Wednesday, July 2, 2014

Acara Pelancongan Pikat Pelancong



Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tangan kiri mendukung adat, tangan kanan menjunjung  agama. Begitulah perumpamaan yang dapat saya gambarkan tengang warisan dan adat yang kita dipertahankan sejak sekian lama. Meskipun zaman kian berubah namun adat warisan tetap disanjung.

Baru-baru ini saya sempat berkunjung ke Seri Menanti di Negeri Sembilan untuk menghadiri Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap dan  Pesta Persukuan Adat Perpatih.

Negeri beradat yang berpaksikan syariat ini sememangnya terkenal dengan Adat Perpatihnya.  Adat dan warisan yang dipertahankan zaman berzaman ini kini menjadi aset pelancongan yang berpotensi untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan sekali gus menarik kunjungan pelancong dalam dan luar negara.

Tahniah saya ucapkan kepada pihak Tourism Malaysia Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan kerana mengambil inisiatif menganjurkan Pesta Persukuan Adat Perpatih dan Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap.

Daya kreativiti dalam mempromosikan acara pelancongan seumpama ini sepatutnya dipuji dan patut dikembangkan lagi di negeri-negeri lain yang juga punya pelbagai produk pelancongan yang berpotensi.

Siapa sangka Adat Perpatih yang menjadi amalan masyarakat di Negeri Sembilan kini menjadi satu produk pelancongan yang mampu menarik kunjungan pelancong dari luar negara yang ingin melihat sendiri keunikan yang ada di negeri ini.
Saya ambil contoh kecil tetapi marilah kita fikirkan dalam konteks yang lebih besar. Apa yang penting adalah usaha dan kemahuan. Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Usah kita cari alasan lagi, kerana lagi banyak alasan yang kita bagi, lagi banyak halangan yang bakal kita tempuhi dalam mengharungi cabaran menjayakan aspirasi pelancongan negara.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pengarah-pengarah pelancongan negeri yang begitu gigih menganjurkan acara-acara pelancongan dalam usaha menarik minat pelancong. Baru-baru ini saya juga sempat menghadiri beberapa acara pelancongan seperti Kuantan 160 Century Ride di Pahang yang saya kira antara acara yang berjaya diadakan dengan baik dan menepati hasrat menarik penyertaan antarabangsa.  Begitu juga acara Citrawarna Kuala Lumpur yang buat julung kali diadakan di perkarangan KLCC yang turut berjaya menarik tumpuan pelancong antarabangsa. Saya percaya komitmen dan kesungguhan pejabat-pejabat pelancongan negeri terbabit adalah tonggak kepada kejayaan industri  pelancongan negara. Tahniah saya ucapkan. Teruskan usaha anda itu demi kelangsungan industri pelancongan negara yang kita sayangi ini.

No comments:

Post a Comment