Monday, August 17, 2015

Dekat Je, Jimat Belanja

Cuti-Cuti 1 Malaysia Dekat Je.. itulah slogan baru kempen pelancongan domestik Tourism Malaysia yang dipromosikan ketika ini. Penggunaan bahasa percakapan rakyat Malaysia ‘dekat je’, diharapkan akan dapat mengingatkan mereka bahawa tidak perlu pergi jauh untuk menikmati percutian yang hebat di samping   membantu merapatkan hubungan antara ahli keluarga dan sesama rakan menerusi aktiviti percutian. Meskipun dalam Kamus Dewan saya tidak jumpa perkataan ‘Je’  dalam Bahasa Melayu namun kempen promosi ini punya keunikannya yang tersendiri dan diharapkan dapat impak yang positif kepada sektor pelancongan negara. 
Dalam kita sibuk mempromosikan pelbagai kempen pelancongan, kita berhadapan dengan  cabaran isu yang lebih besar iaitu krisis matawang negara yang semakin merudum. Sehingga kini  nilai ringgit jatuh ke paras terendah RM4 = USD 1. Kejatuhan nilai ringgit tentunya akan membuatkan kita resah. Mana tidaknya, jika kita merancang untuk bercuti ke luar negara,  dengan nilai mata wang kita yang kecil mungkin menyebabkan percutian kita ke luar negara tidak berbaloi . 
Namun kita tidak boleh jadikan  alasan itu untuk tidak melancong. Jika tidak melancong ke luar negara, kita masih boleh melancong di dalam negara. Tanpa perlu menukar wang ringgit kita kepada matawang asing, kita masih boleh melancong di dalam negara ke destinasi yang mempesonakan dan yang paling penting menjimatkan belanja.
Percutian domestik sebenarnya  menawarkan pelbagai pilihan mengikut kesesuaian bajet, sama ada mahu menginap lama di bandar raya besar atau percutian singkat di bandar-bandar berdekatan, pengembaraan gastronomi merentasi beberapa buah negeri, mahupun percutian di resort mewah yang dikelilingi hutan hujan yang menghijau.
Biasanya bila memikirkan tentang percutian domestik, ia biasanya melibatkan perjalanan balik ke kampung semasa musim perayaan mahupun cuti sekolah. Namun ramai yang lupa  bahawa ada banyak tempat yang boleh dilawati pada hujung minggu, tanpa perlu mengambil cuti panjang.  Sebab itu kempen Dekat Je begitu sinonim dengan inisiatif kerajaan dalam memupuk budaya bercuti secara terancang di dalam negara. Namun dalam konteks pelancongan, kita tidak ‘dinamakan’ pelancong jika kita tidak bermalam atau menginap di lokasi percutian yang kita kunjungi itu.  Cubalah untuk bermalam di hotel, resort, rumah rehat mahupun homestay bagi melengkapkan percutian kita itu walaupun destinasi yang kita tujui itu ‘dekat je’.

Sesungguhnya
evolusi gaya hidup dan kesibukan kerja menjadikan masa itu amat berharga. Justeru adalah amat penting untuk kita meluangkan masa bersama keluarga dengan aktiviti pelancongan  hujung minggu, serta gunakanlah waktu berkualiti itu untuk menghayati keindahan destinasi pelancongan yang ada di negara kita. Tidak perlu pergi jauh dan berbelanja besar, semuanya ‘ dekat je , jimat belanja dan ekonomi negara sejahtera’.

No comments:

Post a Comment