Friday, February 27, 2015

Keajaiban Semulajadi Jeju

Pulau Jeju (Jeju-do) adalah pulau terbesar di Korea dan terletak di sebelah selatan Semenanjung Korea. Pulau Jeju adalah satu-satunya wilayah berotonomi khusus Korea Selatan dan juga wilayah yang terkecil. Di tengah-tengah pulau ini tersergam puncak gunung Halla yang tingginya mencecah 1,950m di atas paras laut, merupakan gunung tertinggi di seluruh Korea. Ada lebih kurang 750 orang Islam kini tinggal di Jeju. Mereka datang dari negara-negara Islam seperti Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain. Dianggarkan seramai 60,000 orang Islam datang melancong ke Jeju setiap tahun,

Jeju kini telah diiktiraf sebagai salah satu dari 7 Wonders of Nature yang baru. Uniknya pulau Jeju ini ialah keseluruhan pulau itu dipenuhi kecantikan alam semulajadi ciptaan Tuhan, di mana-mana kita dapat melihat tumbuhan-tumbuhan semulajadi menghiasi bandar dan di selang-seli dengan kebun atau ladang yang diusahakan penduduk.  Antara lokasi keindahan semulajadi  Jeju adalah Mount Halla. Nikmati keindahan pepohon yang menghijau di sini. Udaranya cukup segar dan bersih. Menariknya di Mount Halla terdapat sebuah jalan misteri. Matikan enjin kenderaan dan lepaskan brek. Ajaibnya kereta yang dimatikan enjin ini akan mendaki gunung ini. Ini sebenarnya terjadi kerana fenomena gravity hill di mana jalan yang dilihat seperti menaiki bukit sebenarnya menurun sedikit. Jika pelancong berada di dalam kereta, ilusi menjadikan kereta seperti sedang mendaki bukit.

Selain itu tarikan lain adalah Sendi Kolumnar (columnar-jointed lava) di Pantai Jeju Jungmun Daepo. Ia adalah tebing berbatu yang menyusuri sepanjang kira-kira dua kilometer di sepanjang garis pantai dari Jungmun Dong ke Daepo Dong di wilayah Seogwipo. Ia terbentuk kerana proses penyejukan dan pemejalan aliran basalt dari gunung berapi Nokhajiak di antara 14,000 ke 25,000 tahun yang lalu. Ia membentuk sendi-tiang yang dibentuk oleh lava basalt. Apabila lava basalt yang bersuhu tinggi menyejuk, ia mengecut dan sering menghasilkan sendi kolumnar. Jika dilihat dari atas, kolum-kolum dari batuan basalt ini berbentuk poligon bersisi 4,5 atau 6. Kolum-kolum basalt setinggi 25m kelihatan seperti disusun rapi, unik dan sangat cantik.

Air terjun juga antara tarikan semulajadi terbaik di Jeju. Terdapat  tiga air terjun yang terkenal di sini. Salah satu diberi nama Cheonjiyeon (bermaksud air terjun yang menghubungkan langit (Ch’eon) dan bumi (ji)). Begitu ramai pelancong yang merakamkan detik indah gambar mereka berlatar belakangkan air terjun ini. Berketinggian 22 meter dan lebarnya 12 meter, airnya cukup bersih dan sejuk. Air terjun ini menghala ke dalam sebuah tasik besar buatan manusia dengan kedalaman 20 meter. Dua empangan digunakan untuk menakung air yang juga berfungsi mengawal jumlah atau paras air dalam tasik. Untuk sampai ke lokasi air terjun para pelancong harus berjalan di laluan yang berlandskap menarik melalui taman tumbuhan subtropika. Ia menjadi habitat semulajadi pada 400 spesies hidupan haiwan dan tumbuhan. Dalam sungainya ada berbagai-bagai jenis ikan koi (kap) dan tasiknya pula menjadi habitat bagi belut marble (mutae eel bagi orang Korea). Itik hijrah juga boleh didapati di sini. Tidak hairanlah Jeju mendapat gelaran 7 Wonders of Nature kerana kekayaan dan keistimewaan bentuk muka bumi dan alam semulajadinya.


