Wednesday, July 2, 2014

Sudah Ke Belum?

Perjalanan lebih  5 jam dengan laluan yang berliku membawa saya ke satu daerah yang cukup mendamaikan. Rasa letih terlerai tatkala melihat alam indah ciptaan Tuhan di Hutan Hujan Belum-Temenggor. Bunyi unggas rimba yang berirama harmoni menyambut mesra kehadiran saya di syurga rimba dara ini.

Kehadiran Belum Rainforest Resort di Pulau Banding ternyata mengubah landskap kawasan Hutan Hujan Tropika Royal Belum. Resort eksklusif yang  dibangunkan oleh Kumpulan Emkay ini bagaikan pelengkap kepada eko sistem kawasan ini. Pelaburan lebih RM100 juta oleh Kumpulan Emkay untuk membangunkan Belum Rainforest Resort ini membuktikan kesungguhan dan semangat yang tinggi kerana pelaburannya untuk memulangkan hasilnya kepada komuniti, negara dan yang lebih penting untuk generasi akan datang.

 Hutan Hujan Belum-Temenggor yang berusia 130 juta tahun itu, lebih tua daripada Hutan Amazon, terkenal dengan keunikan spesies biodiversitinya yang hampir pupus selain banyak unsur perubatan dan nilai terapeutik berharga di dalam hutan itu.

Sebagaimana tradisi yang dijalankan oleh Kumpulan Emkay, setiap projek yang dijalankan di sesebuah kawasan perlu mengambil kira penglibatan masyarakat setempat. Begitulah prinsip yang dipegang oleh Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Dato' Seri Dr Mustapha Kamal dalam setiap projek yang dijalankan sejak dahulu lagi. Justeru, kehadiran projek Belum Rainforest Resort di Pulau Banding turut membawa limpahan rahmat buat seluruh alam di Hulu Perak khususnya di Royal Belum.
 
 “Adalah menjadi tradisi dimana sahaja, Kumpulan Emkay  membuat kerja, kita  tidak mahu orang-orang sekelilingnya hanya menjadi penonton. Kita mahu  orang sekeliling   menyertai  kami dengan peluang-peluang   yang ada,” kata Tan Sri Mustapha Kamal.

Hutan Belum yang rata-ratanya dihuni oleh masyarakat Orang Asli turut menerima percikan kenikmatan daripada kehadiran Kumpulan Emkay di kawasan ini. Siapa sangka di dalam kawasan terpencil perkampungan Orang Asli, wujud satu pusat pendidikan awal kanak-kanak dengan sistem pembelajaran yang cukup komprehensif. Perpustakaan Permainan ( Toy Library)  satu projek tanggungjawab sosial (CSR) yang dibangunkan oleh Yayasan Emkay merupakan satu inisiatif murni kumpulan tersebut dalam memberikan pendidikan awal kepada anak- anak Orang Asli. Pendekatan  ini dilihat berkesan dalam membantu dalam aspek pendidikan ini adalah melalui pendidikan awal kanak-kanak golongan sasaran ini.
 
Pendekatan terbaik memperkenalkan aspek pendidikan awal kanak-kanak adalah melalui pengenalan elemen ’bermain’ atau ’fun’, bagi menarik minat kanak-kanak untuk hadir ke ”sekolah”.  Saya sendiri sempat berkunjung ke sebuah iPlay Toy Library Toy Library yang dibangunkan di Kampung Semelor  sekali gus meninjau keberkesanan program yang dijalankan. Apa yang pasti inisiatif ini dilihat mampu menarik minat masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan ilmu pengetahuan menerusi kaedah pendidikan yang bersistematik.


Cetus Budaya Cintakan Alam

Bukan manusia sahaja yang mendapat 'rahmat' daripada kehadiran Kumpulan Emkay di kawasan ini, malah seluruh alam semulajadi termasuk penghuni rimba Royal Belum juga turut menerima nikmatnya.
 
Tahukah anda bahawa kawasan di Hutan Hujan Belum-Temenggor terdapat spesies burung engggang yang lebih banyak daripada negeri   daripada Sarawak. Maka khazanah alam semulajadi yang ada di sini patut kita hargai dan pelihara sebaik mungkin. Bagi memastikan kelestarian alam semula jadi sekali gus memastikan alam semulajadi di kawasan tersebut terus terpelihara Kumpulan Emkay telah menubuhkan program Green Ranger Malaysia di Base Camp Banding.    

Menerusi program yang dijalankan di Base Camp Banding peserta akan didedahkan dengan  kesan ekologi dan ekosistem alam semula jadi. Menerusi pendekatan ini peserta diharapkan dapat lebih mencintai dan menghargai alam sekitar.

Kunjungan Perdana Menteri

Keunikan alam semula jadi Royal Belum telah menarik perhatian  Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak  untuk meluangkan masa menghayati keindahan alam di sini. Beliau yang berpuas hati terhadap pembangunan di kawasan tersebut turut menyarankan agar  agensi berkaitan mengkaji kriteria dan garis panduan bagi membolehkan Hutan Hujan Tropika Belum-Temengor mendapat pengiktirafan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
 
Beliau berkata, kerajaan akan berusaha membangunkan hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun itu kerana menepati spesifikasi nilai warisan dan ekonomi sekali gus berupaya menarik lebih banyak kunjungan pelancong.

“Sekiranya memenuhi kriteria, kerajaan Malaysia akan berusaha menjadikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Bila ada klasifikasi tersebut, akan ada nilai ekonomi dan ramai pelancong akan datang ke sini tetapi mesti dibawa secara yang terancang dan dikawal rapi, kita hendak pelancongan yang berkualiti," katanya.

Dalam kunjungan beliau ke Royal Belum baru-baru ini beliau telah  merasmikan pembangunan Belum Rainforest Resort Fasa Kedua di Pulau Banding.
 
Turut  hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal.

Pembangunan fasa kedua Belum Rainforest Resort merangkumi pembinaan 36 Deluxe Suit, enam buah calet tradisional bercirikan rumah kampung, sebuah vila eksklusif, kolam renang dan sebuah ‘base camp’, sebagai tambahan kepada 70 bilik sedia ada.
 
Selain itu, Najib turut menzahirkan pengalaman unik berada di Belum Rainforest Resort yang disifatkan berbeza dengan lawatannya sebelum ini sekali gus mengingatkan beliau akan ayahandanya, Tun Abdul Razak iaitu orang yang bertanggungjawab membuka Empangan Temengor di sini pada 1974.

Oleh : Azlie Halim
Terima kasih : Kumpulan EMKAY, Yayasan Pulau Banding, Belum Rainforest Resort
Foto : Munzir, Teng Wei & Fitri Shawal



No comments:

Post a Comment