Tuesday, May 24, 2011

Permaisuri Beradu Di Tanjung Biru

Alunan ombak petang disusuri sinar mentari senja begitu mengasyikan setiap mata yang memandang. Lambaian pepohon Rhu yang lemah gemalai bagai mengucapkan selamat datang kepada tetamunya. Umpama mimpi dalam mimpi, suasana yang mendamaikan ini menjadi realiti yang nyata tatkala menjejakkan kaki di Permasuri Resort Port Dickson yang terletak di Tanjung Biru.
Seindah namanya, Permaisuri Resort Port Dickson menawarkan percutian yang diinspirasikan oleh unsur alam menerusi terapi lautan dan pantai sambil disulami rimba tropika.
Bila bercakap soal percutian, pantai dan pulau menjadi pilihan utama. Mengapa? Ramai diantara kita yang percaya, pantai mempunyai elemen yang penting dalam memberikan ketenangan dan kedamaian. Hembusan bayu dan desiran ombak menjadi terapi kepada mereka yang mendambakan ketenangan. Lebih-lebih lagi selepas menghadapi hari-hari ’stress’ di tempat kerja.
Terletak lebih kurang 100 km dari pusat bandar Kuala Lumpur, lokasi ini begitu dekat di hati warga kota. Tidak perlu menempuh perjalanan yang jauh dan memenatkan, untuk sampai ke lokasi ini perjalanan hanya memakan masa lebih kuran 1 jam 30 minit.
Jika  dibandingkan dengan pantai-pantai penganginan yang sedia ada di Port Dickson, pantai di resort ini jauh lebih ’privasi’.  Pasir keemasan yang melingkari pantai yang luas terbentang menjadikan resort ini lebih istimewa pada mata tetamunya.
Tidak kira apa sahaja tujuan anda bertandang ke resort ini, sama ada untuk tujuan bersantai bersama keluarga atau berseminar atas urusan kerja, resort ini mampu memenuhi ’hajat’ anda itu.
Ruang bilik yang luas dan selesa amat sesuai sekali untuk mereka yang datang dalam kumpulan yang besar. Lebih menarik lagi apabila setiap bilik disertakan dengan balkoni luas yang menghadap ke laut.
Bagi aktiviti rekreasi, resort ini tidak kurang hebatnya. Daripada aktiviti air seperti kayak, banana boat, jetski dan parasailing sehinggalah aktiviti pantai seperti ATV, basikal dan berkuda semuanya ada disediakan bagi memenuhi ruang santai anda di resort ini.
Resort ini juga mempunyai satu kolam renang yang besar dan dilengkaplan lagi dengan gelonggsor bagi mempelbagaikan lagi aktiviti di kolam renang khususnya untuk kanak-kanak.
Bila malam menjelma dan perut minta diisi, lokasi menjamu selera pasti dicari. Bagi yang inginkan kelainan, pengunjung boleh memilih untuk menjamu selera di tepi pantai dengan sajian BBQ. Anda juga akan disajikan dengan pelbagai persembahan yang menghiburkan termasuklah pertunjukan tarian api yang sungguh mempesonakan.
Sebenarnya banyak lagi keistimewaan resort ini yang perlu anda terokai. Tidak jauh dari resort ini juga terletaknya rumah api Tanjung Tuan atau dahulunya dikenali sebagai Cape Richardo iaitu sebuah binaan rumah api yang pernah menjadi saksi pertempuran laut di Selat Melaka ketika zaman penjajahan Belanda dan Portugis suatu ketika dahulu.
Lebih unik lagi kawasan ini terletak berhampiran dengan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan yang terletak dalam kawasan jajahan negeri Melaka  yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.
Kawasan ini juga sering menjadi destinasi persinggahan puluhan ribu burung migrasi seperti burung helang yang terbang melintasi kawasan ini ke kepulauan Indonesia khususnya pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun.
Apa yang pasti Permaisuri Resort Port Dickson merupakan destinasi percutian yang serba sempurna dan menawarkan pengalaman percutian yang sungguh mempesonakan.

PERMAISURI RESORT PORT DICKSON
KM 16 (Batu 10), Tanjung Biru, Jalan Pantai, 71250 Port
Dickson, Negeri Sembilan.

Oleh : Azlie Halim
Gambar: Dino Alhamd
Terima kasih : Aswandy Hassan, Pengurus Besar Permasuri Resort Port Dickson

2 comments:

  1. such of beautiful resort...terasa akan panggilannya untuk bersantai di sana.thanks for sharing bro.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    Ada website tak? ada senarai harga tak?

    Terima kasih.

    ReplyDelete