Wednesday, February 18, 2015

Kemelut Pelancongan Langkawi




Langkawi: Kemelut antara penggiat industri Pelancongan Langkawi  dan LADA semakin hangat apabila beberapa badan NGO Pelancongan di Langkawi mengesa agar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.
Masalah kekurangan kehadiran pelancong dan soal program promosi Pelancongan yang kurang efektif dipercayai menimbulkan rasa resah dan tidak puas hati dalam kalangan penggiat industri pelancongan di Langkawi.
Menurut  Zainudin Abd Kadir, Presiden Bumitra langkawi pihaknya merasa kecewa dengan prestasi LADA membangunkan industri pelancongan di Langkawi
"LADA harus bertanggungjawab terhadap perkembangan industri pelancongan di Langkawi yang kebelakangan ini teruk terjejas akibat kemerosotan jumlah kehadiran pelancongan. Sehubungan itu pihak kami Dan beberapa NGO yang lain akan menghantar memorandum agar CEO LADA ditukarkan segera dan unit pelancongan LADA di tutup," kata Zainudin abd Kadir.
Beliau juga turut menegaskan bahawa penggiat pelancongan Langkawi yang mewakili beberapa NGO Pelancongan di langkawi akan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pelancongan dan Pembangunan Komuniti Langkawi bagi memastikan industri pelancongan di Langkawi terus maju sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat.
Sementara itu Menurut Pishol Ishak, timbalan Presiden FLAG beliau melahirkan rasa kecewa dengan tindakan LADA yang mengenepikan peranan penggiat industri Pelancongan di Langkawi dalam program program promosi Langkawi di luar negara.
"Pihak LADA patut melibatkan penggiat industri Pelancongan di langkawi dalam urusan promosi. industri Ini perlu penglibatan  bersama Dan kerjasama semua pihak baru Langkawi boleh maju," kata Pishol Ishak.
Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum perkara tersebut dan sentiasa mengambil inisiatif yang terbaik dalam memajukan industri Pelancongan di Langkawi.
Menurutnya pembangunan sektor Pelancongan di Langkawi berada pada tahap yang baik berikutan kemasukan pelabur baru dalam pembinaan hotel serta produk pelancongan yang baru. Jumlah kemasukan pelancong juga morning kat berikutan penambahan jumlah penerbangan berjadual dari dalam dan luar negara.
"Banyak pembangunan serta penambahbaikan telah dan akan kita jalankan bagi memastikan industri Pelancongan di Langkawi berkembang. Untuk itu kita harus membangunkan tarikan pelancongan baru yang berpotensi bagi memastikan Langkawi terus unggul sebagai destinasi utama pilihan pelancong," kata Tan Sri Khalid.
Menurutnya lagi setiap aspek itu harus dilihat secara mikro dengan mengambil kita hasil atau impak kepada industri berdasarkan kepada KPI yang telah ditetapkan.
"Soalnya bagaimana kita dapat bersama dalam melihat kepada kepentingan yang lebih luas disamping itu kita harus melihat dengan lebih khusus terhadap sektor-sektor tertentu yang berpotensi," kata Tan Sri Khalid.
Tambahnya lagi pembangunan produk Pelancongan di Langkawi telah ditentukan di dalam Blueprint Langkawi.
"Blueprint ini telah dipersetujui Semasa perbincangan yang diadakan satu ketika dahulu. Semasa perbincangan blueprint dulu ia melibatkan wakil-wakil kerajaan, pihak swasta, industri, komuniti dan sebagainya sebelum dirumuskan serta diluluskan oleh Kerajaan. Jadi saya datang sini untuk membantu bagi melaksanakan blueprint ini," jelas CEO LADA.
Kemelut yang semakin hangat itu turut menarik perhatian Dato' Haji Mohd Rawi Abd. Hamid, EXCO Pelancongan Negeri Kedah,  untuk tampil menyelesaikan isu tersebut.
Menurut Dato' Rawi, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu kebelakangan ini sektor Pelancongan juga terjejas menyebabkan kehadiran pelancong telah menurun bukan sahaja di Langkawi malah di seluruh dunia.
"Dalam situasi sekarang penggiat industri Pelancongan resah dan cuba mencari jalan penyelesaian. Dan organisasi yang terdekat mereka ingin minta tolong atau menegur adalah LADA. Saya harap pihak LADA jangan terasa hati kerana perkara ini kita boleh  duduk semeja berbincang,"kata Dato' Rawi.
Beliau turut berharap semua pihak dapat berlapang dada dan jangan berputus asa serta kecewa dengan apa yang berlaku.
"Kita ini sebagai satu keluarga janganlah kita melukakan hati sesama kita kerana kita ada masa depan yang cukup cerah untuk menjadi antara Pulau terbaik di dunia. Cuma kita perlu beberapa sentuhan untuk memantapkan lagi, " tambah Dato Rawi.
Beliau menegaskan di pihak kerajaan negeri beliau menyeru Kerajaan Pusat serta Semua Kementerian untuk sama-sama berganding bahu meletakkan Pelancongan di satu tempat yang sangat baik dan mengambil perhatian terhadap cadangan daripada penggiat industri Pelancongan tempatan.

