Friday, July 18, 2014

MH17 Kisah Apa Yang Tersirat?

Belum pun reda kisah kehilangan pesawat MH370, Negara dikejutkan lagi dengan tragedi MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine.
Dalam situasi sekarang cuba elakkan membuat spekulasi.. Kenyataan bersifat sentiment akan merumitkan lagi keadaan. Seluruh Malaysia sedang bersedih sekarang. Kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab harus lebih prihatin dan bersimpati dengan nasib mangsa MH17. Soal siapa yang salah atau siapa yang betul tidak seharusnya disensasikan. Marilah kita sama sama berdoa agar segala permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik...
Walau bagaimana pun hidup harus diteruskan. Usah jadikan insiden tersebut menjadi hambatan kepada kita semua untuk terus mengharungi kehidupan yang kian mencabar. Dalam kontek pelancongan khususnya, insiden ini sudah cukup memberikan tamparan hebat kepada industri pelancongan. Ketika negara bersiap sedia menyambut kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, insiden kehilangan pesawat MH370 dan MH17 ini harus ditangani secara bijaksana.  Situasi ini tentunya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi negatif. Kebimbangan ini turut menarik perhatian Perdana Menteri dengan mengeluarkan kenyataan bahawasanya industri pelancongan negara tidak terjejas akibat insiden tersebut. Meskipun ada juga sesetengah pihak yang seperti tidak setuju dengan kenyataan tersebut, tetapi kita harus yakin bahawa setiap apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya.
Sesungguhnya  ramai yang bersimpati dan saya juga turut bersimpati dengan 295 orang mangsa yang terdiri daripada penumpang dan anak kapal. Dalam masa yang sama kita juga turut bersimpati dengan nasib industri pelancongan negara yang mungkin akan kehilangan sasaran jumlah ketibaan pelancong yang disasarkan sebanyak 28 juta pada tahun 2014.
Tatkala pihak kerajaan dan seluruh dunia sibuk mencari jalan penyelesaian terhadap tragedi tersebut kita sebagai penggiat industri pelancongan harus juga lebih proaktif 'mencari' formula yang terbaik untuk memperkasakan lagi industri pelancongan kita.
Ada juga yang secara bersahaja menyatakan kepada saya bahawa insiden ini telah mempopularkan negara kita di seluruh dunia. Masyarakat dunia mula kenal  Malaysia khususnya Malaysia Airlines. Memang benar negara kita kian dikenali ramai, tetapi sejauh manakah kita gunakan kesempatan ini untuk mempopularkan negara kita juga sebagai destinasi pelancongan utama pilihan pelancong dunia.
Saya berharap pihak yang berkaitan dengan industri pelancongan serta penggiat pelancongan yang bijak pandai dapat mewujudkan satu pelan tindakan pengurusan krisis yang lebih komprehensif agar dapat memastikan industri pelancongan negara akan terus subur meskipun diancam dengan pelbagai krisis.

No comments:

Post a Comment