Matic Anjur Pameran Fotografi #Kolektif1 Sempena Hari Pelancongan Sedunia 2015
Sejumlah 78 karya dan hasil foto dari pelbagai tempat pelancongan di seluruh dunia telah dipamerkan menerusi Pameran Fotografi #Kolektif1 dan Pelancaran Bas Hop on Hop off (HOHO) World Tourism Day 2015. Pameran ini bermula pada 3 September hingga 30 Oktober 2015 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).
Pameran Fotografi #Kolektif1 yang dirasmikan oleh YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia ini merupakan kerjasama strategik di antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) melalui Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dan En. Yaman Ibrahim yang merupakan jurugambar profesional terkemuka di Malaysia bersama 28 orang lagi jurugambar profesional tanah air dan juga yang didatangkan khas dari Brunei.
Menurut YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, dalam ucapannya, "kerjasama strategik yang positif menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sebegini bukan sahaja dapat menyumbang ke arah kelestarian dan merancakkan lagi industri pelancongan negara bahkan menghasilkan program yang berimpak tinggi, kos yang rendah serta dapat dilaksanakan segera".
Bertemakan '1Bilion Pelancong, 1Bilion Peluang', sambutan Hari Pelancongan Sedunia bermatlamat untuk meraikan sumbangan dan kepentingan pelancongan dalam menjana ekonomi serta membentuk dan mempengaruhi nilai-nilai sosial dan budaya.
Selain memaparkan keunikan dan kesenian dalam konteks budaya dan gaya hidup, sesungguhnya Pameran Fotografi #Kolektif1 ini diharap mampu memberi pengetahuan dan kefahaman kepada masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda di luar sana tentang aspek-aspek penting dalam menghasilkan fotografi pelancongan yang berkualiti dan berkredibiliti.
No comments:
Post a Comment