Baru-baru ini saya berkesempatan melawat negara Taiwan. Meskipun masyarakat Muslim di Taiwan bukanlah golongan majoriti, namun kebajikan untuk pelancong Muslim sedikitpun tidak dikesampingkan. Tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Taiwan yang begitu prihatin terhadap kebajikan pelancong Muslim. Segala keperluan untuk pelancong Muslim tersedia dengan baik, malah sajian makanan halalnya juga benar-benar dipastikan halal oleh Persatuan Muslim China Taiwan.
Dalam konteks pelancongan, sebagai pelancong Muslim kita juga harus
mengutamakan tatasusila kita sebagai pelancong Muslim. Dalam kita sibuk mencari
hak kita sebagai pelancong Muslim di negara orang, jangan pula kita lupa
menjaga keperibadian kita sebagai pelancong Muslim. Sebenarnya, kita sebagai
pelancong Muslim juga membawa imej agama kita sendiri. Sebagai Muslim sejati,
kita diajar untuk hormat menghormati sesama insan. Sama ada
kita sedar mahupun tidak, setiap gerak
geri serta tingkah laku kita sering diperhatikan oleh masyarakat tempatan
ketika kita melancong ke negara berkenaan.
Jika kita menampilkan keperibadian yang baik dengan budi pekerti yang
mulia, mudah-mudahan imej Islam itu juga akan turut sama dilihat molek. Jika
sebaliknya, alangkah sedihnya bila kita sebagai pelancong Muslim dinilai dengan
sesuatu yang negative.
Alhamdulillah, ketika ini banyak agensi pelancongan
menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang mesra Muslim. Soal makanan halal
serta kemudahan menunaikan ibadat solat bukan lagi alasan untuk kita tidak
melancong ke luar negara. Apa yang pasti
segala keperluan untuk pelancong Muslim kini mudah untuk kita peroleh.
Soalnya sekarang, adakah kemudahan atau keperluan untuk
pelancong Muslim itu kita gunakan sepenuhnya ataupun tidak. Tepuk dada tanya
selera.. Bagi yang selalu mencari alasan untuk tidak menunaikan ibadat solat
ketika melancong ke luar negara kerana tiada kemudahan mengerjakan ibadat
solat, alasan itu mungkin tidak boleh diguna pakai lagi. Kini kebanyakan hotel di luar negara ada
menyediakan kemudahan surau dan sejadah berserta tanda kiblat di dalam bilik
hotel.
Maka dengan itu saya benar-benar berharap dengan sedikit
pencerahan yang saya kongsikan di ruang yang terhad ini akan membuka sedikit
persepsi kita terhadap erti pelancongan Muslim yang sebenar. Mudah-mudahan
dengan bulan yang mulia ini kita dapat sama-sama memahat satu pengertian untuk
menjadi pelancong Muslim yang dihormati...
No comments:
Post a Comment