Thursday, January 22, 2015

Arigato Osaka

Arigato! Ungkapan yang bermaksud ‘terima kasih’ dalam Bahasa Jepun itu sering digunakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.  Arigato kepada Tourism Malaysia dan Osaka Government Tourism Bureau (OGTB) kerana merealisasikan impian saya ke Jepun menerusi jalinan kerjasama program pertukaran media anjuran kedua-dua organisasi ini. Apa yang pasti program yang dicetuskan hasil daripada lawatan Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz , Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia ke Osaka pada awal tahun ini telah berjaya membentuk satu jalinan kerjasama pintar antara kedua buah negara khsuusnya dalam sektor pelancongan.
Arigato dan tahniah  juga saya ucapkan kepada OGTB kerana mengambil inisiatif murni mempromosikan pakej pelancongan Muslim dan segala kemudahan pelancong Muslim khususnya dari Malaysia. Seramai 14 orang wakil media serta pegawai pengiring dari Tourism Malaysia telah berlepas ke Osaka, Jepun bagi meneroka keunikan pelbagai produk pelancongan di bumi Osaka.


Layanan Persis Bangsawan Golden Lounge

Perjalanan beribu batu dimulakan dengan langkah pertama. Langkah pertama saya ke Osaka bermula dengan layanan persis bangsawan di Malaysia Airline Golden Lounge. Sementara menunggu pesawat Malaysia Airline MH052 yang akan membawa saya ke Kansai International Airport Jepun, saya sempat menikmati kemudahan dan sajian makanan yang disediakan di Golden Lounge  menawarkan kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia kepada penumpangnya. Ruang menunggu untuk penumpang Kelas Satu dan Kelas Perniagaan serta pemegang kad Platinum, Gold dan Enrich ini mampu memberi kemudahan kepada lebih 400 penumpang.

Lapangan Terbang Mesra Muslim

Lapangan terbang antarabangsa Kansai (KIX) menyambut ketibaan rombongan kami dengan perkhidmatan cemerlang khusus untuk pelancong Muslim. Inisiatif pengurusan lapangan terbang ini jelas menggambarkan komitmen negara ini untuk menjadi destinasi Mesra Muslim. Di Lapangan terbang ini di sediakan 3 buah surau untuk kemudahan pelancong Muslim mengerjakan ibadat solat dengan kemudahan sejadah, telekung, tanda arah kiblat serta kemudahan mengambil wuduk. Selain itu restoran yang menyediakan sajian halal juga disediakan dengan tanda pengesahan Halal yang dikeluarkan oleh Malaysia Halal Consultation & Training Agency.

Pesta Sajian Malaysia Travel Café

Roti Canai dan Teh Tarik di Osaka? Nampak mustahil tapi inilah realitinya apabila saya berpeluang untuk menikmati sajian popular Malaysia itu di Travel Café. Kebetulan ketika kami berkunjung ke café tresebut, satu Promosi Makanan Malaysia sedang berlangsung. Promosi yang dianjurkan oleh pejabat  Tourism Malaysia di Osaka itu menyajikan pelbagai hidangan seperti roti canai, nasi lemak dan teh Tarik. Selesai menjamu selera kami berpeluang membeli belah sebuah rangkaian pusat pakaian UNIQLO yang terbaharu di Jepun.

Kemudahan Pelancong Muslim

Meskipun Osaka bukanlah didominasi oleh penduduk yang beragama Islam, namun usaha badan pelancongan di wilayah ini dalam menyediakan kemudahan untuk pelancong Muslim seharusnya dipuji, Penyediaan bilik solat untuk pelancong Muslim mengerjakan solat di beberapa tempat awam yang menjadi tumpuan pelancong membuktikan bahawa Osaka telah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong Muslim. Kami sempat meninjau bilik solat yang disediakan di Osaka Station City. Meskipun ringkas tetapi ia sudah cukup untuk memberikan keselesaan buat pelancong Muslim menunaikan ibadat solat. Begitu juga dengan hotel-hotel yang mesra Muslim di sini, kebanyakkan biliknya disediakan tanda arah kiblat dan sejadah untuk tetamu Muslim.
Di Osaka kami berpeluang menginap di Imperial Hotel Osaka yang merupakan antara hotel bertaraf 5 bintang yang ‘mesra Muslim’. Penyediaan tanda arah kiblat, sejadah, ruang mengambil wuduk sesungguhnya memudahkan lagi pelancong Muslim untuk mengerjakan ibadat solat di dalam bilik hotel.

