Friday, January 24, 2014

Cabaran Tahun Melawat Malaysia 2014

Setelah lebih setahun kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 bermula seawal Januari 2013, kini tibalah masanya kita menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014. Ada yang kata kita masih tidak bersedia untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini. Tapi bagi saya sama ada kita bersedia atau pun tidak kita mesti laksanakan juga ‘Misi Nasional’ ini demi mencapai sasaran pelancong sebanyak 36 juta pada tahun 2020.
Setiap kali kita ingin menganjurkan acara besar seperti Tahun Melawat Malaysia kita pasti berhadapan dengan cabaran dan rintangan walaupun cabarannya berbeza. Cabaran dan rintangan datang tanpa diundang dan tanpa kita sedari. Namun segala cabaran mesti ditangani dengan baik dan berhemah.
Bagi saya cabaran yang paling utama adalah bagaimana kita ingin mengembalikan keyakinan pelancong untuk datang melawat Malaysia selepas beberapa insiden yang melibatkan keselamatan dan keselesaan pelancong terjejas.
Isu seperti kes jenayah yang melibatkan keselematan pelancong asing dan banjir besar yang berlaku di pantai timur semenanjung Malaysia  yang berlaku dipenghujung tahun 2013 adalah antara isu besar yang membuatkan pelancong hilang keyakinan untuk memilih negara ini untuk melancong. Itu belum lagi soal sentimen politik yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab dengan merancang demonstrasi menggulingkan Kerajaan.
Selain kita sibuk membuat promosi di dalam dan luar negara dengan pelbagai kempen mempromosikan destinasi dan acara bersempena Tahun Melawat Malaysia, kita juga harus bersedia dengan pelbagai plan tindakan dan pengurusan krisis untuk memulihkan keyakian pelancong yang terhakis dek insiden yang diluar jangka tersebut.
Saya percaya pihak yang bertanggungjawab telah sedia menjalankan peranan mereka dan berharap mereka akan lebih proaktif dalam mengangani cabaran tersebut.
Soalnya sekarang, sebagai masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab sudahkah kita bersedia dengan cara kita sendiri untuk membantu menjayakan Tahun Melawat Malysia 2014. Usah kita cuma meletakkan beban menghadapi cabaran itu kepada pihak Kerajaan sahaja. Demi untuk masa depan industri pelancongan yang lebih cemerlang, kita harus sama-sama berganding bahu menyokong aspirasi pelancongan negara. Jika kita tidak mampu berikan wang ringgit mahupun keringat, cukuplah sekadar berikan senyuman kepada pelancong. Kita adalah ‘Tuan Rumah’ Tahun Melawat Malaysia. Maka dengan itu sebagai tuan rumah yang baik, sama-samalah kita sambut kedatangan pelancong dengan mesra dan senyuman. Moga-moga dengan sedikit sumbangan kita itu, ia mampu memberikan implikasi yang besar kepada imej pelancongan negara sekali gus memulihkan keyakinan pelancong kepada negara kita.

No comments:

Post a Comment