Thursday, August 1, 2013

Ikhlaskan Hati Bantu Pelancong...


Saya ingin mulakan bicara saya kali ini dengan satu lontaran soalan. Jika anda melancong ke sesebuah negara apakah yang anda harapkan? Adakah anda mengharapkan percutian tersebut memberikan kenangan manis atau sebaliknya.
Jika percutian anda berakhir dengan satu peristiwa yang mendukacitakan, adakah anda akan datang lagi bercuti ke tempat itu. Mana mungkin kita ke destinasi itu jika ia sudah memberikan persepsi negatif kepada kita.
Saya tertarik untuk berkongsikan satu cerita yang berlaku baru-baru ini. Barangkali kita boleh ambil sedikit iktibar daripadanya. Pada satu pagi yang damai, sambil saya duduk minum kopi di pinggir sebuah  kompleks membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur saya dikejutkan dengan satu insiden. Seorang wanita menjerit meminta tolong tatkala beg tangannya diragut.  Dalam sekelip mata ramai yang datang melihat dengan penuh simpati. Tapi sekadar datang untuk menjadi penonton. Dengan rasa penuh simpati, saya turut menghampiri wanita tesebut. Air matanya berjuraian dan ketika itu tangisan sudah tiada gunanya lagi.  Rupanya wanita tersebut adalah seorang pelancong yang berasal dari sebuah negara di rantau Arab.
Tanpa berlengah saya segera membawanya ke balai polis untuk membuat laporan polis tentang kejadian  yang berlaku. Dalam kejadian malang itu dia kehilangan dokumen penting seperti pasport, kad kredit dan sejumlah wang. Selepas ke balai polis saya bawa dia ke pejabat kedutaan dan seterusnya ke pejabat Imegresen Malaysia di Putrajaya untuk urusan mendapatkan Visa sementara dan dokumen perjalanan.
Memandangkan keesokan harinya dia terpaksa pulang ke negaranya, segala urusan  berkaitan dokumen perjalanan dan visa  perlu diselesaikan dengan segera. Syukur segalanya berjalan lancar.  Pada penghujung hari setelah selesai segala urusan, saya menghantarnya pulang ke hotel. Ternyata dia begitu gembira dan berterima kasih atas pertolongan yang saya hulurkan.  Peristiwa pahit  yang telah menimpa dirinya sebelum ini sedikit terpadam dan cerita manis tentang budi rakyat Malaysia kian terserlah. Sebelum saya berpisah dia sempat menghulurkan kepada saya sejumlah wang, namun saya tolak pemberian itu dengan baik sambil berkata “Maaf, saya tolong anda dengan ikhlas. Cukuplah sekadar balas jasa saya ini dengan khabarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia adalah negara yang aman dan makmur”.  Saya sempat berpesan agar dia lupakan segala kenangan pahit dan bawalah hanya kenangan manis pulang ke negaranya.
 Ini bukan soal saya membantu orang yang di dalam kesusahan. Pada saya ini lebih kepada soal maruah dan imej negara yang harus saya martabatkan. Soal kepentingan peribadi saya kesampingkan demi untuk memastikan nama baik negara. Imej negara yang tercalar dek kerana insiden peragut itu, barangkali  sedikit terubat dengan bantuan segera yang saya hulurkan itu. Meskipun ianya nampak kecil dan remeh, tapi ia memberikan implikasi yang cukup besar kepada kelestarian industri pelancongan negara.
Bukan saya nak membangga diri apatah lagi menagih pujian. Tapi apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya punya tanggungjawab dalam memastikan industri pelancongan kita sentiasa subur. Cuba banyangkan sekiranya pelancong Arab itu pulang dalam keadaan marah dan kecewa kerana kehilangan dokumen penting tanpa ada orang yang menolongnya. Tentu dia akan membawa cerita-cerita negatif tentang negara kita. Lebih buruk lagi dia tentu akan menulis di laman sosial tentang peristiwa pahitnya di negara ini sekali gus menyebabkan orang takut untuk datang ke sini.
Saya kongsikan kisah kecil ini untuk kita sama-sama fikirkan dalam konteks yang lebih besar. Apa yang penting ialah kita harus tanamkan niat di dalam hati kita agar setiap tindakan kita di hadapan ‘tetamu’ kita dipandang molek. Jika kita tidak mampu membuat perkara yang baik khususnya kepada pelancong, cubalah elakkan melakukan perkara yang buruk.  Ikhlaskan niat untuk membantu ‘tetamu’ kita dengan cara yang kita termampu. Kepada peragut tadi, anda sebenarnya bukan sahaja meragut sejumlah wang yang mungkin bernilai beberapa ringgit sahaja, tetapi anda telah meragut masa depan industri pelancongan negara yang kita jangkakan akan menjangkau pendapatan sebanyak RM168 billion pada tahun 2020.

Buat seluruh rakyat Malaysia yang budiman dan bertatasusila, ikhlaskan lah hati kita menolong pelancong yang datang ke negara kita meskipun dengan sekadar sebuah senyuman. Ingat, tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia dan kita sebagai ‘tuan rumah’ harus lebih bersedia untuk menyambut ‘tetamu’ kita dengan menonjolkan nilai-nilai murni yang bersemi dalam diri kita.  

No comments:

Post a Comment