Friday, February 28, 2014

Kita Sebagai Produk Pelancongan



Syukur Alhamdulillah, negara kita kini telah menjadi antara negara yang paling diminati oleh pelancong asing.  Perkembangan positif ini sesungguhnya memberikan khabar gembira buat seluruh penggiat industri pelancongan khususnya pengusaha hotel dan resort tanah air.

Rasa bangga terpatri di hati apabila dapat melihat industri pelancongan kita yang kian berkembang pesat dengan munculnya banyak hotel-hotel bertaraf antarabangsa di ibu kota. Lebih bangga lagi apabila hotel tersebut dimiliki dan diuruskan sendiri oleh 'orang tempatan' yang membawa jenama yang lahir di Malaysia.

Sama ada kita sedar mahu pun tidak, antara perkara yang menjadi daya tarikan untuk pelancong datang ke negara ini adalah sosio budaya kita. Mereka mahu melihat masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa seumpama slogan yang dilaungkan oleh pihak Tourism Malaysia dalam mempromosikan Malaysia di luar negara iaitu 'Malaysia Truly Asia'. Namun kita acapkali lupa kekuatan kepelbagaian budaya yang kita ada sehinggakan kita sering terlepas pandang bahawa pelancong asing yang datang ke negara kita ini sebenarnya ingin melihat ‘kita’ yakni masyarakat Malaysia. Pendek kata kita sebagai masyarakat Malaysia adalah ‘produk pelancongan’ yang cukup bernilai.

Kita sebagai masyarakat Malaysia menjadi ‘perhatian’ mereka (pelancong asing)  tatkala mereka melancong ke negara ini. Jika tingkah laku dan peradapan kita baik, mudah-mudahan imej pelancongan negara juga akan dilihat baik. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku, maka tidak mustahil  imej pelancongan kita juga akan turut terpalit dengan imej yang negatif.

Pelancong asing mempunyai persepsi yang berbeza. Lebih-lebih lagi mereka yang baru pertama kali datang ke negara ini. Selain melihat keindahan destinasi pelancongan yang mempesonakan, wajah-wajah kita sebagai masyarakat Malaysia akan turut menjadi latar belakang produk pelancongan kita.

Wajah kita sebenarnya adalah cerminan negara kita. Maka dengan itu sebagai antara ‘produk pelancongan’ yang berpengaruh, kita sebagai masyarakat Malaysia harus lebih  bertanggungjawab dengan mempamerkan nilai-nilai murni dalam usaha kita memikat kunjungan pelancong asing.

Tahniah kepada anda yang telah membudayakan pelancongan dalam kehidupan anda dan berusaha kearah memartabatkan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat tempatan. Semoga usaha kita yang sedikit ini akan berupaya melonjakkan imej positif industri pelancongan negara kita. Alangkah indahnya budaya tempatan kita. Jika kita sendiri tidak menghargainya siapa lagi yang akan menjaganya? Tepuk dada tanya selera!


No comments:

Post a Comment