Wednesday, October 15, 2014

Pelancongan Eratkan Persahabatan


Aktiviti lasak  sama ada mendaki gunung atau apa juga aktiviti yang menguji kekuatan mental merupakan satu aktiviti riadah yang dapat mengeratkan lagi semangat berpasukan dan setia kawan.

Selain dapat menikmati keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan, dalam masa yang sama kita sebenarnya  akan dapat mengenali dengan lebih dekat lagi kawan kita. Di dalam hutan, semasa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran, kita akan dapat lihat siapa sebenarnya kawan, siapa sebenarnya lawan. Siapa yang pentingkan diri sendiri dan siapa yang prihatin membantu orang lain.

Situasi sebegini sering berlaku lebih-lebih lagi pada saat-saat genting di dalam hutan. Ada yang menangis kerana ketakutan ada juga yang mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan rakan yang memerlukan bantuan.  Jangan tengok orang lain ! Cuba lihat diri kita sendiri dahulu... Adakah kita pentingkan diri sendiri atau mengutamakan orang lain? Sikap sebenar kita secara tidak langsung akan terserlah dengan sendirinya. Sikap sebenar kawan kita juga akan terserlah tanpa dapat disembunyikan lagi. Ada yang panas baran dan ada yang sabar menghadapi cabaran.  Inilah masanya untuk kita mengenali dengan lebih dekat lagi siapakah diri kita yang sebenarnya. Muhasabah diri sendiri dengan aktiviti lasak di dalam hutan belantara sememangnya memberikan kesan yang mendalam dalam mencetuskan perubahan positif dalam diri seseorang itu. Bagi yang ingin mencari ‘pasangan hidup’ aktiviti lasak sebegini mungkin boleh dijadikan satu ‘peperiksaan’ tidak rasmi untuk menguji tahap kesetiaan pasangan kita tersebut. Maka tidak hairanlah mereka yang sering melakukan aktiviti lasak secara berkumpulan akan bertemu ‘jodoh’ mereka yang paling ideal di dalam hutan dan mereka akhirnya mendirikan rumah tangga. Segala rintangan dan cabaran semasa melakukan aktiviti lasak di dalam hutan dapat mereka ‘aplikasikan’ dalam kehidupan berumah tangga dan akhirnya mewujudkan suasana harmoni dalam keluarga.

Justeru saya berharap agar kita dapat membuka minda kita dengan memberikan satu persepsi yang maha luas tentang aktiviti-aktiviti lasak yang kita lakukan itu. Sekali-sekala cuba nilai semula diri kita kerana setiap apa yang berlaku itu sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Encik Kamal Pelopor dan pasangannya Dayana yang merupakan orang yang cukup aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti lasak dan mendaki gunung. Mungkin juga beliau bertemu pasangannya menerusi aktiviti lasak yang mereka sertai.

No comments:

Post a Comment