Pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa ini menjadi bukti bahawa destinasi pelancongan di negara kita kian mendapat tempat dalam kalangan pelancong antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh penggiat industri pelancongan khususnya buat warga Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia yang sekian lama bertungkus lumus mempromosikan Malaysia di mata dunia. Usaha dan keringan kalian sangat besar ertinya dalam memartabatkan industri pelancongan negara.
Tapi di sebalik pencapaian cemerlang itu, ada juga kisah terpinggir yang mencalarkan nama baik sektor pelancongan kita. Jika dilihat secara rambang, masyarakat kita masih belum cukup ‘mesra pelancong’. Baru-baru ini saya sempat singgah minum kopi di sebuah kopitiam di Kuala Lumpur. Sedang saya meneguk secawan kopi saya terpandang seorang pelancong ‘Mat Salleh’ sedang memegang peta mencari destinasi yang ingin dia tujui. Hampir 10 minit pelancong tersebut terpingga-pingga di tepi jalan, tapi tiada seorang pun yang lalu lalang di situ memperdulikan pelancong tersebut. Aduhai rakyat Malaysia, susah sangatkah menghulurkan bantuan. Apalah salahnya kita memberi bantuan apa sahaja yang kita mampu. Jika tak mampu untuk memberikan bantuan, cukuplah sekadar dengan memberi senyuman.
Saya ambil contoh kecil tentang realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Jika situasi sebegitu menjadi budaya dalam masyarakat kita, masa depan industri pelancongan kita juga mungkin akan terancam. Saya sering nyatakan bahawa tugas untuk memajukan industri pelancongan bukan hanya tugas pihak kerajaan atau agensinya Tourism Malaysia sahaja. Tugas untuk memperkasakan industri pelancongan ini adalah tugas kita semua. Jika kita seorang pemandu teksi, jadilah pemandu teksi yang bertanggungjawab kepada pelancong. Jika kita seorang peniaga, jadilah peniaga yang jujur kepada pelancong. Walau siapapun kita, ayuhlah kita jadi masyarakat Malaysia yang mesra pelancong. Pendek kata, jom kita jadi ‘Jemaah Pelancongan’ yang sentiasa bersedia membantu pelancong dan mersa pelancong sepanjang masa. Jika tugas memperkasakan industri pelancongan ini dapat kita laksanakan secara ‘berjemaah’ , mudah-mudahan industri pelancongan kita akan berkembang dengan lebih pesat lagi sekali gus memberi manfaat untuk kita semua.
Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana telah mengambil inisiatif murni mewujudkan Kuala Lumpur Tourism Development Council (KLTDC) sebagai satu usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan di Bandaraya Kuala Lumpur. Dengan gabungan wakil-wakil dari agensi kerajaan, swasta dan NGO yang akan berkongsi pandangan dan saranan, saya percaya KLTDC berupaya memberi nafas baru buat industri pelancongan negara. Cuma saya berharap pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur dapat memberi ruang kepada pihak media pelancongan untuk turut sama menjadi ahli majlis tersebut. Saya rasa peranan media dalam memperkasakan industri pelancongan di Kuala Lumpur tidak seharusnya dipinggirkan dalam perkara ini. Semoga industri pelancongan negara akan lebih maju dan makmur.