Saksikan video di link ini http://youtu.be/FcTI25vzGl4

Seri Tanah Atas Laut

Tanah Lot di Bali yang membawa maksud 'Tanah Atas Laut'.
Jika tidak kerana budaya dan pantainya yang tersohor, tidak mungkin saya ke sini. Meskipun banyak lagi destinasi pelancongan yang menarik namun Bali seakan punya kuasa 'magnet' untuk menarik kunjungan ramai pelancong dari seluruh dunia.

Inilah Bali, pulau yang paling terkenal di Indonesia. Destinasi menakjubkan dengan gabungan keindahan lanskap alam semula jadi  dan budaya. Keindahannya bukan sahaja pada pandangan mata tetapi kemesraan dan sifat ramah tamah masyarakat di sini. 

Di sini kebudayaan terus dilestarikan dari generasi ke generasi. Budaya masyarakat Hindu yang mendominasi pulau ini menjadi antara aset Pelancongan yang cukup beharga. Sama ada pelancong ada atau pun tidak acara adat dengan ritual tradisi tetap diteruskan sebagai pegangan hidup masyarakat di sini.  Bunyi alat muzik serta genderang bergema seakan menyambut mesra pelancong ke daerah ini. 

Sebagai destiansi paling popular di Indonesia, Bali dilengkapkan lagi dengan kemunculan resort dan inapan berharap antarbangsa. Di sinilah pelancong dari seluruh dunia berpadu dengan pantai yang menawan dan kehidupan malam yang meriah. Maka tidak hairanlah saban hari Bali mendapat banyak pengiktirafan dan jolokan sebagai syurga dunia. Majalah Travel and Leisure memilih Bali sebagai  World's Best Island tahun 2009, sementara Lonely Planet's memilih Bali sebagai peringkat kedua Best of Travel 2010.

Bali juga dikenali dengan sebutan pulau dewata, pulau seribu pura, atau pulau syurga. Keindahan alamnya luar bias. Gunung berapi menjadi latar pemandangan yang memberikan sentuhan luar biasa kepada panorama di Bali. Hamparan sawahnya yang menghijau dan bertingkat-tingkat memberikan rasa damai dan ketenangan. Butiran pasirnya yang memutih lembut bak sutera memahat rasa rindu pada kedamaian.   Awan yang berarak mesra membias mentari yang memancar seolah menjadi persembahan keindahan alam yang tiada penghujungnya.

 

Budaya Disanjung

 

Adat & budaya masyarakat Hindu di Bali
Karya seni dan budaya menjadi tonggak  pelancongan di sini. Seni ukir batuan dan kayu kayan jelas mempamerkan identitinya yang tersendiri. Bila sebut sahaja senireka Bali kita sudah dapat membayangkan keindahan dan kehalusan karya seninya yang lahir daripada kreativiti  tanpa batas yang cukup sempurna.  Bali juga memiliki tariannya yang dramatis dan upacara adatnya yang beragam serta seni  yang indah dan berkualiti tinggi.

Adat dan kebudayaan yang ada pada masyarakat Bali berkait rapat dengan agama dan kehidupan agama masyarakat Hindu. Ia   memiliki akar sejarah yang  panjang dan mencerminkan perhubungan dengan dominasi nilai serta falsafah agama Hindu. Justeru banyak elemen-elemen yang berkaitan dengan kepercayaan kepada adat dan budaya masyarakat Hindu terpatri di pulau ini tidak kira dari aspek arkitektur, seni dan kehidupan masyarakat di sini.

Masyarakat Bali yang menganut agama Hindu Bali yang taat, sebagian besar hidupnya didedikasikan dalam upacara adat yang bertujuan untuk memelihara keharmonisan di dunia. Oleh karena itu, pulau kecil ini menyimpan banyak kejutan budaya di dalamnya.

