Tuesday, September 17, 2013

Terapi Pelancongan Eratkan Perpaduan


Sempena bulan kemerdekaan ini saya terpanggil untuk berbicara tentang soal perpaduan kaum yang saya lihat kebelakangan ini semakin longgar. Lebih memilukan isu perkauman semakin hangat dibicarakan di media arus perdana umpama api dalam sekam yang kian membara. Isu ini seolah tiada penghujungnya. Dalam situasi yang tidak menentu ini, ada juga pihak yang cuba menangguk di air yang keruh.
Namun pada saya isu siapa salah atau siapa betul bukanlah perkara pokok yang perlu kita cari. Apa yang paling utama ialah kita  perlu mencari pendekatan yang terbaik untuk memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat di negara kita pada kadar segera. Saya terpanggil untuk membincangkan isu ini dalam konteks pelancongan kerana menerusi aktiviti pelancongan kita sebenarnya dapat membentuk satu jalinan perpaduan yang kukuh antara kaum.
Saya teringat satu kisah yang telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam diri saya khususnya dalam soal perpaduan antara kaum ini. Ketika itu saya menyertai satu rombongan percutian ke Terengganu bersama rakan media. Kebanyakkan  peserta rombongan terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina, India dan ada juga yang dari keturunan Iban. Walaupun pada mulanya kami rasa agak janggal untuk berbicara, namun setelah sehari bersama, bibit-bibit kemesraan mula timbul. Walaupun saya kurang mempunyai kawan dari kaum yang berbeza namun menerusi rombongan tersebut saya dapat mengenali dengan lebih dekat lagi budaya serta adat kaum  lain. Tak kenal maka tak cinta. Setelah kenal rakan-rakan dari kaum yang berbeza itu maka timbul rasa sayang. Saya sayangkan nilai  persahabatan ini. Ia lahir secara sendiri tanpa ada paksaan. Nak dijadikan cerita, dalam rombongan itu juga terjadi satu insiden di mana salah seorang peserta berketurunan Cina bernama Ai Ling telah mengalami sakit demam panas. Nafasnya juga tercungap-cungap akibat  serangan asthma.  Waktu  sudah larut malam. Tanpa berlengah saya dan rakan sebilik saya bernama David yang  berketurunan India membawa Ai Ling ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Nasib baik kami cepat sampai ke hospital. Kalau tidak mungkin keadaan akan menjadi lebih parah.  Syukur semuanya selamat. Dalam hal ini perbezaan kaum bukan penghalang untuk kami membantu di antara satu sama lain lebih-lebih lagi pada waktu kecemasan.
Selepas peristiwa itu Ai Ling menyatakan tanggapan buruknya selama ini terhadap orang dari kaum yang berbeza  sudah tiada lagi dalam hatinya. Saya pula cuba meletakkan diri saya di dalam situasi Ai Ling. Kalaulah tiada orang  yang sudi menolong saya, apa yang akan jadi pada saya. Mungkin hari ini saya tolong dia, mana tahu suatu hari dia tolong saya pula.

Walaupun bantuan saya itu tidaklah sebesar mana, tetapi kesannya amat besar dalam mengeratkan lagi perpaduan antara kaum. Ai Ling amat menghargai pertolongan saya itu sehinggakan menganggap saya sebahagian daripada keluarganya. Syukurlah, setidak-tidaknya saya dapat memberikan satu imej yang positif tentang bangsa dan agama saya.   
Dia begitu menghargai nilai persahabatan ini.  Lebih dari itu, sekiranya ada kawan-kawan dia yang menyatakan sesuatu perkara yang tidak baik mengenai bangsa saya,  maka dialah orang pertama yang akan membela nasib bangsa saya ataupun David.  Dia akan sentiasa menceritakan pengalaman beliau dibantu oleh orang berbangsa lain semasa dia dalam kesusahan.

Saya  rasa  sungguh terharu dengan nilai persahabatan ini. Pengalaman yang saya lalui ini mungkin contoh kecil bagaimana menerusi pelancongan kita dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum. Saya percaya menerusi pelancongan juga kita akan dapat mengenal dengan lebih dekat lagi adat resam serta budaya kawan-kawan kita yang terdiri dari kaum yang berbeza. Yakinlah bahawa sebenarnya hubungan yang ‘dingin’ antara kaum di negara ini dapat dipulihkan menerusi ‘Terapi Pelancongan’.

 

No comments:

Post a Comment