Wednesday, October 5, 2011

Destinasi Pelancongan Yang Tidak Didendangkan…

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bila sebut tentang produk pelancongan kita memang tidak pernah kalah. Daripada produk pelancongan berasaskan alam semula jadi sehinggalah seni dan warisan. Semuanya disandarkan sebagai produk pelancongan dengan harapan dapat menarik kunjungan pelancong.
Saban hari ada sahaja produk pelancongan baru yang diperkenalkan. Boleh ’jual’ atau tidak itu cerita lain. Apa yang penting idea-idea baru itu seakan mencurah-curah dalam bumi Malaysia yang makmur ini.
Bukan saya tidak suka dengan produk pelancongan yang baru, tapi bagi saya biarlah berpada-pada sehingga ia tidak menenggelamkan produk pelancongan yang sedia ada. Tiada yang lama tiada yang baru. Jangan pula ada yang baru yang lama dilupakan...
Suatu ketika dahulu destinasi-destinasi pelancongan seperti Rantau Abang, Teluk Chempedak, Desaru, Bukit Larut dan sebagainya begitu popular sebagai destinasi tumpuan pelancong. Namun kini ia seakan sepi. Entah dimana silapnya atau apa sebenarnya yang berlaku.
Adakah kurang promosi atau destinasi tersebut sudah hilang ’taringnya’ dalam menarik kunjungan pelancong. Atau mungkin pelancong sudah bosan dengan destinasi yang sama lantas mencari destinasi baru yang lebih menyeronokkan. Jika pelancong tersebut ’lari’ ke destinasi lain di dalam negara itu tidak mengapa, tetapi jika mereka ’lari’ ke destinasi pelancongan di luar negara , itu sudah  tentu merugikan negara  kita.
Dalam hal ini kita tidak perlu menunding jari mencari salah siapa. Masing-masing punya alasan tersendiri dan dalam masa yang sama kita semua harus sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan produk-produk pelancongan ini tidak lenyap ditelan zaman.
Mana mungkin sesebuah pusat pelancongan boleh bertahan tanpa kunjungan pelancong. Buat agensi kerajaan yang terbabit dalam urusan mempromosikan produk pelancongan, usahlah pinggirkan produk pelancongan yang lama. Apa kata sekali-sekala kita berikan ’nafas baru’ buat produk pelancongan lama agar ianya akan terus subur sebagai produk pelancongan yang berdaya maju. Tidak salah jika kita dendangkan semula lagu lama (produk pelancongan lama) agar ia kembali diminati ramai sekali gus kembali popular sebagai produk pelancongan kebanggaan negara.
Dalam masa yang sama, kita sebagai ’pelancong tegar’ rakyat Malaysia harus berbangga dengan produk pelancongan yang kita ada. Mungkin ada destinasi pelancongan dalam negara yang pernah mencatat memori indah dalam diari kehidupan anda. Mungkin anda pernah berpacaran dan mengutip kenangan manis di Desaru suatu ketika dahulu. Apa kata kembalikan semula nostalgia lama itu dengan berkunjung semula ke destinasi pelancongan tersebut. Alangkah manisnya saat itu. Maka tercetuslah satu lagi produk pelancongan baru  yang dinamakan ’Pelancongan Nostalgia’!

1 comment:

  1. salam kenal.. jemput singgah blog hamba (Aku Sebutir Pasir) kalau nak baca pengalaman hamba kembara ke 46 buah negara.. :)

    ReplyDelete