Thursday, April 17, 2014

Penggiat Pelancongan Harus Kreatif

Salam hormat dan salam  1 Malaysia. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penggiat industri pelancongan  khususnya buat pihak Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia serta Tourism Malaysia diatas kejayaan mencapai jumlah kehadiran pelancong sebanyak 25.7 juta orang pelancong pada tahun 2013. Meskipun terpaksa bertarung dengan pelbagai cabaran yang menggugat industri pelancongan negara pada tahun 2013, namun dengan usaha gigih semua pihak, jumlah kehadiran pelancong dilihat menunjukkan peningkatan yang membanggakan.  
Tatkala pihak kerajaan merancang pelbagai strategi untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya maju, adakah kita sebagai penggiat industri pelancongan telah bersedia dengan produk pelancongan yang berinovasi ? Adakah kita sudah bersedia dengan perancangan yang strategik dalam menarik kunjungan pelancong? Adakah kita berupaya memberikan khidmat yang terbaik bagi memenuhi citarasa pelancong? Jawapannya terletak kepada diri kita sendiri. Apa yang pasti sebagai penggiat industri pelancongan yang bertanggungjawab, kita harus lebih kreatif dan proaktif dalam mempromosikan produk pelancongan kita.

Kreatif dalam erti kata kita harus lebih bersedia bersaing secara sihat dengan produk-produk pelancongan dari luar negara yang semakin mendapat tempat di hati pelancong.

Saya percaya pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana bagi menyokong industri pelancongan negara. Tidak cukup dengan itu pelbagai agensi kerajaan telah diwujudkan bagi memperkasakan lagi industri pelancongan negara. Tourism Malaysia umpamanya bertindak sebagai agensi yang mempromosikan produk-produk pelancongan sama ada untuk pelancong domestik mahupun antarabangsa. Mereka telah melakukan pelbagai inisiatif bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan kita dengan pelbagai . Kadang-kadang saya rasa simpati melihat pegawai-pegawai di Tourism Malaysia yang sampai tiada masa untuk berehat demi untuk memastikan industri pelancong berada ditahap yang cemerlang. Usaha mereka yang ‘berkhidmat untuk negara’ ini harus dipuji kerana tanpa usaha mereka ini sektor pelancongan mungkin akan lesu.

Kini tiba masanya kita sebagai penggiat pelancongan untuk memainkan peranan kita sebagai penggerak industri pelancongan negara sekali gus melakukan transformasi pelancongan yang mampan. Bagi yang telah melakukan ‘transformasi’, tahniah saya  ucapkan dan teruskan lagi usaha murni anda itu sehingga berjaya. Bagi yang masih tercari-cari hala tuju, carilah jalan bijak bagi menongkah arus semasa industri pelancongan.

Kita sudah tidak mempunyai banyak masa untuk tunggu dan lihat lagi. Persatuan dan pertubuhan berkaitan sektor pelancongan seperti MATTA, MAH, MBHA, MAHO, Bumitra dan sebagainya harus tampil segera dengan idea dan usaha yang lebih kreatif dalam mempromosikan produk pelancongan kita.

Penggiat industri  pelancongan perlu lebih proaktif dan agresif dalam mempromosi acara atau produk pelancongan dalam usaha kita menarik lebih ramai pelancong datang ke negara  ini.  Selain itu pengusaha produk pelancongan tidak harus leka dengan limpahan pelancong yang datang ke negara ini kerana situasi ini pasti akan berubah sekiranya kita gagal menyediakan perkhidmatan yang baik kepada tetamu kita. Justeru saya berharap semua penggiat pelancongan harus segera  menambah nilai mutu perkhidmatan serta pakej pelancongan yang disediakan agar ia lebih menarik, komprehensif dan kompetitif.

Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing secara sempurna, saya percaya industri pelancongan negara mampu menjadi penyumbang utama ekonomi negara.

Ingatlah bahawa sektor ini bukan sahaja membawa rahmat buat penggiat pelancongan sahaja malah ‘rahmatnya’ turut dinikmati oleh pelbagai sektor lain umpamanya seperti sektor pengangkutan, peruncitan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment