Friday, May 22, 2015

Melbourne Yang Mesra Muslim


Bandar Melbourne terkenal kerana keindahan kepelbagaiannya dan menjadi pusat pertembungan pelbagai budaya. Dari pengaruh Itali di Lygon Street hingga penempatan Vietnam di Springsvale, kepelbagaian budaya di Melbourne jelas kelihatan pada aneka pilihan makanan di seluruh bandar ini. Populasi Muslim yang semakin berkembang juga telah membawa kepada peningkatan jumlah masjid dan tempat makan berstatus Halal di dalam dan luar bandar ini, menjadikan Victoria sebuah negeri yang sangat sesuai untuk pelancong Muslim.
Dengan bulan Ramadan yang bakal tiba, pelbagai persiapan kini sibuk dilakukan di kejiranan lama Brunswick yang didiami sejumlah besar golongan Muslim. Kedai-kedai berstatus Halal membarisi Sydney Road, dengan beberapa kedai daging dan restoran Halal serta kedai-kedai pakaian Islam. Di sektor Timur Tengah di atas bukit Brunswick, pelbagai kedai dan pasar Brunswick menawarkan barangan runcit, manisan dan pastri yang eksotik, roti tebal Turki dan roti leper Lubnan serta piza yang dibakar di dalam ketuhar yang dihasilkan daripada pelbagai resipi dari Timur Tengah. Antara restoran yang paling terkenal di Sydney Road adalah Tiba’s yang telah lama menghidangkan makanan tradisional Lubnan yang berkualiti tinggi dan dihasilkan sendiri. Ia seakan sebuah institusi, sentiasa dipenuhi pengunjung dan rotinya yang ringkas, gebu dan hangat dari ketuhar sememangnya tidak boleh ditolak. Tidak jauh dari Tiba’s terdapat sebuah restoran Turki yang sangat meriah – Adanali – yang turut menampilkan persembahan muzik secara langsung dan tarian gelek. Terdapat banyak restoran Turki di kawasan ini tetapi restoran ini adalah yang terbaik dari segi nilai, suasana dan kualiti makanan.Pelancong Muslim tidak perlu risau tentang makanan ketika melancong di sini kerana terdapat banyak tempat makan Halal dan kemudahan untuk sembahyang di seluruh bandar ini. Lord of the Fries adalah restoran rantaian dari Australia dengan beberapa lokasi di seluruh bandar ini yang membuktikan bahawa makanan segera juga boleh menyihatkan dengan pilihan makanan vegetarian, kosher dan halal sepenuhnya. Pilihlah dari kentang goreng potongan lurus tradisional atau keledek goreng dan cicahkan ke dalam sos pilihan anda untuk mencipta kelainan pada kentang goreng biasa. Sebuah lagi restoran burger, Burger Edge, prihatin terhadap pelanggan Muslim dan boleh memberikan pengesahan Halal apabila diminta. Cawangannya di Melbourne Central mempunyai menu yang 100% Halal, dengan menggantikan pilihan tidak Halal dengan daging lembu atau daging ayam belanda di dalam burgernya. Antara pesaing terbaru di pasaran yang mesra golongan Muslim adalah Thr1ve, sebuah kafe yang telah mendapat ulasan yang baik bagi pilihan makanan vegetarian dan saladnya. Thr1ve membuktikan bahawa hidangan di medan selera juga boleh menjadi sebaik restoran mewah dengan memperkenalkan paleo pertama di Melbourne, hidangan medan selera 100% tanpa gluten. Terletak di Emporium, medan selera ini juga mempunyai pilihan salad yang lain iaitu Spud Bar, yang menghidangkan sebiji kentang dengan tambahan lain pilihan anda untuk pengalaman gourmet yang unik. Selain itu, Melbourne juga tidak asing lagi bagi penggemar makanan laut. Jalanan di bandar ini dipenuhi bar sushi yang menawarkan sushi gulung untuk dibungkus, sebuah konsep yang dimulakan di Melbourne dan hanya terdapat di sini. Sushi gulung biasanya menggantikan sandwich bagi penduduk Melbourne apabila mereka memerlukan snek yang cepat dan gulungan nasi yang tidak dipotong ini mudah dan enak dinikmati apabila anda melawat tempat-tempat yang menarik di bandar ini. Terdapat juga sebuah kedai yang menjual burger sushi, jadi jangan lupa untuk singgah ke J CafĂ© Restaurant untuk burger ketam kulit lembut mereka yang unik – tetapi ingat, ia cepat habis! Untuk hidangan yang lebih biasa dan tradisional, Seasalt yang terletak di Degraves Street menghidangkan fish and chips gaya Australia yang cukup lazat. Penuhi keinginan anda untuk menikmati makanan laut dengan membeli dan membawa ikan segar atau burger salmon ke Federation Square untuk pengalaman unik berkelah di tepi sungai.Memandangkan Melbourne sudah menjadi destinasi yang popular di kalangan rakyat Malaysia, tidak hairanlah bandar ini kini menempatkan pelbagai restoran asli Malaysia. Antara restoran Malaysia yang cukup terkenal adalah Laksa King di Flemington. Ia merupakan antara restoran pertama yang memperkenalkan laksa kepada penduduk Melbourne dan telah berjaya mengumpul ramai peminat setia sejak itu. Laksa King menawarkan sepuluh jenis laksa tetapi paling terkenal dengan kari laksa makanan lautnya yang memastikan restoran ini sentiasa disebut di dalam senarai makanan terbaik Malaysia. Lebih dekat dengan bandar, Coconut House di Elizabeth Street pula sangat popular sehingga ia membuka cawangan kedua berhampiran dengan restoran pertamanya.
Saiz hidangannya yang agak besar dan harga yang berpatutan menjadikan restoran ini pilihan utama pelajar-pelajar yang rindukan hidangan negara mereka. Menawarkan sate, nasi kerabu, nasi lemak dan banyak lagi, satu lagi restoran tersorok yang telah mula menjadi sebutan adalah Little Ipoh, pendatang baru di dalam arena makanan Malaysia tetapi cukup memuaskan. Rendang asli mereka yang lazat dan kakitangan yang mesra mengingatkan kita kepada layanan yang baik oleh rakyat Malaysia dan ini pastinya akan membuatkan anda datang kembali!
Di Melbourne, anda hanya perlu memilih apa yang ingin dimakan kerana terdapat berbagai-bagai pilihan! Selepas bersiar-siar menikmati pelbagai tarikan yang hebat di Melbourne, pelancong Muslim boleh mengisi perut dengan mudah dan benar-benar berasa seperti berada di tempat sendiri.
 


No comments:

Post a Comment