Monday, May 9, 2011

Pengalaman Manis Di Homestay Banghuris

Kesibukkan kota Kuala Lumpur sekali lagi ditinggalkan untuk menikmati keindahan dan ketenangan hidup di desa kali ini di Homestay Banghuris. Nama Banghuris itu sendiri adalah gabungan tiga kampung iaitu Kg. Bukit Bangkong, Kg. Hulu Chuchuh dan Kg. Hulu Teris. Terletak di Sepang, kira-kira 45 minit dari pusat bandar, pengalaman inap desa saya cukup manis kerana telah dijamukan dengan pelbagai keluaran eksklusif penduduk tempatan yang rata-ratanya bergantung pada industri pemprosesan bahan makanan kecil-kecilan.
Saya berpeluang untuk melihat dan belajar serba sedikit tentang penghasilan bahan makanan sejuk beku keluaran Syarikat SamJ Frozen Food Enterprise dari Puan Samsiah, pengasas syarikat itu sendiri. Mengelim karipap bukanlah mudah seperti yang saya sangka, memerlukan latihan yang banyak. Nampak sangat beza orang yang membuat baru tujuh minit dengan yang sudah tujuh tahun. Setiap biji kuih, tak kisah sama ada karipap, donut, samosa dan sebagainya dipastikan berada dalam saiz yang sama, tak lebih tak kurang demi memastikan kualiti produk terjamin. Kami dijamu minum dengan sajian kuih-muih tempatan yang cukup enak berserta teh o panas.
Kami sempat singgah untuk melihat bagaimana kerepek dihasilkan di Indah Nor Enterprise. Disajikan kerepek aneka rasa, seolah-olah tidak boleh berhenti mengunyah. Mujur ada temujanji dengan warga penggerak homestay Banghuris serta YB. Dato' Dr. Karim. Walaupun separuh kekenyangan ketika makan tengahari, kami tetap menambah nasi dan lauk, selera ditambah dengan dendangan kumpulan pemuzik. Atas permintaan, saya turut menyampaikan beberapa buah lagu duet bersama tetamu kehormat.
Pengalaman saya di Banghuris jadi lebih bermakna apabila diberi peluang untuk menanam sebiji pokok kelapa pandan berdekatan dengan pusat komuniti. Saya diberitahu bahawa kerajaan sedang menggalakkan penanaman pokok oleh para pengunjung, semestinya suatu projek yang murni dan sewajarnya diteruskan. Semoga pokok-pokok yang ditanam dapat membesar dengan sihat dan sempurna dan hasilnya dapat dirasa oleh generasi akan datang . Apabila perut sudah penuh, semestinya kami mengambil masa berehat di rumah Wak Basir Wagiman yang juga merupakan Pengerusi Homestay Selangor.  Di sana kami sempat juga bermain congkak, antara permainan tradisi yang saya cukup gemari.
Walaupun tiada dalam perancangan awal, kali ini saya berpeluang mengunjungi sebuah perpustakaan desa dan sekolah menengah bagi menyampaikan buku-buku dan bahan bacaan. Apa yang pasti kunjungan saya ke Sekolah Menengah Sungai Rawang yang terletak di homestay berkenaan disambut dalam suasana yang ringkas tapi cukup bermakna. Lebih-lebih lagi saya berpeluang bermesra dengan pelajar-pelajar dan menyampaikan sedikit motivasi buat pelajar di sekolah tersebut.
Seterusnya kami dibawa melawat ladang kopi dan secara langsung berkesempatan memproses biji kopi yang dikeringkan, menjadi serbuk kopi yang boleh dibancuh untuk diminum. Aroma enak kopi menggamit rasa setiap yang melihat. Tertanya-tanya apakah sejarah wujudnya inspirasi untuk menghasilkan minuman kopi oleh mereka yang terdahulu. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami pekena kopi secawan dan sate.

Homestay Banghuris
Kampung Hulu Chuchoh
43950 Sungai Pelek, Sepang
Tel : 012 662 8548 - Haji. Basir Wagiman
Faks: 03 3142 1010



Teks : Ana Raffali Gambar : Aznaim (About A Letter A Studio) Terima kasih : Homestay Banghuris, YB Dato’ Dr Karim, Tourism Malaysia Negeri Selangor

No comments:

Post a Comment