Thursday, April 16, 2015
Polemik Caj Perkhidmatan
Dalam sektor pelancongan seperti di hotel dan restoran, ketika ini pelancong perlu membayar kadar enam peratus untuk Cukai Jualan & Perkhidmatan (SST). Dalam masa yang sama sesetengah hotel dan restoran mengenakan caj perkhidmatan dengan kadar 10 peratus. Namun apabila GST dilaksanakan ia akan diselaraskan menjadi enam peratus sahaja menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Namun bagi masyarakat yang kurang arif tentang cara perlaksanaan sistem GST ini, mereka pasti akan keliru dan seterusnya tertipu dengan manipulasi harga serta caj yang dikenakan oleh pengusaha hotel atau restoran.
Rakyat keliru khususnya caj perkhidmatan diambil oleh restoran dan hotel yang mana kutipan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Meskipun baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengeluarkan arahan supaya restoran dan hotel
tidak mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan sekiranya kedua-dua pihak itu tida mempunyai perjanjian bersama (CA) antara majikan dan pekerja, namun ada juga pihak yang ingkar dengan arahan ini . Saya percaya ada pengusaha hotel dan restoran yang tidak senang dengan arahan daripada KPDNKK ini, namun saya percaya pihak KPDNKK punya alasannya yang tersendiri demi menjaga kepentingan pengguna.
Saya berharap agar pengusaha pelancongan tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya. Pengusaha pelancongan juga diharapkan agar lebih telus dan jujur dan tidak memanipulasi pelancong dengan maklumat GST yang tidak tepat. Dalam masa yang sama pihak pengusaha pelancongan sewajarnya bersedia dengan sistem perakaunan dan jualan yang lebih bersistematik serta teratur seperti invoice dan resit berserta nombor pendaftaran GST.
Saya percaya bahawa sekiranya semua pihak sama-sama dapat menjayakan sistem GST ini dengan sebaiknya, ia akan memberikan kesan positif untuk semua pihak. Apa yang penting sekarang ini adalah kita perlu lebih jujur dan sama-sama menjayakan aspirasi pelancongan negara dengan
memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment