Syukur Alhamdulillah, negara kita kini telah menjadi antara negara yang paling diminati oleh pelancong asing. Perkembangan positif ini sesungguhnya memberikan khabar gembira buat seluruh penggiat industri pelancongan khususnya pengusaha hotel dan resort tanah air.
Rasa
bangga terpatri di hati apabila dapat melihat industri pelancongan kita yang
kian berkembang pesat dengan munculnya banyak hotel-hotel bertaraf antarabangsa
di ibu kota. Lebih bangga lagi apabila hotel tersebut dimiliki dan diuruskan
sendiri oleh 'orang tempatan' yang membawa jenama yang lahir di Malaysia.
Sama ada
kita sedar mahu pun tidak, antara perkara yang menjadi daya tarikan untuk
pelancong datang ke negara ini adalah sosio budaya kita. Mereka mahu melihat
masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa seumpama slogan yang dilaungkan oleh
pihak Tourism Malaysia dalam mempromosikan Malaysia di luar negara iaitu
'Malaysia Truly Asia'. Namun kita acapkali lupa kekuatan kepelbagaian budaya
yang kita ada sehinggakan kita sering terlepas pandang bahawa pelancong asing
yang datang ke negara kita ini sebenarnya ingin melihat ‘kita’ yakni masyarakat
Malaysia. Pendek kata kita sebagai masyarakat Malaysia adalah ‘produk
pelancongan’ yang cukup bernilai.
Kita
sebagai masyarakat Malaysia menjadi ‘perhatian’ mereka (pelancong asing) tatkala mereka melancong ke negara ini. Jika
tingkah laku dan peradapan kita baik, mudah-mudahan imej pelancongan negara
juga akan dilihat baik. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku, maka tidak
mustahil imej pelancongan kita juga akan
turut terpalit dengan imej yang negatif.
Pelancong
asing mempunyai persepsi yang berbeza. Lebih-lebih lagi mereka yang baru
pertama kali datang ke negara ini. Selain melihat keindahan destinasi
pelancongan yang mempesonakan, wajah-wajah kita sebagai masyarakat Malaysia
akan turut menjadi latar belakang produk pelancongan kita.
Wajah kita
sebenarnya adalah cerminan negara kita. Maka dengan itu sebagai antara ‘produk
pelancongan’ yang berpengaruh, kita sebagai masyarakat Malaysia harus lebih bertanggungjawab dengan mempamerkan
nilai-nilai murni dalam usaha kita memikat kunjungan pelancong asing.
Tahniah
kepada anda yang telah membudayakan pelancongan dalam kehidupan anda dan
berusaha kearah memartabatkan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat tempatan.
Semoga usaha kita yang sedikit ini akan berupaya melonjakkan imej positif
industri pelancongan negara kita. Alangkah indahnya budaya tempatan kita. Jika
kita sendiri tidak menghargainya siapa lagi yang akan menjaganya? Tepuk dada
tanya selera!
No comments:
Post a Comment