 

Jalan-Jalan Kota Osaka

Rangkaian kemudahan awam di Osaka memudahkan perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi. Sama ada menaiki keretapi laju ataupun hanya berjalan kaki, aktiviti ‘makan angin’ di Osaka cukup mudah. Jika ingikan keselesaan anda boleh menaiki teksi untuk ke mana-mana destinasi pilihan anda. Bandar Osaka juga dihubungkan dengan perkhdimatan keretapi laju dari  lapangan terbang antarabangsa Kansai dengan perjalanan hanya 37 minit sahaja.

Taman Terapung Umeda

Jika berkunjung ke  Osaka, jangan lupa singgah ke Umeda Sky Building yang lebih dikenali sebagai taman terapung. Berketinggian 173 mete, anda boleh saksikan pemandangan 360 darjah bandaraya Osaka di puncak bangunan ini.  Selain melihat pemandangan indah di menara di sini juga turut disediakan beberapa restoran untuk anda menjamu selera. Jangan lupa abadikan kenangan paling indah anda di sini dengan berlatar belakangkan pemandangan bandaraya Osaka yang indah mempesona. Dibuka mulai jam 10 pagi hingga jam 10 malam, anda cuma dikenakan charge RM28.00 untuk masuk melawat ke Taman Terapung Umeda ini.

 

Tradisi Disanjung Tinggi

Bagi meraikan kumpulan wakil media Malaysia yang menyertai program ini, satu majlis makan malam telah diadakan di Yamamoto Noh Theater yang terletak di tengah-tengah kota Osaka.  Majlis yang dihadiri oleh wakil daripada Tourism Malaysia, Osaka Government Tourism Bureau, Malaysia Airline telah dimulai dengan tradisi meminum teh Jepun. Sambil menyaksikan pertunjukan teater tradisi di sini, kami disajikan dengan pelbagai sajian tradisi Jepun yang cukup menyelerakan. Apa yang pasti sajian yang disediakan di sini adalah Halal dan bersih sesuai untuk pelancong Muslim.
Pusat teater ini telah dibangunkan oleh
 YAMAMOTO Hiroyuki (1890-1973) pada sekitar tahun tahun 1921.  Walau bagaimanapun panggung ini telah rosak teruk akibat perang dan dibangunkan semula  pada tahun 1950.

Istana Osaka

Jika ke Osaka, tidak sah kalau tidak ke Istana Osaka. Paling tidak rakamlah detik indah pada sudut terbaik berlatarbelakangkan Istana Osaka yang menjadi ikon bandaraya ini. Istana Osaka terletak di dalam Taman Istana Osaka dan telah berusia lebih 400 tahun. Namun sebelum ke sini, kami sempat menaiki feri persiaran Osaka River Cruise dari jeti Hotel Imperial ke jeti yang terletak berhampiran dengn taman Istana Osaka ini. Meskipun cuma dapat melihat istana ini dari jarak jauh namun ia sudah cukup memberikan kepuasan kepada kami untuk bergambar kenang-kenangan di sini.

 

Hard Rock Café

Bagi kebanyakkan rakyat Malaysia, kunjungan ke Hard Rock Café adalah satu kewajiban tatkala berkunjung ke luar negara. Selain membeli cenderamata seperti baju T-Shirt Hard Rock Café, pelbagai sajian makanan yang menyelerakan turut disajikan di sini. Di Osaka terdapat dua rangkaian Hard Rock Café yang boleh anda kunjungi iaitu di bandar Osaka dan juga di Universal CityWalk Osaka.

Riang Ria Di Universal Studio Japan

Explorasi ke Osaka diteruskan lagi ke taman tema Universal Studio Japan (USJ). Pelbagai tariak dan permainan tersedia untuk setiap pengunjung. Tarikan terbaharu semestinya Harry Porter yang mencetuskan fenomena dalam industri perfileman antarabangsa dan juga Christmas Illumination. Selain itu pelbagai tarikan lain speerti Elmo’s Bubble Bubble, The Flying Snoopy, Hello Kitty’s Ribbon Collection, Amazing Adventures of Spider-man, dan bermacam-macam lagi turut disediakan disini. Pilih sahaja apa yang menjadi idaman hati anda.

------------------------------

ISTIMEWA:
Osaka Amazing Pass

Dengan harga tiket serendah 2,300 yen, anda boleh menaiki tren keretapi bawah tanah, dan bas kota sepanjang hari . Anda juga boleh menggunakan tiket ini  untuk ke 28 lokasi pelancongan di Osaka secara percuma. Antaranya muzium, ferris wheel, Santai Maria day cruise, Floating Garden Observatory dan banyak lagi. Terdapat juga kupon-kupon diskaun dan buku panduan. Untuk maklumat lanjut layari laman web : www.osaka-info.jp/osp/en/

Oleh: AZLIE HALIM
terima kasih: Tourism Malaysia, Osaka Government Tourism Bureau, Malaysia Airline

No comments:

Post a Comment