Matic.fm merupakan salah satu inisiatif strategik Pusat
Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia
di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menyemarakkan lagi sektor
Pelancongan dan Kebudayaan negara. Usahasama strategik Kementerian
Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia dan
Twin Holding Sdn Bhd ini merupakan salah satu usaha murni menerusi inisiatif
NBOS sekali gus menjayakan Plan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP).
Jalinan kerjasama ini dilihat amat signifikan dengan hala tuju Kerajaan dengan
melaksanakan projek yang berimpak tinggi, kos yang minimum dan dalam masa yang
sama MaTiC.fm ini dapat dilaksanakan dengan segera.
Radio yang berteraskan informasi pelancongan dan kebudayaan ini menggunakan
teknologi internet protocol (IP Radio) dan boleh didengar dan ditonton di seluruh
dunia secara atas talian (Online) sama ada menerusi aplikasi mudah alih Tune In di
telefon pintar ataupun menerusi laman web www.matic.fm.
MaTiC.fm turut menampilkan gandingan para penyampai radio (Deejay)
berpengalaman dan muka baru. Antara penyampai radio yang terlibat dalam
menjayakan segmen-segmen di radio ini adalah Ritchie Rahman, Nizal Mohamad,
Aziz Desa, Brolan, Arie, Azz, Aishah, Cha Sulaiman, Lia Omey, Char-B, Helmi dan
Zam Mui.
Sesuai dengan konsep NBOS Voluntourism, semua penyampai radio MaTiC.fm
menjalankan tugas secara sukarela menerusi segmen masing-masing. Komitmen
dan semangat jitu yang diberikan oleh barisan penyampai radio ini merupakan satu
usaha murni dan tanggungjawab sosial yang dizahirkan bagi membantu memajukan
lagi industri pelancongan dan kebudayaan negara.
Radio MaTiC.fm akan bersiaran selama 24 jam dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa
Malaysia. Beberapa segmen berkaitan pelancongan dan kebudayaan juga turut
dipertaruhkan bagi menarik pendengar seperti Best Of Malaysia, Anjung Budaya, We
Are The Host, Sembang Santai, Citarasa Malaysia, Celebrity Escape dan banyak
lagi.
Kelahiran MaTiC.fm diharapkan dapat menjadi platform kepada semua penggiat
industri Pelancongan Dan kebudayaan negara bagi mempromosikan produk, acara
serta perkhidmatan dalam menyemarakkan pembangunan industri ini.
No comments:
Post a Comment