 

Membelah Ombak Pantai Kuta

 

Pantai Kuta... Syurga peluncur ombak
Pantai yang cukup tersohor di Bali tentunya Pantai Kuta. Pantai ini juga digelar pantai matahari terbenam dan cukup  digemari oleh mereka yang meminati aktiviti surfing. Pantai ini sememangnya cukup popular dalam kalangan pelancong Australia yang ingin melakukan aktiviti surfing dan bersantai di tepian pantai.  Di sini juga terdapat lebih 1,000 peniaga  dari pengusaha kedai makan dan kelab malam hinggalah kepada pengusaha urutan serta kedai tatoo menyediakan perkhidmatan mereka khas untuk pelancong dengan kadar harga yang berpatutan.
Pelbagai gelagat dan   ragam manusia dari seluruh dunia dapat anda saksikan di sini. Meskipun satu ketika dahulu satu peristiwa letupan bom yang mengorbankan ramai jiwa berlaku di sini namun itu semua tidak pernah mematahkan semangat masyarakat di sini untuk bangkit menjadikan pulau ini sebagai destinasi pelancongan paling popular di dunia.

Seri Tanah Lot

Tanah Lot yang bermaksud Tanah Atas Laut menjadi lokasi yang wajib anda kunjungi tatkala ke Bali. Terletak di Tabanan kira-kira 20 km dari lapangan terbang antarabangsa  Denpasar, destinasi ini menawarkan pemandangan yang cukup menakjubkan. Formasi tebing tinggi dan batu-batan yang terhasil akibat hakisan air laut telah memberikan seribu satu rahmat buat daerah ini.
Dipercayai sekitar abat ke 15, Sami Nirartha telah membina kuil di Tanah Lot bagi mengagungkan Tuhan laut di Bali. Kuil ini dipercayai mengawal roh-roh jahat serta penceroboh dan kononnya terdapat seekor ular besar yang melindungi kuil tersebut.
Banyak perkara menarik yang ditawarkan pulau eksotik ini. Dari kehidupan spiritualnya sehinggalah sajian makanannya yang hebat. Dari aktiviti luncur ombak  atau  surfing sehinggalah  meneroka keindahan alam di hutan yang mencabar. 

Bali juga sering menjadi destinasi percutian buat pelancong dari Malaysia. Tidak kira untuk  tujuan berbulan madu mahupun percutian insentif, Bali menawarkan percutian yang sempurna buat tetamunya. Terima kasih buat Buraqoil & IPTB Sdn Bhd yang membawa saya bersama warga Buraqoil yang merupakan peneraju stesen minyak luar bandar terkemuka di Malaysia. Menerusi rombongan tersebut wakil pengedar rangkaian Buraqoil yang terbaik telah dibawa bercuti ke Bali menerusi pakej selama empat hari tiga malam.


Oleh : Azlie Halim

Terima kasih : Buraqoil / IPTB Sdn Bhd

 







KL Tourism Ambassadors






Bagi memastikan pelancong di Kuala Lumpur mendapat informasi pelancongan secara berkesan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama iM4U telah menwujudkan    KL Tourism Ambassador Program (KLAP). KLAP   menggunakan khidmat sukarelawan belia untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai berkaitan destinasi menarik kepada pelancong luar.
Menurut Puan Noraza Yusof,  Ketua Unit Pelancongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sejak dilancarkan program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para sukarelawan.
“Kami ada 40 sukarelawan untuk  kumpulan yang pertama dan mereka telah pun berkhidmat sebagai duta pelancongan Kuala Lumpur. Mereka boleh ditemui di KLCC, Dataran Merdeka, Masjid Negara, Bukit Bintang  dan beberapa destinasi yang telah ditetapkan. Sekarang kami juga baru menerima 50 lagi permohonan daripada orang yang berminat untuk menjadi sukarelawan dan kami akan jalankan sesi temuduga untuk memastikan mereka benar-benar berkebolehan,”terang beliau.
Antara objektif utama projek KLAP ini adalah sebagai platform untuk mendekati pelancong disamping memberikan informasi berguna tentang destinasi pelancongan Kuala Lumpur yang harus dilawati mereka. Program ini juga merupakan  platform untuk menjalinkan hubungan di antara pelancong antarabangsa dan masyarakat  tempatan sekali gus mengangkat imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang mesra pelancong.