Rasa sedih dan gelisah menunggu nasib penumpang dan anak
kapal MH370 tetap dirasai khsusnya buat keluarga dan sahabat handai. Walau
bagaimana pun hidup harus diteruskan. Usah jadikan insiden tersebut menjadi
hambatan kepada kita semua untuk terus mengharungi kehidupan yang kian
mencabar. Dalam kontek pelancongan khususnya, insiden ini sudah cukup
memberikan tamparan hebat kepada industri pelancongan. Ketika negara bersiap
sedia menyambut kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,
insiden kehilangan pesawat MH370 ini harus ditangani secara bijaksana. Situasi ini tentunya mencetuskan kebimbangan
dalam kalangan banyak pihak sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi negatif.
Kebimbangan ini turut menarik perhatian Perdana Menteri dengan mengeluarkan
kenyataan bahawasanya industri pelancongan negara tidak terjejas akibat insiden
tersebut. Meskipun ada juga sesetengah pihak yang seperti tidak setuju dengan
kenyataan tersebut, tetapi kita harus yakin bahawa setiap apa yang berlaku itu
ada hikmah di sebaliknya.
Sesungguhnya ramai
yang bersimpati dan saya juga turut bersimpati dengan kehilangan 227 orang
penumpang dan 12 anak kapal MH370. Dalam masa yang sama saya juga turut
bersimpati dengan nasib industri pelancongan negara yang mungkin akan
kehilangan sasaran jumlah ketibaan pelancong yang disasarkan sebanyak 28 juta
pada tahun 2014.
Tatkala pihak kerajaan dan seluruh dunia sibuk meneruskan
misi mencari pesawat MH370, kita sebagai penggiat industri pelancongan harus
juga lebih proaktif 'mencari' formula yang terbaik untuk memperkasakan lagi
industri pelancongan kita.
Ada juga yang secara bersahaja menyatakan kepada saya
bahawa insiden MH370 telah mempopularkan negara kita di seluruh dunia.
Masyarakat dunia mula kenal Malaysia
khususnya Malaysia Airlines. Memang benar negara kita kian dikenali ramai,
tetapi sejauh manakah kita gunakan kesempatan ini untuk mempopularkan negara
kita juga sebagai destinasi pelancongan utama pilihan pelancong dunia.
Saya berharap pihak yang berkaitan dengan industri
pelancongan serta penggiat pelancongan yang bijak pandai dapat mewujudkan satu
pelan tindakan pengurusan krisis yang lebih komprehensif agar dapat memastikan
industri pelancongan negara akan terus subur meskipun diancam dengan pelbagai
krisis.
No comments:
Post a Comment