Wednesday, May 14, 2014

Mencari Hikmah Bukan Spekulasi

Tatkala dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370, pelbagai spekulasi tercetus sekali gus mengundang misteri.  Ketika saya menulis nota ini, masih belum ada sebarang petunjuk tentang misteri kehilangan pesawat itu yang khabarnya berakhir di Selatan Lautan Hindi.
Rasa sedih dan gelisah menunggu nasib penumpang dan anak kapal MH370 tetap dirasai khsusnya buat keluarga dan sahabat handai. Walau bagaimana pun hidup harus diteruskan. Usah jadikan insiden tersebut menjadi hambatan kepada kita semua untuk terus mengharungi kehidupan yang kian mencabar. Dalam kontek pelancongan khususnya, insiden ini sudah cukup memberikan tamparan hebat kepada industri pelancongan. Ketika negara bersiap sedia menyambut kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, insiden kehilangan pesawat MH370 ini harus ditangani secara bijaksana.  Situasi ini tentunya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi negatif. Kebimbangan ini turut menarik perhatian Perdana Menteri dengan mengeluarkan kenyataan bahawasanya industri pelancongan negara tidak terjejas akibat insiden tersebut. Meskipun ada juga sesetengah pihak yang seperti tidak setuju dengan kenyataan tersebut, tetapi kita harus yakin bahawa setiap apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya.

Sesungguhnya  ramai yang bersimpati dan saya juga turut bersimpati dengan kehilangan 227 orang penumpang dan 12 anak kapal MH370. Dalam masa yang sama saya juga turut bersimpati dengan nasib industri pelancongan negara yang mungkin akan kehilangan sasaran jumlah ketibaan pelancong yang disasarkan sebanyak 28 juta pada tahun 2014.

Tatkala pihak kerajaan dan seluruh dunia sibuk meneruskan misi mencari pesawat MH370, kita sebagai penggiat industri pelancongan harus juga lebih proaktif 'mencari' formula yang terbaik untuk memperkasakan lagi industri pelancongan kita.

Ada juga yang secara bersahaja menyatakan kepada saya bahawa insiden MH370 telah mempopularkan negara kita di seluruh dunia. Masyarakat dunia mula kenal  Malaysia khususnya Malaysia Airlines. Memang benar negara kita kian dikenali ramai, tetapi sejauh manakah kita gunakan kesempatan ini untuk mempopularkan negara kita juga sebagai destinasi pelancongan utama pilihan pelancong dunia.

Saya berharap pihak yang berkaitan dengan industri pelancongan serta penggiat pelancongan yang bijak pandai dapat mewujudkan satu pelan tindakan pengurusan krisis yang lebih komprehensif agar dapat memastikan industri pelancongan negara akan terus subur meskipun diancam dengan pelbagai krisis.

No comments:

Post a Comment