Tuesday, September 24, 2013

Jom Jadi Sukarelawan Pelancongan

Macam-macam cara telah dan akan dilaksanakan bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara. Terbaharu, Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia melancarkan kempen Voluntourism.  Buat anda yang masih tidak kenal dengan istilah ini, Voluntourism merupakan singkatan kepada “Volunteer Tourism”  bermaksud percutian yang disertai dengan penglibatan aktiviti-aktiviti sukarelawan. Walaupun pada mulanya saya agak ragu-ragu dengan keberhasilan program ini, namun selepas mengikuti beberapa siri program ini di Kuala Lumpur dan Pahang, saya yakin bahawa program Voluntourism ini bakal memecah tradisi industri pelancongan negara.
Baru-baru ini, bersempena dengan WITM & MATTA Fair 2013, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Datuk Ong Hong Peng, telah melancarkan 20 pakej Voluntourism. Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Ong Hong Peng dan seluruh warga Kementerian Pelancongan & Kebudayaan serta Tourism Malaysia yang telah bertungkus lumus merealisasikan program Voluntourism ini. Program yang bertepatan dengan  inisiatif  ketujuh  di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy- NBOS) ini sesungguhnya satu cetusan idea kreatif dalam memperkasakan industri pelancongan negara.
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa inilah program yang pertama di dunia seumpamanya yang dipakejkan secara kreatif dalam usaha menarik penyertaan semua pihak termasuk pelancong dalam dan luar negara.
Khabarnya sebanyak 20 pakej Voluntourism telah dibangunkan oleh tujuh agensi pelancongan tempatan yang menawarkan aktiviti-aktiviti sukarelawan seperti konservasi penyu, pemuliharaan Orang Utan, pembangunan komuniti, pertukaran budaya dan lain-lain lagi.
Kini kita sudah tiada alasan lagi untuk tidak terlibat secara langsung dalam usaha menyumbang kepada  industri pelancongan negara sekali gus memastikan  kejayaan Tahun Melawat Malaysia  2014.
Menerusi program Voluntourism ini kita boleh terlibat secara sukarela dalam lima aktiviti utama yang merangkumi program 1Malaysia Green 1Malaysia Clean, 1 Malaysia Voluntutoring, 1Malaysia Volunsharing, 1Malaysia Fabulous Food dan 1Malaysia Event. Pilih sahaja yang mana satu program yang memenuhi jiwa dan selera anda.
Voluntourism juga dilihat seiring dengan perlaksanaan Program Pelancongan Pelajar (3P) yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah. Namun penglibatan dalam kalangan pelajar masih belum menyeluruh dan boleh dipertingkatkan lagi pada masa akan datang. Mungkin pihak berkenaan perlu mempergiatkan lagi usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia dan program Voluntourism ini di sekolah-sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Saya percaya dengan penglibatan pelajar-pelajar ini, mereka juga akan dapat merasai  sedikit ‘nikmat’ untuk menyumbang kepada kejayaan industri pelancongan negara.
Maka dengan itu, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, marilah kita sama-sama menjayakan misi nasional ini dengan menyertai program sukarelawan pelancongan  Voluntourism ini sebagai bukti sokongan kita kepada industri pelancongan negara. Jom sertainya sekarang.

Tuesday, September 17, 2013

Terapi Pelancongan Eratkan Perpaduan


Sempena bulan kemerdekaan ini saya terpanggil untuk berbicara tentang soal perpaduan kaum yang saya lihat kebelakangan ini semakin longgar. Lebih memilukan isu perkauman semakin hangat dibicarakan di media arus perdana umpama api dalam sekam yang kian membara. Isu ini seolah tiada penghujungnya. Dalam situasi yang tidak menentu ini, ada juga pihak yang cuba menangguk di air yang keruh.
Namun pada saya isu siapa salah atau siapa betul bukanlah perkara pokok yang perlu kita cari. Apa yang paling utama ialah kita  perlu mencari pendekatan yang terbaik untuk memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat di negara kita pada kadar segera. Saya terpanggil untuk membincangkan isu ini dalam konteks pelancongan kerana menerusi aktiviti pelancongan kita sebenarnya dapat membentuk satu jalinan perpaduan yang kukuh antara kaum.
Saya teringat satu kisah yang telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam diri saya khususnya dalam soal perpaduan antara kaum ini. Ketika itu saya menyertai satu rombongan percutian ke Terengganu bersama rakan media. Kebanyakkan  peserta rombongan terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina, India dan ada juga yang dari keturunan Iban. Walaupun pada mulanya kami rasa agak janggal untuk berbicara, namun setelah sehari bersama, bibit-bibit kemesraan mula timbul. Walaupun saya kurang mempunyai kawan dari kaum yang berbeza namun menerusi rombongan tersebut saya dapat mengenali dengan lebih dekat lagi budaya serta adat kaum  lain. Tak kenal maka tak cinta. Setelah kenal rakan-rakan dari kaum yang berbeza itu maka timbul rasa sayang. Saya sayangkan nilai  persahabatan ini. Ia lahir secara sendiri tanpa ada paksaan. Nak dijadikan cerita, dalam rombongan itu juga terjadi satu insiden di mana salah seorang peserta berketurunan Cina bernama Ai Ling telah mengalami sakit demam panas. Nafasnya juga tercungap-cungap akibat  serangan asthma.  Waktu  sudah larut malam. Tanpa berlengah saya dan rakan sebilik saya bernama David yang  berketurunan India membawa Ai Ling ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Nasib baik kami cepat sampai ke hospital. Kalau tidak mungkin keadaan akan menjadi lebih parah.  Syukur semuanya selamat. Dalam hal ini perbezaan kaum bukan penghalang untuk kami membantu di antara satu sama lain lebih-lebih lagi pada waktu kecemasan.
Selepas peristiwa itu Ai Ling menyatakan tanggapan buruknya selama ini terhadap orang dari kaum yang berbeza  sudah tiada lagi dalam hatinya. Saya pula cuba meletakkan diri saya di dalam situasi Ai Ling. Kalaulah tiada orang  yang sudi menolong saya, apa yang akan jadi pada saya. Mungkin hari ini saya tolong dia, mana tahu suatu hari dia tolong saya pula.

Walaupun bantuan saya itu tidaklah sebesar mana, tetapi kesannya amat besar dalam mengeratkan lagi perpaduan antara kaum. Ai Ling amat menghargai pertolongan saya itu sehinggakan menganggap saya sebahagian daripada keluarganya. Syukurlah, setidak-tidaknya saya dapat memberikan satu imej yang positif tentang bangsa dan agama saya.   
Dia begitu menghargai nilai persahabatan ini.  Lebih dari itu, sekiranya ada kawan-kawan dia yang menyatakan sesuatu perkara yang tidak baik mengenai bangsa saya,  maka dialah orang pertama yang akan membela nasib bangsa saya ataupun David.  Dia akan sentiasa menceritakan pengalaman beliau dibantu oleh orang berbangsa lain semasa dia dalam kesusahan.

Saya  rasa  sungguh terharu dengan nilai persahabatan ini. Pengalaman yang saya lalui ini mungkin contoh kecil bagaimana menerusi pelancongan kita dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum. Saya percaya menerusi pelancongan juga kita akan dapat mengenal dengan lebih dekat lagi adat resam serta budaya kawan-kawan kita yang terdiri dari kaum yang berbeza. Yakinlah bahawa sebenarnya hubungan yang ‘dingin’ antara kaum di negara ini dapat dipulihkan menerusi ‘Terapi Pelancongan’.