Friday, February 27, 2015

Keajaiban Semulajadi Jeju

Pulau Jeju (Jeju-do) adalah pulau terbesar di Korea dan terletak di sebelah selatan Semenanjung Korea. Pulau Jeju adalah satu-satunya wilayah berotonomi khusus Korea Selatan dan juga wilayah yang terkecil. Di tengah-tengah pulau ini tersergam puncak gunung Halla yang tingginya mencecah 1,950m di atas paras laut, merupakan gunung tertinggi di seluruh Korea. Ada lebih kurang 750 orang Islam kini tinggal di Jeju. Mereka datang dari negara-negara Islam seperti Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain. Dianggarkan seramai 60,000 orang Islam datang melancong ke Jeju setiap tahun,

Jeju kini telah diiktiraf sebagai salah satu dari 7 Wonders of Nature yang baru. Uniknya pulau Jeju ini ialah keseluruhan pulau itu dipenuhi kecantikan alam semulajadi ciptaan Tuhan, di mana-mana kita dapat melihat tumbuhan-tumbuhan semulajadi menghiasi bandar dan di selang-seli dengan kebun atau ladang yang diusahakan penduduk.  Antara lokasi keindahan semulajadi  Jeju adalah Mount Halla. Nikmati keindahan pepohon yang menghijau di sini. Udaranya cukup segar dan bersih. Menariknya di Mount Halla terdapat sebuah jalan misteri. Matikan enjin kenderaan dan lepaskan brek. Ajaibnya kereta yang dimatikan enjin ini akan mendaki gunung ini. Ini sebenarnya terjadi kerana fenomena gravity hill di mana jalan yang dilihat seperti menaiki bukit sebenarnya menurun sedikit. Jika pelancong berada di dalam kereta, ilusi menjadikan kereta seperti sedang mendaki bukit.

Selain itu tarikan lain adalah Sendi Kolumnar (columnar-jointed lava) di Pantai Jeju Jungmun Daepo. Ia adalah tebing berbatu yang menyusuri sepanjang kira-kira dua kilometer di sepanjang garis pantai dari Jungmun Dong ke Daepo Dong di wilayah Seogwipo. Ia terbentuk kerana proses penyejukan dan pemejalan aliran basalt dari gunung berapi Nokhajiak di antara 14,000 ke 25,000 tahun yang lalu. Ia membentuk sendi-tiang yang dibentuk oleh lava basalt. Apabila lava basalt yang bersuhu tinggi menyejuk, ia mengecut dan sering menghasilkan sendi kolumnar. Jika dilihat dari atas, kolum-kolum dari batuan basalt ini berbentuk poligon bersisi 4,5 atau 6. Kolum-kolum basalt setinggi 25m kelihatan seperti disusun rapi, unik dan sangat cantik.

Air terjun juga antara tarikan semulajadi terbaik di Jeju. Terdapat  tiga air terjun yang terkenal di sini. Salah satu diberi nama Cheonjiyeon (bermaksud air terjun yang menghubungkan langit (Ch’eon) dan bumi (ji)). Begitu ramai pelancong yang merakamkan detik indah gambar mereka berlatar belakangkan air terjun ini. Berketinggian 22 meter dan lebarnya 12 meter, airnya cukup bersih dan sejuk. Air terjun ini menghala ke dalam sebuah tasik besar buatan manusia dengan kedalaman 20 meter. Dua empangan digunakan untuk menakung air yang juga berfungsi mengawal jumlah atau paras air dalam tasik. Untuk sampai ke lokasi air terjun para pelancong harus berjalan di laluan yang berlandskap menarik melalui taman tumbuhan subtropika. Ia menjadi habitat semulajadi pada 400 spesies hidupan haiwan dan tumbuhan. Dalam sungainya ada berbagai-bagai jenis ikan koi (kap) dan tasiknya pula menjadi habitat bagi belut marble (mutae eel bagi orang Korea). Itik hijrah juga boleh didapati di sini. Tidak hairanlah Jeju mendapat gelaran 7 Wonders of Nature kerana kekayaan dan keistimewaan bentuk muka bumi dan alam semulajadinya.


No comments:

Post a Comment