshidul Am... terima kasih.

    ReplyDelete