Saturday, July 9, 2016

30 Tahun Memperkasa Industri Pelancongan


Selepas melalui proses penjenamaan semula, Majlis Pelancongan Malaysia yang dahulunya dikenali Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia (NTCM) terus mengorak langkah mempelbagaikan inisiatif memperkasakan pelancongan negara.
30 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Tanggal 16 Mei 1986 menjadi detik penting apabila Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelancongan yang dipengerusikan oleh YAB Musa Hitam yang ketika  itu Timbalan Perdana Menteri telah mengilhamkan penubuhan satu badan induk yang menjadi suara industri pelancongan yang kemudiannya dikenal sebagai NTCM. 
Pengalaman 30 tahun itu telah mematangkan MTC sebagai sebuah badan induk yang berkredibiliti bersama dan mempunyai ahli-ahli gabungan yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan. Banyak jasa dan sumbangan yang telah dicetuskan hasil daripada perjuangan MTC. 

Penubuhan  sebuah Kementerian bagi memajukan lagi industri pelancongan juga adalah hasil daripada gesaan  dan cetusan idea daripada MTC  di Persidangan Pelancongan Kebangsaan pada tahun 1986. MTC juga telah menggesa kerajaan  menambahkan lagi peruntukan bagi pembangunan pelancongan dari RM20 juta pada tahun 1986 kepada RM100 juta pada tahun berikutnya.  Penubuhan Majis Tindakan Pelancongan di setiap negeri juga telah disarankan oleh MTC yang melihat kepada potensi pembangunan industri pelancongan di negeri-negeri. Begitu juga dengan pelbagai acara atau program penting dalam sejarah pelancongan negara termasuklah penganjuran Tahun Melawat Malaysia 1990.
Hasil daripada kesungguhan semua ahli gabungan MTC yang tidak pernah mengenal erti jemu dalam memperjuangkan agenda pelancongan negara, MTC  terus cemerlang sebagai tunjang industri pelancongan negara.
Selepas setahun melalui proses pejenamaan semula bersama MTC telah melakukan transformasi serta menjalankan pelbagai aktiviti yang dilihat sesuai dalam konteks  pelancongan negara masa kini. Pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan ahli gabungan seperti Malam Industri Pelancongan Bersama Perdana Menteri, Merapoh Forest Run, World HOST 2016, MITA Tourism Fair 2016, Delegasi MOU MTC ke Dubai sempena Arabian Travel Market 2016, KL Travel Photojournalism Workshop dan banyak lagi telah berjaya diadakan. Begitu juga dengan perancangan masa depan iaitu penganjuran beberapa lagi program seperti Majlis Sambutan 30 Tahun MTC, National Tourism Conference dan menubuhkan Yayasan Pelancongan Nasional.
Apa yang pasti penubuhan MTC adalah selaras dengan tujuan asalnya iaitu menjadi badan perunding mengenai semua hal berkaitan dengan pelancongan sekaligus menjadi badan penyatuan semua badan sukarela dan NGO pelancongan negara. MTC juga berusaha kearah menghapuskan sebarang bentuk persaingan tidak sihat dalam kalangan penggiat industri serta meningkatkan nilai integriti dalam urusan pelancongan. Ia juga selaras dengan usaha menggalakkan etika kerja dan amalan perniagaan yang telus serta adil.